Terkini  Popular    Mula Topik

Fenomena Ekuinoks, Semua Perlu Berhati-hati

2005-03-21 08:57:04
Oleh
Hamzah
Kira-kira 12,000 anggota bomba di seluruh negara diarah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan fenomena ekuinoks yang melanda negara ini esok.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat, Norizan Sulaiman berkata, arahan itu telah dikeluarkan kepada semua pengarah negeri supaya mengambil langkah proaktif bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

``Kita sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi apa-apa kejadian luar jangkaan selain meminta orang ramai tidak bertindak mencetuskan sebarang pembakaran terbuka.

``Kita turut akan bekerjasama dengan agensi lain termasuk Jabatan Perhutanan Semenanjung melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengawal keadaan ekoran cuaca panas ini,''katanya ketika kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas persiapan Jabatan Bomba dan Penyelamat berikutan fenomena ekuinoks.

Negara dijangka mengalami pancaran matahari paling terik terutama negeri-negeri Utara Semenanjung termasuk Perlis, Pulau Pinang dan Kedah dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius ekoran fenomena tersebut.

Pada tarikh itu, matahari yang sedang bergerak dari kawasan hemisfera selatan ke hemisfera utara akan berada betul-betul di atas garisan khatulistiwa yang mengakibatkan keadaan panas terik.

Keadaan itu akan menyebabkan penduduk di kawasan Khatulistiwa melalui tempoh siang hari paling panjang tahun ini iaitu kira-kira 14 jam dan menyaksikan penerimaan cahaya matahari lebih lama daripada biasa.

Norizan berkata, terdapat enam kawasan hutan dan gambut di Selangor dan Lembah Klang terbakar membabitkan anggaran keluasan kira-kira 192 hektar sejak minggu lalu.

Kawasan itu ialah Pasir Panjang di Sabak Bernam, Batang Berjuntai, Putra Perdana, Timah Langat, Johan Setia di Jalan Kebun dan tanah gambut berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

``Lebih 150 anggota dikerah memadam dan mengawal kebakaran tersebut menggunakan pelbagai kaedah memadam termasuk direct attack, total flooding dan fire break.

``Anggota bomba berhempas-pulas mengawal dan memadamkan kebakaran terutama kawasan gambut yang berdekatan dengan KLIA kerana berlangsung Formula satu Grand Prix Dunia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Zulkarnain Mohd. Kassim berkata, kawasan hutan seluas sembilan hektar di puncak Gunung Kenderong masih terbakar manakala 280 hektar telah berjaya dipadamkan.

Selain itu katanya, kawasan hutan buluh seluas 10 hektar masih terbakar di sekitar Bukit Kobis, kira-kira dua kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand dan sedikit kawasan di Gunung Tujuh, bagaimanapun, ia masih terkawal.

``Hampir 100 anggota bertungkus-lumus memadamkan dan mengawal kebakaran tersebut.

``Apa yang penting sekarang Pasukan Bomba dan Penyelamat sedang melipatgandakan operasi supaya semua kebakaran itu dapat dipadam sepenuhnya secepat mungkin,'' ujarnya.

Dipetik dari: Utusan MalaysiaKeredhaan Allah sebahagiannya terletak pada izin dan restu ibubapa.

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my