Terkini  Popular    Mula Topik

Bab Dan Pasal Mencari Kebahagiaan Hati

2005-07-09 17:24:36
Segala pujian tertentu bagi Allah SWT, selawat dan salam buat utusan yang mulia Nabi Muhammad saw dan kepada keluarga baginda saw dan para rasul a.s. dan para sahabat baginda r.a. dan para kekasih baginda saw dan para syuhada r.a. yang sentiasa berperang dan berjihad sepenuhnya atas agama Allah SWT.

“Jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang berperang
berjihad atas agama Allah itu mati, bahkan mereka itu tetap hidup di sisi
Tuhan mereka, dengan mendapat nikmat dan rezeki yang mulia.”
(Maksud Al-Qur’an)
Adikku,

Pada kali ini kita menyambung kembali mengulangkaji pelajaran yang lalu, dalam bab dan fasal mengapa seseorang itu tidak merasai nikmat bahagia, hati sering resah gelisah dan selalu bermuram durja. “Mengapatah Allah akan menyeksamu jika kamu beriman dan bertakwa? Sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri”. (Maksud Al-Qur’an)

Hati adalah istana Allah SWT, tempat terjalinnya hak-hak Alllah tetapi oleh sebab telah bertahun-tahun lamanya terbiar tanpa iman yang benar dan amalan baik (soleh) maka ia telah dipenuhi oleh kerakusan hawa nafsu dan kebejatan jiwa, dia telah menjadi rumah nafsu, tempat untuk memuaskan hawa nafsu, sedangkan dia telah diperintahkan untuk hanya patuh dan taat kepada Allah SWT semata-mata.

Mengaku atau tidak, di antara perkara-kara yang sering kita terlepas pandang ialah bahawa dosa-dosa adalah antara faktor-faktor penting yang menyumbang kepada ketidakbahagiaan hidup seseorang selain faktor-faktor terpenting yang sering diabaikan seperti solat dan berbuat baik kepada ibu bapa dan guru-guru dan perintah berbuat baik kepada sesama manusia. Benarlah apabila ahli-ahli sufi r.a. pernah berkata: “Hati adalah wadah. Berebut-rebutlah syaitan dan Malaikat untuk menguasainya. Awas, jangan biarkan syaitan menang kerana isinya adalah kekufuran!”

Allah tidak memberati seseorang melainkan sekadar kemampuannya. Jika dia miskin, nescaya Allah akan memberikan kekayaan daripada kurniaan-Nya dan bersegeralah dengan berlumba-lumba untuk mendapatkan keampunan Allah dan rahmat kurniaan-Nya yang luasnya seluas langit dan bumi (bahkan lebih luas lagi) dan diberikan-Nya kepada sesiapa saja yang dikehendak-Nya dan melalui sumber-sumber yang tidak pernah terfikirkan oleh manusia dan hanya Allah sajalah yang memiliki kurnia tanpa hisab, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

Tidak ada suatu musibah pun di bumi dan (tidak pula) di langit melainkan Allah telah mengetahui sebelum hari kejadiannya (sepeti ketetapan di Luh Mahfuz) kerana Allah ingin meninggikan darjat para hamba-Nya yang benar-benar beriman dan bertakwa dan menjatuhkan sedikit bencana (musibah yang buruk) sebagai pengajaran kepada yang menderhaka, mudah-mudahan mereka (semua) kembali semula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

“ Tidak ada suatu musibah pun di bumi dan (tidak pula) di langit dan tidak juga
kepada dirimu melainkan telah tertulis dalam Kitab yang nyata (Luh Mahfuz)
sebelum Kami menciptakannya. Kerana itu, janganlah kamu terlalu berduka
terhadap apa yang telah hilang luput dari kamu dan (begitu pula) janganlah
kamu terlalu gembira dengan nikmat yang telah dikurniakan kepada kamu.
Untuk Kami menguji kamu, siapakah antara kamu yang paling baik amalnya.”

“ Orang yang benar-benar beriman bertakwa dan beramal baik (soleh), tidak ada
kekhuatiran terhadap mereka dan mereka (pula) tidak bersedih hati”
(Maksud Al-Qur’an)

“Tahukah kamu (antara tanda-tanda) orang-orang yang mendustakan (agama
Allah). Itulah orang-orang yang mengherdik anak-anak yatim dan tidak mahu
menganjurkan membantu memberi makan fakir dan orang-orang miskin. Maka
kecelakaanlah (neraka Wail) kepada orang-orang yang solat, yang lalai, cuai
ketika mendirikan solat .…”
(Maksud Al-Qur’an)

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my