Terkini  Popular    Mula Topik

50,000 Remaja Melayu Lembah Kelang Mohon Murtad ?

2005-07-01 10:06:31
Oleh
jeemiau
**************************************************************

"Baru-baru ini dalam satu ceramah oleh seorang ustaz dari Jabatan Agama Islam di salah sebuah negeri di Malaysia ini beliau telah menyampaikan ceramah berkaitan Maulidur Rasul di Seremban. Beliau menceritakan di kala umat Islam di Malaysia ini sedang meraikan bulan Maulidur Rasul dalam pada masa yang sama katanya 50,000 orang remaja Melayu di kawasan Lembah Kelang sahaja sedang membuat permohonan untuk murtad.

Kes-kes murtad sebelum ini dianggap satu kes yang sensitif di mana ianya tidak dibincang dengan begitu terbuka dan statistik kes ini tidak didedahkan kepada umum. Mengapakah isu murtad ini tidak dibincang dengan fikiran yang terbuka di kalangan umat Islam ? Hanya yang kita dengar penubuhan Suruhanjaya Antara Agama akan menggugat kepentingan umat Islam di Malaysia ini apabila antara cadangan yang dikemukakan ialah permohonan murtad haruslah diuruskan oleh mahkamah sivil dan tidak perlu diproses oleh mahkamah syariah seperti yang berlaku sekarang ini.

Mengapa kita pada satu sudut memandang negatif kepada kumpulan yang pada tanggapan kita akan lebih menggalakkan lagi gejala murtad sedangkan kita tidak pernah mengkaji mengapa angka-angka murtad semakin hari semakin membimbangkan ? Pihak berkuasa agama Islam haruslah mendedahkan statistik murtad ini kepada umat Islam di Malaysia ini, kerana gejala murtad ini boleh merosakkan institusi keluarga Islam lebih teruk daripada gejala sosial dan dadah.

Ada yang mengatakan bahawa rata-rata remaja Melayu keluar daripada agama Islam bukan kerana mereka percayakan agama lain daripada Islam itu adalah agama yang membawa kepada kebenaran tetapi hanyalah sekadar mereka tidak gemar untuk mengamalkan Islam, suka hidup bebas, suka meminum arak dan bermain judi.

Mungkin ada pula yang memikirkan terdapat terlalu banyak sekatan dalam agama Islam itu sendiri. Ini jelas terbukti apabila khutbah-khutbah dan ceramah-ceramah di masjid-masjid di Malaysia ini perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa. In imenyebabkan para khatib-khatib bukannya berkhutbah seperti yang sepatutnya akan tetapi hanya sekadar membaca teks khutbah yang mana ini boleh dilakukan oleh kebanyakkan orang. Bagaimana mereka hendak tertarik pada Islam apabila khatib-khatib tidak pandai untuk memberikan khutbah mengikut isu semasa dan keadaan setempat. Bayangkan isi khutbah yang di bandar turut sama di baca di tanah-tanah perancangan, sedangkan keadaan di bandar tidak semestinya sama dengan di bandar.

Berlainan sekali dengan agama selain daripada agama Islam, kita dapati tiada larangan dan halangan untuk pendeta-pendeta mereka untuk memberikan ceramah. Sudah pasti ada remaja Melayu yang tertarik kerana senario begitu berbeza sekali apabila di rumah-rumah ibadah bukan Islam pendeta-pendeta mereka bebas dan petah untuk berceramah pada perjumpaan mingguan sedangkan khatib-khatib kita hanya boleh berceramah menggunakan teks yang diluluskan. Maka tidak harianlah pada hari Jumaat apabila khatib sedang berkhutbah ada sahaja para jemaah yang tersenggok-senggok menahan ngantuk atau pun mungkin ada yang terlena terus badan membongkok dahi hampir mencecah bumi.

Segala permasalahan yang melanda umat Islam sekarang ini haruslah berbalik pada yang asas iaitu Al Quran dan Sunnah serta sentiasa mendapatkan nasihat para ulama. Bagaimana kita hendak membendung gejala murtad ini jika masjid dan surau kita tidak dimakmurkan ? Bagaimana kita hendak membendung gejala murtad ini jika masjid-masjid hanya dijadikan tempat tarikan pelancong serta dihiasi dengan pelbagai perhiasan yang terkini sedangkan ianya sepi daripada para jemaah yang mendirikan solat lima kali sehari semalam ? Sempena bulan Maulidur Rasul ini , marilah kita menghidupkan kembali sunnah Rasul saw, penuhkanlah masjid-masjid setiap solat lima waktu, bukan hanya ada hari-hari kebesaran atau bukan hanya ada pemimpin-pemimpin kerajaan yang datang barulah jemaah serta jawatankuasanya mula menampakkan wajah di masjid. Sekiranya ada program-program, mesyuarat, perhimpunan agong diadakan, apabila masuk sahaja waktu solat maka tangguhkanlah dahulu mesyuarat tersebut dan bersama-samalah solat berjemaah seperti mana yang disarankan oleh junjungan yang amat kita kasihi Nabi Muhammad saw. dan berdoalah agar ahli keluarga kita hidup dan mati mereka dalam keadaan Islam dan beriman jika tidak sudah pasti agama lain mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin masuk kepada agama mereka.

ROZMAL MALAKAN, Kg. Bongek, N.Sembilan."

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my