Oleh tintabiru
08-Oct-2003 18:22:41
TUGAS mengurus rumah tangga sebenarnya bukan kewajipan isteri. Sebaliknya, tanggungjawab isteri dalam sesebuah keluarga hanyalah adalah memenuhi keperluan zahir dan batin suami, seperti mana yang dikehendaki syarak.
Bagaimanapun, masa kian berubah dan sistem kehidupan mulai bercampur aduk di antara perkara yang harus dan wajib.
Sebab itu, wujud fahaman dalam masyarakat kita, yang mana urusan rumah tangga perlu diserahkan kepada isteri walaupun isteri berkenaan bekerja atau sebaliknya.
Jadi, wanita bukan saja menjadi isteri kepada suaminya, malah menjadi ibu kepada anak-anak, pekerja kepada majikan, pembantu rumah kepada ahli keluarga dan hamba kepada pencipta-Nya.
Kita sering mendengar kisah isteri sebagai pengurus rumah tangga yang menguruskan segala keperluan ahli keluarganya, walaupun sebahagian wang yang digunakan untuk memenuhi keperluan berkenaan, datangnya dari poketnya sendiri.
Begitu juga dalam hal mendidik dan membesarkan anak-anak, tugas ini lebih dibebankan kepada isteri, berbanding suami.
Islam memang tidak menuntut isteri untuk melakukan kedua-dua tugas ini, namun ia amat menggalakkan isteri melakukannya atas dasar membantu suami.
Allah menjanjikan pahala yang tidak terhingga jika perkara itu dilakukan.
Logiknya, sebagai wanita, apakah kedudukan mereka hanya menjadi ‘rakan sekatil’ suami atau orang yang mengandung serta melahir anak-anak semata-mata? Apakah wanita tidak mahu mengambil kira sumbangan lain yang boleh diberikan kepada keluarga yang dibina, selain daripada dua perkara ini? Apakah wanita mahu melepaskan peluang mendapat ganjaran pahala itu untuk bekalan di akhirat nanti?
Melihat dari sudut ini, jelas bahawa nilai dan budaya dalam masyarakat kita yang meletakkan tugas menguruskan rumah tangga di bahu isteri ini, tidak bercanggah dengan Islam.
Apa yang menjadi masalah sekarang ialah eksploitasi suami ke atas isterinya, di mana mereka melepaskan segala tanggungjawab kepada isteri.
Bukan setakat itu, isteri juga dikehendaki melakukannya dengan baik dan sempurna.
Isteri dibebankan dengan tugas memasak makanan yang enak, mengemas dan membersihkan rumah dengan rapi, menjaga dan mendidik anak, dan seribu satu macam jangkaan lagi dari suami. Pada masa sama, isteri harus menyambut kepulangan suami dengan senyuman, berpakaian kemas, wangi dan sebagainya.
Ini adalah suatu yang sukar untuk direalisasikan oleh isteri, apa lagi jika dia adalah seorang isteri yang bekerja di luar rumah.
Barangkali isteri tidak keberatan melakukan tugas domestik dan menjaga anak, tetapi eksploitasi dari pihak suami menyebabkan mereka mula menyoal apakah itu sebenarnya tanggungjawab mereka.
Justeru dalam hal ini, suami perlulah menyedari kewajipan mereka.
Mereka patut bersyukur jika isteri sudi dan bersedia untuk membantu dalam menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Selain itu, suami haruslah berusaha sedaya upaya untuk memudahkan isterinya dalam hal ini.
Persefahaman antara suami dan isteri mengenai perkara ini, di samping melakukan segala suruhan dan menjauhi segala larangannya, sudah pasti akan mendapat restu dan rahmat dari Allah dan Dia pasti akan memudahkan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.
Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan persefahaman dalam rumah tangga adalah terpulang kepada sejauh manakah keimanan dan ketakwaan yang dimiliki oleh pasangan berumah tangga.
Suami yang beriman dan isteri yang bertakwa akan sentiasa saling menjiwai antara satu dengan lain, berpandukan keutuhan ajaran agama yang disemai dalam diri masing-masing.
Sesungguhnya isteri solehah soleh soleh, akan ditempatkan Allah di kalangan orang yang mendapat keberkatan ketika hidup di dunia dan akhirat. Antara keberkatan yang dilihat ialah apabila mereka sudah meninggal dunia, anak-anak yang ditinggalkan sentiasa memohon keampunan kepada kedua ibu bapanya. tintabiru.....tintamerah.....tintahijau
webmaster@mymasjid.net.my