Oleh Anak Melaka
19-Jul-2002 11:23:39
Meningococcal Meningitis sebenarnya adalah penyakit berjangkit yang jarang berlaku tetapi apa yang membimbangkan ialah jangkitannya boleh membunuh
dengan senyap. Ia juga merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh sejenis bakteria yang dikenali sebagai Neiseria Meningitidis..
Meningococcal Meningitis terbahagi kepada dua jenis iaitu meninggococcal meningitis dan meninggococcal septicaemia tetapi jenis meningitis adalah
paling kerap ditemui.
Walaupun benua Afrika secara amnya mencatatkan kes yang tertinggi tetapi penyakit ini juga ditemui di mana-mana negara di seluruh dunia termasuk di
Eropah dan Asia. Di Asia, penyakit ini ditemui di China, Vietnam, Mongolia, Arab Saudi dan Yemen dan menjadi ketara sejak 30 tahun lalu.
Meskipun banyak kes melibatkan kanak-kanak dan bayi namun kini ia jugamenjangkiti remaja dan orang dewasa. Ia disebarkan daripada seseorang individu kepada individu yang lain melalui titisan pernafasan daripada mereka yang dijangkiti dan membawa bakteria penyakit ini.
Mungkin ia sesuatu yang memeranjatkan tetapi hakikatnya bakteria N. Meningitidis ini biasanya memilih membran mukosa hidung dan tekak manusia
sebagai tempat tinggalnya. Apa yang masih menjadi misteri sehingga hari ini ialah bagaimana bakteria ini tidak menjejaskan individu yang ditumpanginya.
Ini dibuktikan apabila individu terbabit tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala tidak sihat bahkan mereka tergolong dalam golongan mereka yang
sihat. Inilah persoalan yang belum terjawab mengapa bakteria ini boleh memilih individu terbabit dan tidak menunjukkan sebarang gejala.
Dianggarkan hingga 10% penduduk dunia menjadi pembawa penyakit ini dan tidak menunjukkan sebarang tanda.Malah lebih menghairankan ialah bukan semua individu 'terselamat' apabila dijangkitan bakteria ini. Ia boleh meninggalkan kesan berbahaya sehingga
menjadi pembunuh kepada mereka yang dijangkiti. Sekiranya terselamat pun ada kemungkinan mereka ada terdedah kepada komplikasi penyakit ini sehingga
mengganggu sistem saraf dan boleh menyebabkan pesakit hilang pendengaran. Mereka juga terdedah kepada mendapat kecacatan otak, kapilari darah
tersumbat sehinggakan oksigen tidak dapat sampai ke kaki dan tangan pesakit sehinggalah kepada kegagalan berfungsi organ-organ penting seperti jantung,
buah pinggang, hati dan sebagainya.
Apa yang menakutkan ialah kita tidak dapat mengenal pasti siapa sebenarnya menjadi pembawa kepada penyakit ini. Bakteria ini juga boleh dijangkiti
dengan sentuhan dan pernafasan. Ini termasuklah seperti bersin, batuk, berkongsi gelas, straw atau rokok, bercium ataupun melalui kaedah pernafasan mulut ke mulut.
Mereka yang berisiko tinggi mendapat jangkitan ini adalah mereka yang tinggal ditempat yang sesak seperti asrama. Bagaimanapun bukan semua individu berisiko kerana ia hanya menjangkiti mereka yang benar-benar rapat dengan pesakit ataupun pembawa apatah lagi jika individu terbabit mempunyai
sistem pertahanan diri yang lama.
Sejumlah kecil mereka yang dijangkiti akan mengalami radang selaput otak dan saraf tunjang secara tiba-tiba. Bakteria yang masuk ke dalam tubuh pesakit akan mengambil masa 2 hingga 10 hari untuk tempoh pengeramannya.
Gejala atau tanda-tanda penyakit ini adalah demam dengan suhu yang tinggi, loya dan muntah-muntah, sakit kepala yang teramat sangat dan kekejangan
pada leher. Mereka juga akan mengalami mengantuk dan kekeliruan selain ruam berwarna merah yang dikenali sebagai petechial rash yang boleh menyebabkan
pendarahan di bawah kulit. Kadangkala ia boleh disalahtafsir sebagai demam denggi.
Amalan menjaga kebersihan adalah antara langkah terbaik untuk mencegah penyakit ini daripada dijangkiti selain menutup mulut ketika bersin,
menjauhkan diri dari tempat yang sesak seperti perarakan, konsert dan disko, tidak meludah di merata-rata tempat, bercium dan tidak berkongsi
rokok dengan orang lain.
"AMALKAN CARA HIDUP SIHAT"
~Sesungguhnya Hidupku, Matiku, Amalanku, Ibadahku adalah semata-mata kerana Allah SWT~
webmaster@mymasjid.net.my