Terkini  Popular    Mula Topik

Penerbangan Masih Selamat?

2005-08-28 08:58:08
Oleh
ilham
DALAM tempoh sebulan, sepanjang bulan ini, lima nahas pesawat penumpang dilaporkan. Ia bermula di Kanada pada 2 Ogos diikuti Itali (6 Ogos), Greece (14 Ogos), Venezuela (16 Ogos) dan terbaru di Peru pada 23 Ogos lalu.

Semua kejadian ini dianggap antara nahas pesawat terburuk sejak beberapa tahun lalu. Dan fakta ini menepati ramalan yang pernah dibuat pada tahun 2000, bahawa menjelang tahun 2007, nahas pesawat akan meningkat sekali ganda, kira-kira 50 setahun atau satu nahas seminggu.

Nahas pesawat berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada terhempas, meletup di udara, terlanggar lereng bukit atau bangunan dan jatuh menjunam ke dalam laut.

Hampir kesemua nahas ini melibatkan jumlah korban yang tinggi tetapi dalam beberapa kes, ada juga penumpang yang terselamat sekalipun ia terjatuh di dalam laut atau kawasan pergunungan.

Misalnya pada tahun 1993, filem Alive menceritakan kisah benar bagaimana pasukan ragbi Uruguay terselamat apabila pewasat mereka terhempas di Pergunungan Andes pada tahun 1972. Dalam kejadian pada tahun 2002, dua orang terselamat sementara 76 penumpang terbunuh apabila pesawat Nigeria terhempas di Kano dan melanggar kawasan penempatan penduduk. Begitu juga tahun ini apabila sebuah pesawat yang membawa para penumpang dari Tunisa mendarat cemas di Sicily yang menyebabkan 13 terbunuh tetapi 23 lagi terselamat.

Pesawat yang meletup juga masih mampu meninggalkan mangsa yang terselamat walaupun dalam jumlah yang terlalu kecil.

Justeru, nahas pesawat yang berlaku sejak kebelakangan ini tidak seharusnya menimbulkan rasa panik kepada para penumpang, apatah lagi mereka tidak ada pilihan lain untuk ke destinasi yang jauhnya beribu kilometer.

Bagaimanapun, sikap berhati-hati adalah perlu termasuklah dalam memilih syarikat penerbangan yang mempunyai rekod penerbangan yang terbaik.

Berikutan jumlah nahas yang membimbangkan pada bulan ini, kerajaan Perancis baru-baru ini menyenaraihitamkan syarikat penerbangan yang mempunyai rekod penerbangan yang buruk.

Langkah itu bagi menghilangkan kebimbangan awam untuk menaiki pesawat berikutan tiga nahas yang mengorbankan 358 mangsa dalam tempoh 10 hari bulan ini.

Sebelum ini negara itu mencadangkan badan antarabangsa menganugerahkan Label Biru menjelang tahun depan kepada syarikat penerbangan yang selamat dinaiki.

Apakah punca nahas pesawat ini? Adakah kapal terbang sudah tidak selamat lagi?

Setiap kali berlaku nahas, penyelidikan mengenai puncanya akan dilakukan berdasarkan maklumat daripada kotak hitam pesawat yang ditemui.

Banyak persoalan berkaitan nahas tidak terjawab sehinggalah pasukan penyiasat menemui perakam data penerbangan (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR) yang juga dikenali sebagai kotak hitam yang kemudiannya dianalisis.

Penyiasatan biasanya akan dilakukan oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan.

Berdasarkan pengalaman lalu, antara punca nahas ialah kerosakan mekanikal atau enjin, pesawat dirampas oleh penjenayah dan cuaca buruk sama ada ribut taufan, petir, salji, kabus atau hujan lebat.

Namun menurut majalah Flight International, keselamatan penerbangan di seluruh dunia adalah enam kali lebih baik berbanding 25 tahun lalu.

Contohnya pada tahun 1979, ada tiga nahas bagi setiap satu juta penerbangan, dibandingkan dengan tahun lalu, satu nahas bagi dua juta penerbangan.

Keselamatan penerbangan adalah lebih baik berikutan teknologi terkini.

Malahan jika dibandingkan dengan semua jenis pengangkutan dan jumlah korban bagi setiap kilometer, ternyata kemalangan udara adalah yang terkurang.

Justeru, syarikat-syarikat penerbangan perlu berusaha memulihkan keyakinan penumpang untuk terus terbang dengan selamat.

Ahli penerbangan, Dr. Graham Braithwaite mengatakan, adalah sangat penting untuk tidak takut terbang setelah pelbagai kecelakaan penerbangan berlaku.

Bagaimanapun beliau mengakui nahas udara seperti yang berlaku ke atas jet Concorde milik Air France pada 25 Julai 2000 boleh mencemaskan para penumpang. Pesawat itu terhempas lalu merempuh sebuah hotel di bandar Gonesse di luar Paris menyebabkan 113 orang terbunuh.

Oleh itu, mereka yang mempunyai perasaan takut harus diyakinkan untuk terus terbang.

``Ketakutan adalah sesuatu yang sangat individual bahawa banyak orang perlu waktu untuk mengatasi rasa takut,'' kata Susie Stevenson dari Virtual Aviation yang menyelenggarakan kursus bagi orang-orang yang takut menaiki pesawat.

Menurut satu laporan, terdapat kira-kira 10 juta orang di United Kingdom yang takut terbang dengan pesawat.

Sebuah laman web pula menasihatkan para penumpang yang melakukan penerbangan jauh tanpa henti supaya memilih pesawat yang lebih besar dan sentiasa berwaspada bagi membolehkan anda mengikuti segala arasan kakitangan kabin semasa kecemasan.

Nahas juga kerap berlaku semasa pesawat mahu berlepas, ketika menambah atau mengurangkan paras ketinggian penerbangan dan semasa mendarat.Kesimpulannya, nahas pesawat sukar dijangka.

ANTARA NAHAS PESAWAT SEPANJANG TAHUN 1999 HINGGA 2005

Dapatkan semua fakta-fakta itu di dalam http://villailhami.blogspot.com

terima kasih

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my