Terkini  Popular    Mula Topik

Punca Berlakunya Keganasan

2004-11-02 12:06:00
PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA KEGANASAN

Masalah keganasan bukanlah suatu isu yang baru dalam tamadun manusia. Jika isu ini bukan suatu isu yang baru jadi apakah sebenarnya yang menjadi punca berlakunya keganasan? Dalam konteks dunia masa kini, punca utama berlakunya keganasan adalah akibat daripada perasaan tidak puas hati terhadap suatu pihak dan ia adalah suatu bentuk tanda protes.

Dunia sedang diwar-warkan dengan keganasan yang dilakukan oleh pengganas Islam atau “Muslim Terrorist”. Apakah yang menyebabkan pengganas Islam ini melakukan keganasan. Jika kita lihat keadaan dunia masa kini, kita akan dapat melihat dengan jelas sebab berlakunya keganasan adalah akibat daripada perbuatan pihak yang menggelar diri mereka sebagai “Super Power” yang dengan sewenangnya menindas, membunuh, mencabuli kedaulatan dan mencederakan orang Islam dan negara Islam keseluruhannya dengan sewenangnya. Golongan ini (pihak pengganas) adalah golongan yang berpendapat bahawa tiada jalan lain yang dapat dilakukan bagi menyuarakan perasaan ketidakpuasan hati mereka terhadap perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh pihak yang menggelar diri mereka ‘polis dunia’ iaitu Amerika Syarikat dan dunia Barat selain dengan cara ini. Ini adalah, bagi mereka, rundingan di atas meja bulat atau kertas bagi menyuarakan perasaan ketidakpuasan hati hanyalah suatu perkara yang sia-sia dan tidak akan mendapat perhatian yang sewajarnya.

Perbuatan pihak Amerika dan sekutunya terhadap dunia Islam dilihat adalah punca maha besar segala keganasan ini berlaku. Para penganalis dunia juga berpendapat, siri demi siri keganasan dilakukan adalah akibat daripada perbuatan AS dan barat yang menindas dunia Islam dan mencabuli kedaulatan beberapa negara Islam seperti Iraq dan Afghanistan. Dengan menggunakan nama “membasmi keganasan antarabangsa” yang kononnya mereka boleh menjadikan dunia ini lebih aman sememangnya gagal dilaksanakan dan hakikatnya telah menimbulkan tindak balas yang jauh di luar jangkaan.

Kemunculan golongan radikal Islam banyak berkait dengan tindak-tanduk AS yang sememangnya berterusan menekan umat Islam dan bersikap berat sebelah dalam apa jua isu melibatkan kepentingan umat Islam. Paling jelas isu Palestin yang dilihat sebagai kunci utama merebaknya keganasan dan ancaman terhadap kepentingan AS. Presiden Yasser Arafat, misalnya, ditekan untuk bersetuju menyerahkan kuasa kepada Perdana Menteri Mahmood Abbas jika ingin melihat proses damai digerakkan semula tetapi AS hanya menutup sebelah mata terhadap kekejaman Yahudi dan secara terang-terang mencabuli hak penduduk Palestin. Cara seperti ini tidak menjamin dunia akan menjadi tempat yang selamat.

Selain itu, kegagalan badan-badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC ) dan sebagainya memainkan peranan mereka sebagai suatu badan yang efisyen dalam menangani isu-isu antarabangsa dilihat menjadi salah satu faktor kepada masalah keganasan ini. PBB pada masa ini masih lagi gagal memainkan peranannya secara produktif terhadap keganasan dan lebih bersikap mendiamkan diri apabila AS menindas orang Islam dan mencerobohi negara Islam. Sementara OIC pula dilihat semakin hilang taringnya dalam menghadapi masalah-masalah yang menimpa ahli-ahli pertubuhannya.

Keganasan juga boleh berlaku apabila keadaan hidup manusia itu terlalu terhimpit dan tertidas dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Bagi mereka sudah tiada jalan lain yang dapat dilakukan selain membalas balik apa yang telah dilakukan oleh pihak yang menindas mereka. Sebagai contoh, kita boleh melihat keadaan yang berlaku di Palestin dimana rakyatnya daripada semua lapisan umur sama ada kanak-kanak, remaja mahupun dewasa bangkit melakukan tindak balas ke atas keganasan Israel dengan membaling batu ke arah tentera Israel, membaling bom buatan sendiri dan sebagainya sebagai tanda protes mereka. Keadaan yang sama juga kita boleh lihat di Iraq yang mana terdapat siri-siri keganasan dilakukan bagi menghalau keluar tentera bersekutu daripada tanah mereka dan mengembalikan kedaulatan negara mereka.

Justeru itu, punca-punca keganasan ini dilakukan bukan semata datangnya daripada satu pihak sahaja tetapi sebenarnya ia adalah daripada suatu tindakan dua hala. Satu pihak menyerang dan satu pihak lagi membalas serangan. Untuk mengatasi masalah keganasan ini sebenarnya Amerika Syarikat dan Barat seharusnya tidak terus-terusan menindas orang Islam dan negara-negara Islam. Amerika Syarikat haruslah mengurangkan perasaan angkuh mereka dan kembali ke landasan sebenar bagi mengatasi masalah keganasan ini. PBB juga seharusnya lebih telus dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai mengatasi masalah ini. Mereka seharusnya tidak menutup mata dengan perbuatan Amerika Syarikat dan dunia Barat yang rata-rata menindas orang Islam dan negara-negara Islam jika mahu masalah ini diatasi dengan jayanya.
notin else materz..ahakz!!

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my