Oleh Amir^Syakib^Arsalan
11-Apr-2005 15:36:57

Pemuda PAS Pahang lancar buku 'The Zouk: Dulu JAWI kini JAIP Tersungkur'
Sunday, April 10 @ 19:31:22 MYT
TEMERLOH, 10 April (Hrkh) - Pemuda PAS Pahang (DPP) menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘The Zouk : Dulu JAWI kini JAIP TERSUNGKUR, yang mengupas isu semasa khususnya persoalan gejala sosial remaja Islam dalam insiden di Kelab Malam Zouk dan pesta hiburan di Genting Highlands, Mac lalu.
Kedua-dua isu tersebut disifatkan sebagai isu besar yang mengubah ‘status quo’ peranan dan fungsi Jabatan Agama Islam di Malaysia yang diamanahkan untuk membenteras kegatan maksiat di kalangan penganut Islam.

Jabatan agama Islam diberi kuasa untuk menahan dan membicarakan mana-mana individu muslim yang melanggar batas agama seperti minum arak, berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai dan sebagainya (Seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Pesekutuan). Kuasa Jabatan Agama Islam ini termaktub di dalam bidang kuasa agama Islam Wilayah Persekutuan dan Negeri-negeri.
Bagaimanapun reaksi keras beberapa orang pemimpin negara (menteri kabinet) menempelak pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), mengejutkan banyak pihak. Jawi akhirnya menarik balik saman yang dikeluarkan kepada pesalah (suatu tindakan di luar bidang kuasanya kerana hanya mahkamah sahaja boleh menarik balik saman yang telah dikeluarkan).
Tindakan pemimpin Umno/BN itu disifatkan sebagai membela pesalah, suatu tindakan ganji, sebagai perbandingan, apa akan jadi sekiranya menteri membidas tindakan Polis menahan reman penjenayah (perogol, perompak dan pembunuh). Inilah yang terjadi dalam kes Jawi lawan remaja yang ditahan pada 13 Januari di sebuah kelab bernama The Zouk.
Isu hampir sama berulang di Genting Higlands, Pahang pada 4 dan 5 Mac lalu. Bezanya penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) hanya memerhati dan mengambil gambar 10 ribu remaja termasuk remaja Islam berpesta minuman keras dan berpakaian menjolok mata. Mereka juga berada dalam keadaan mabuk dan khayal.
Buku ini turut merakamkan pandangan Dewan Pemuda PAS Pahang terhadap isu berkaitan dengan memuatkan keseluruhan kandungan memorandum DPP Pahang kepada YAB Menteri Pahang Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakub yang diserahkan pada 21 Mac 2005 serta kenyataan media Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Nasruddin Hassan berhubungan isu tersebut untuk tatapan pembaca.
Buku setebal 50 muka surat ini dijual dengan harga RM3.00 senaskhah tidak termasuk kos penghantaran.
Pegawai Tadbir DPP Pahang, Ismanizan Ismail berkata, matlamat pihaknya menerbitkan buku ini adalah untuk mendedahkan kepada masyarakat bahawa pemuda PAS tidak ketinggalan memperjuangkan isu moral.
“Kita melihat remaja tidak diberi peluang untuk mendapat pendidikan agama dan akhlak sewajarnya malah remaja sering perguna untuk kepentingan pihak tertentu dengan mendedahkan mereka kepada unsur-unsur negatif seperti hiburan dan sebagainya.
Kepada pembaca yang berminat untuk membeli buku ini boleh menghubungi talian 09 2968143 pada waktu pejabat atau menulis ke alamat DPP Pahang, NO 2, Jalan Sudirman 6, 28000 Temerloh, Pahang DM. - BAW/mns
"SUMPAH PENDEKAR : BIAR PUTIH TULANG ASAL JANGAN PUTIH MATA ..."
webmaster@mymasjid.net.my