Oleh Zana
19-Jan-2005 11:17:04

Ahmad bin Muhammad bin Hanbal lahir pada Rabiul Awal 164 Hijrah di Baghdad. Ibu bapanya Safiah dan Muhammad, berasal dari Murwa atau Marwin di Khurasan (kini Iran), sebelum berpindah ke Baghdad. Keturunan Ahmad bercantum dengan nasab Rasulullah pada datuknya yang ke-18 bernama Nizar. Nama datuknya Hanbal lebih dikenali berbanding bapanya sehingga Ahmad terkenal dengan panggilan Imam Hanbali. Ahmad dijaga oleh ibunya selepas bapanya meninggal dunia ketika dia kanak-kanak. Dia menghafal al-Quran dalam usia 14 tahun dan dalam usia 16 tahun, dia merantau ke serata tempat kerana mahu menuntut ilmu. Malah kata-katanya yang popular apabila ditanya sampai bila dia mahu belajar, jawabnya, “selagi tinta belum kering dan hingga ke liang lahad”. Sasaran utama Ahmad untuk mendalami ilmu hadis, pantang mendengar ada ahli hadis, dia akan merantau untuk mencari guru itu tanpa mengira cabaran yang akan ditempuhinya.
Guru pertamanya dalam ilmu hadis, Imam Abu Yusuf Yaakub bin Ibrahim, yang merupakan sahabat dan pelajar Imam Abu Hanifah. Guru keduanya, Imam Husyaim bin Basyir lebih banyak mempengaruhinya selama empat tahun dia belajar serta menerima 4,000 hadis. Dalam diam, Ahmad menyimpan cita-cita untuk berguru dengan Imam Malik di Madinah yang sangat terkenal ketika itu. Namun dia tidak cukup wang untuk ke sana sehingga Malik meninggal dunia.
Bagaimanapun Ahmad sempat belajar daripada pelajar Malik iaitu Imam Shafie yang 14 tahun lebih tua daripadanya. Mereka berdua bertemu ketika Shafie mengerjakan haji dan sedang mengajar di Masjidil Haram. Banyak masanya dihabiskan di majlis ilmu Shafie kerana dia mengagumi pengetahuan tinggi Shafie dalam ilmu hadis serta fikah.
Satu keistimewaan Ahmad, dia selalu mencatatkan ilmu yang didapatinya ke atas kertas supaya dapat dimanfaatkan orang lain sehingga dia diberi jolokan Golongan Ahli Tinta. Jolokan itu diberikan kepada ulama seperti Ahmad untuk membezakan mereka dengan ulama ahli fikir, kerana mereka tidak hanya menggunakan fikiran tetapi berpegang juga kepada fakta bertulis.
Satu lagi keistimewaan Ahmad, dia hanya bersedia menjadi guru dan mengajar di majlis ilmu selepas berusia 40 tahun. Dia berbeza dengan gurunya, Shafie yang sudah mengajar dalam usia belasan tahun. Keengganannya kerana dia menghormati gurunya yang masih hidup. Alasan itu diterima kerana Ahmad sentiasa mengikut teladan Rasulullah yang menerima wahyu pertama dalam usia 40 tahun.
Ahmad memang terkenal dengan sikapnya yang warak dan berhati-hati mengeluarkan fatwa. Di sebalik tubuh tinggi dan berkulit hitam kemerahan, dia gemar berpakaian kain kapas serta hidup sederhana. Orangnya sangat penyabar, tetapi kuat kemahuan serta tidak suka bergurau senda sehingga orang lain pun tidak berani hendak bergurau senda apabila berada bersamanya.
Dia berdepan ujian hebat pada zaman pemerintahan Khalifah al-Makmun, yang memerintah selepas bapanya Harun al-Rashid meninggal dunia. Di Baghdad semasa al-Rashid masih hidup, terdapat golongan tertentu yang menimbulkan isu dengan berdebat dalam perkara yang menyentuh akidah.
Mereka ini adalah golongan Muktazilah yang mempersoalkan adakah al-Quran itu makhluk (baru) atau kalamullah yang qadim. Basyar al-Marisy orang pertama yang menimbulkan isu itu sehingga golongan Muktazilah menerima bahawa al-Quran itu makhluk. Isu ini membimbangkan al-Rashid sehingga khalifah mengancam untuk menghukum orang yang menimbulkan isu ini. Ancaman ini memaksa Basyar menyembunyikan diri selama 20 tahun sehinggalah al-Rashid meninggal dunia.
Kematian al-Rashid diganti oleh al-Amin tetapi berjaya digulingkan oleh adiknya, al-Makmun yang mendapat sokongan golongan Muktazilah. Pengaruh Muktazilah bertambah kuat apabila seorang pemimpinnya, Ahmad Abi Daud dilantik menjadi menteri. Mereka juga telah membangkitkan semula isu yang dibawa oleh Basyar sebelum ini sehingga khalifah berjaya dipengaruhi.
Ketika khalifah sakit, mereka berjaya memujuk khalifah menandatangani surat yang memerintahkan ulama supaya mengakui al-Quran adalah makhluk. Namun bagi ulama bebas seperti Ahmad yang lurus dan jujur, dia berpegang teguh dengan fatwa bahawa al-Quran adalah kalamullah dan kalamullah sama dengan sifat Allah yang qadim. Penentangan ini menyebabkan Ahmad ditangkap, disebat dan dipenjarakan.
Ahmad dipenjarakan sehingga al-Makmun meninggal dan digantikan adiknya, al-Muktasin. Hukumannya kekal kerana isu itu masih berlanjutan. Malah Ahmad dipanggil untuk disoal siasat dan diarah mendengar hujah Ahmad Abi Daud yang ketika itu sudah dilantik sebagai kadi. Dia berkeras dengan pendiriannya dan terpaksa meneruskan hukuman di penjara. Barangkali kerana dia benar, usianya dipanjangkan Allah sehingga al-Muktasin meninggal dunia pada 227 Hijrah dan diganti anaknya, al-Wathiq Billah.
Khalifah baru masih berpegang kepada pendirian khalifah lama, namun tiada lagi seksaan dikenakan pada Ahmad. Dia masih dipenjarakan kerana khalifah mahu memisahkannya dengan masyarakat luar terutama para pengikutnya. Selepas al-Wathiq meninggal, penggantinya al-Mutawakkil telah membebaskan Ahmad. Al-Mutawakkil dianggap mempunyai pandangan lebih terbuka dan enggan membiarkan isu lama itu berlanjutan sehingga memecahbelahkan rakyat. Malah khalifah mengutuskan surat ke seluruh negara meminta fitnah itu dihentikan segera.
Khalifah juga cuba berbaik-baik dengan Ahmad dengan mengirimkan pelbagai hadiah serta menawarkan pangkat kepadanya. Tawaran baik khalifah menyedihkan Ahmad kerana baginya ini adalah fitnah dunia, berbanding peristiwa lalu sebagai fitnah agama. Malah dia pernah mengeluh dengan berkata, “Tiada bahaya bagi iman melainkan cinta keduniaan, dan tiada bahaya bagi hati melainkan condong kepada perhiasan dunia. Apabila iman telah rosak dan hati binasa, apa lagi yang boleh dibanggakan di hadapan Allah di padang mahsyar kelak?”
Semasa dibebaskan, usia Ahmad 70 tahun. Dia meneruskan kegiatan mengajar di majlis ilmu tetapi penderitaan di penjara menyebabkan kesihatannya terganggu. Khalifah sering menyuruh doktornya merawat Ahmad tetapi Ahmad dapat merasakan ajalnya semakin dekat. Dia menghabiskan usianya dengan berzikir dan membanyakkan amalan.
Ketika penyakitnya semakin kronik, ramai orang datang menjenguknya. Khalifah juga menyampaikan pesan untuk menziarahinya tetapi Ahmad menolak dengan alasan dia bimbang akan tambah runsing menjelang saat akhir hayatnya jika dikunjungi khalifah.
Ahmad meninggal dunia pada Jumaat, 12 Rabiul Awal 241 Hijrah dalam usia 77 tahun. Ribuan rakyat Baghdad menyembahyangkan jenazahnya sebelum dia dikebumikan di Perkuburan Bab Harb. Ahmad meninggalkan seorang balu, lima anak lelaki dan seorang anak perempuan. Tiada sedikit pun harta yang ditinggalkan, kecuali ilmu untuk dimanfaatkan oleh orang Islam seluruh dunia. Antara kitab tulisannya adalah al-Musnad, kitab yang mengumpulkan 40,000 hadis. Selain itu, kitab lain yang ditulis sendiri atau ditulis pelajarnya adalah seperti al-Nasikh wal Mansukh, Kitab at-Tarikh, al-Manasikul Kabir, al-Manasikul Saghir dan Kitab al-Wara’i.
"Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat...."
webmaster@mymasjid.net.my