Jenis-jenis Tangisan Dalam Islam

Oleh Jaz
10-Jul-2003 22:39:12
Tangisan menurut perspektif Islam, boleh dibahagikan kepada dua jenis
iaitu tangisan yang berbentuk negatif dan tangisan yang berbentuk
positif.
Tangisan yang dilarang ialah seperti meraung dan melolong dengan sekuat
hati apabila menerima atau meratapi kematian.
Tangisan seperti ini bukan sahaja dipandang negatif kepada orang yang
melakukannya tetapi juga mayat yang diratapinya itu turut terseksa
kerana perbuatannya.
Ini berbeza dengan tangisan positif iaitu tangisan yang terjadi kerana
cinta dan takut kepada Allah.
Malah Nabi Muhammad pun menangis bila mengenangkan kesengsaraan dan
penderitaan yang dihadapi oleh umatnya serta tatkala baginda memohon ampun
dari Allah.
Antara jenis-jenis tangisan yang dibenarkan malah digalakkan dalam
Islam ialah:
Antara jenis-jenis tangisan yang dibenarkan malah digalakkan dalam
Islam ialah:
1. Ketika melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah.
Orang-orang yang beriman
www.myjodoh.net
dan bertaqwa akan sentiasa bersyukur dengan
apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.
Golongan ini sama sekali tidak pernah mengeluh malah sentiasa reda
dengan apa yang mereka terima.
Maka dengan sebab itu, orang-orang sebegini adakalanya menitiskan air
mata apabila menerima rahmat dan nikmat-nikmat tersebut.
Sebagai contoh, dalam satu riwayat oleh Anas bahawa Rasulullah berkata
kepada Ubay bin Ka'ab: ``Allah menyuruh membacakan kepadamu Surah
al-Bayyinah ayat 1, ``Orang-orang kafir iaitu ahli kitab dan orang-orang
musyrik (mengatakan bahawa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya)
sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata,''
Ubay bertanya : ``Apakah Allah menyebut namaku?'' ``Nabi menjawab ya,
lalu menangislah Ubay (kerana mendengar berita gembira itu).
Ayat tersebut menyatakan tentang pendirian kaum Yahudi dan Nasrani
terhadap seruan Nabi Muhammad sebagai Rasul yang telah menerangkan kepada
mereka agama yang telah dibawa olehnya iaitu agama Islam.
Mereka (Yahudi dan Nasrani) kenal Nabi Muhammad yang diutus sebagai
rasul kepada umat akhir zaman, tetapi setelah baginda dibangkitkan mereka
tidak percaya malah tidak mahu beriman kepada apa yang dibawa oleh
baginda.
2. Kerana menyesali perbuatan dan dosa yang dilakukan.
Tangisan penyesalan biasanya terjadi apabila seseorang yang telah
melakukan dosa, menyedari dan menyesali perbuatannya dengan
bersungguh-sungguh.
Ekoran daripada penyesalan itu maka timbul rasa sedih yang mendalam
yang akhirnya akan menitiskan air mata. Tangisan yang sedemikian itu
timbul akibat wujudnya rasa kesedaran yang mendalam dan rasa takut yang amat
sangat kepada Allah.
Keadaan sebegini akhirnya akan mendorong seseorang itu bertaubat dan
seterusnya kembali ke jalan yang benar.
Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam ayat 82 Surah al-Taubah, ``Maka
hendaklah mereka sedikit tertawa dan banyak menangis sebagai pembalasan
dari apa yang mereka telah kerjakan.''
3. Apabila bertambah keimanan kepada Allah.
Iman yang tertanam dalam hati akan terus subur dan mekar apabila
disirami dengan ayat-ayat suci al-Quran yang dibaca dengan penuh penghayatan
sehingga boleh menyebabkan seseorang itu menitiskan air mata.
Tangisan sebegini merupakan tangisan yang tinggi nilainya kerana ia
merupakan campuran antara rasa kesedaran dan keimanan yang tidak berbelah
bagi.
Justeru tanpa disedari akan bercucuran tangisan akibat rasa keimanan
yang begitu mendalam sebagaimana firman Allah dalam ayat 58, Surah
Maryam; ``Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Tuhan Yang Pemurah,
mereka segera sujud serta dan menangis.''
4. Timbul dari rasa khusyuk dan tawaduk.
Tangisan seperti ini boleh terjadi apabila seseorang itu khusyuk dalam
beribadat. Air mata yang menitis itu bukan kerana perasaan sedih tetapi
kerana menyedari betapa diri yang begitu kerdil ketika berhadapan
dengan pencipta-Nya.
Bahkan, orang yang mencapai tahap kekhusyukan itu termasuk salah satu
dari tujuh golongan yang memperoleh keistimewaan pada hari kiamat
seperti sabda Rasulullah: ``Tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh
Allah pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naunganNya (iaitu) :
Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang dibesarkan dalam beribadat kepada
Allah, orang yang hatinya selalu rindu pada masjid, dua orang yang
berkasih sayang semata-mata kerana Allah iaitu bertemu kerana Allah dan
berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita
bangsawan dan rupawan lalu ditolaknya dengan berkata, ``Aku takut kepada
Allah'', seorang yang bersedekah dalam keadaan rahsia sehingga tangan
kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan
seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan menyendiri lalu menitis
air matanya.'' (Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Bimbang terputusnya rahmat Allah.
Suatu hal yang menyedihkan hati dan amat dibimbangi oleh orang-orang
yang beriman ialah terputusnya kebajikan dan rahmat Allah.
Apabila keadaan ini berlaku, ia boleh mengubah suasana hati dan
perasaan sehingga menjadi sedih dan terharu.
Sebagai contoh, pada suatu hari sesudah Rasulullah wafat, Saidina Abu
Bakar mengajak Saidina Umar ke rumah Ummu Aiman seperti mana Rasulullah
semasa hayatnya sering menziarahinya.
Sebaik sampai di rumah Ummu Aiman, tiba-tiba Ummu Aiman menangis.
Kedua-dua tetamunya itu lantas bertanya, ``Apakah yang menyebabkan kamu
menangis? Tidakkah engkau tahu bahawa yang tersedia di sisi Allah untuk
Rasulullah jauh lebih baik?'' Ummu Aiman menjawab, ``Aku tidak menangis
kerana itu melainkan kerana wahyu dari langit telah terputus
(terhenti).''
Kata-kata Ummu Aiman itu ternyata mengharukan Abu Bakar dan Umar, lalu
kedua-duanya turut menangis.
6. Apabila terselamat dari kesesatan dan menemui kebenaran.
Adakalanya air mata seseorang itu akan menitis apabila ditunjukkan oleh
Allah jalan yang benar setelah sekian lama hanyut dalam kelalaian atau
kesesatan.
Bagi yang berada dalam situasi sedemikian, akan terus menangis dan
tangisannya bukan kerana merasa sedih tetapi kerana terlalu gembira dengan
hidayah yang diterima itu.
Hal ini pernah terjadi kepada segolongan pendeta apabila mengetahui
al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah merupakan kebenaran dari Allah
seperti firman-Nya: ``Dan apabila mereka itu (segolongan pendeta)
mendengar apa-apa yang diturunkan kepada Rasul, engkau akan melihat mereka
akan menitiskan air matanya, lantaran mengetahui kebenaran (seraya)
mereka berkata; ``Hai Tuhan kami! Kami telah beriman. Oleh kerana itu,
catatlah kami dalam golongan orang-orang yang menyaksikan. Dan tidak patut
kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada
kami, pada hal kami ingin supaya Tuhan memasukkan kami bersama kaum
yang soleh.'' (Surah al-Maidah:83-84)
Daripada maksud firman Allah tersebut, jelaslah bahawa tangisan yang
positif mempunyai keutamaan di sisi Islam sehingga tangisan seumpama itu
boleh mendatangkan manfaat yang besar.
Ini kerana, orang yang menitiskan air mata kerana Allah sebenarnya
merupakan orang yang cukup tinggi rasa keimanan dan taqwanya seperti yang
ditunjukkan oleh Rasulullah dalam satu riwayat dari Abu Daud dan Tirmizi
bermaksud: ``Kami datang kepada Rasulullah sedang baginda menunaikan
solat. Maka terdengar nafas tangisnya bagaikan suara air mendidih dalam
bejana.''




Apalah gunanya jikalau wajah yg tampan dan tubuh yang kuat tetapi sukar untuk mengerjakan suruhan ALLAH TAALA.

 

webmaster@mymasjid.net.my