Mithaq@Syahifah@Piagam Al-Madinah

Oleh MeowHidayah
28-Apr-2004 12:02:56


Ramai antara kita yang pernah mendengar Piagam Madinah atau Perlembagaan Madinah yang merupakan perlembagaan secara bertulis yang pertama di dunia, namun ramai antara kita yang tidak mengetahui apakah isi kandungan Piagam Madinah tersebut. Jadi di sini ana ingin berkongsi bersama apa yang telah diperolehi sebagai satu pengetahuan am bagi umat Islam. Ianya terdiri daripada 47 fasal dan di sini ana sertakan sekali teks asal syahifah ini dalam Bahasa Arab.


MITHAQ Al-MADINAH @ SYAHIFAH MADINAH @ PIAGAM MADINAH




Fasal 1

Dengan nama Allah Maha Pemurah lagi Penyayang. Inilah Kitab (Piagam Bertulis) dari Nabi Muhammad, Pesuruh Allah demi bagi orang-orang yang beriman dan orang-orang yang memeluk Islam dari Quraisy dengan penduduk-penduduk
www.myjodoh.net
Yathrib dan orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka.




Fasal 2

Bahawa mereka adalah satu Umat (Bangsa - Nation) berbeza dari manusia-manusia yang lain.




Fasal 3

Golongan Muhajirin dari Quraisy tetaplah di atas pegangan lama mereka: mereka saling tanggung-menanggung membayar dan menerima wang tebusan (diyat) di antara sesama mereka dalam mana mereka menebus sesiapa yang tertawan dengan cara yang berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.




Fasal 4

Bani Auf (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka dalam mana mereka bersama-sama tanggung-menanggung membayar serta menerima wang tebusan seperti dulu; dan setiap taifah (golongan) tetaplah menebus sesiapa yang tertawan dari kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.




Fasal 5

Banu al-Harith (dari Yathrib - Madinah) bin al-Khazraj tetaplah di atas pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu, dan tiap-tiap puak dari (Suku Khazraj) hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan adil dan berkebajikan di kalangan orang-orang yang beriman.




Fasal 6

Banu Sa'idah (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu dan setiap keluarga puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.




Fasal 7

Banu Jusyam (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dahulu, dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk diri mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.




Fasal 8

Banu al-Najjar (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu, dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk diri mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.




Fasal 9

Banu 'Amru bin 'Auf tetaplah dengan pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu, dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.




Fasal 10

Banu al-Nabiet (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu, dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk diri mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.




Fasal 11

Banu Aus (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu, dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk diri mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.




Fasal 12

Bahawa orang-orang yang beriman tidaklah boleh membiarkan sebarang masalah di antara mereka sendiri bahkan mestilah sama-sama bertanggungjawab memberi sumbangan, dengan berkebajikan, untuk membayar wang tebusan darah dengan adil.




Fasal 12b

Hendaklah seseorang yang beriman itu tidak membuat apa-apa perjanjian dengan orang yang di bawah kawal seseorang yang beriman yang lain dengan tidak mendapat persetujuannya terlebih dahulu.




Fasal 13

Bahawa orang-orang yang beriman lagi bertaqwa, hendaklah menentang sesiapa yang membuat kesalahan, melanggar kesusilaan, melakukan kezaliman, atau dosa, atau perseteruan, atau kerosakan di kalangan orang-orang yang beriman, dan mereka hendaklah bersatu sama-sama menentang orang tersebut walaupun jika orang itu adalah anak kepada salah seorang dari mereka.




Fasal 14

Tidak sayugianya seseorang mu'min itu membunuh seorang mu'min yang lain kerana seorang kafir, dan tidak juga sayugianya ia menolong mana-mana orang kafir terhadap seseorang mu'min.




Fasal 15

Bahawa jaminan Allah itu adalah satu dan sama; ia melindungi nasib orang yang lemah dari perbuatan mereka; dan bahawa orang-orang mu'min hendaklah saling menjamin sesama sendiri terhadap (gangguan) orang-orang lain.




Fasal 16

Bahawa orang-orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah mendapat pertolongan dan pimpinan dengan tidak dizalimi dan tidak boleh ada pakatan tidak baik terhadap mereka.




Fasal 17

Bahawa perdamaian orang-orang mu'min itu adalah satu dan sama; oleh itu tidak boleh dibuat perjanjian dengan mana-mana orang mu'min tanpa diturut serta oleh mu'min yang lain dalam sesuatu perang pada jalan Allah, melainkan dengan dasar persamaan dan keadilan di kalangan mereka.




Fasal 18

Bahawa setiap serangan terhadap kita hendaklah dikira sebagai serangan terhadap semua; oleh itu hendaklah disilih-gantikan tenaga menentangnya.




Fasal 19

Bahawa orang-orang mu'min, hendaklah saling membela sesama mereka atas setiap darah yang tumpah pada jalan Allah.




Fasal 20

Bahawa orang-orang mu'min lagi bertaqwa hendaklah teguh di atas sebaik-baik petunjuk dan seteguh-teguhnya.




Fasal 20b

Bahawa tidak boleh mana-mana orang musyrik melindungi harta orang-orang Quraisy dan tidak juga nyawa mereka, dan tidak boleh menghalang orang mu'min (akan haknya).




Fasal 21

Barang siapa membunuh dengan sewenang-wenangnya akan seorang mu’min dengan tidak ada bukti yang cukup hendaklah dihukum bunuh balas kecuali jika dipersetujui oleh wali yang kena bunuh menerima ganti darah. Semua orang mu'min hendaklah bersatu suara mengutuk perbuatannya itu, bahkan tidak harus bagi mereka melainkan menegakkan terhadapnya.




Fasal 22

Bahawa tidak harus bagi mana-mana orang mu'min yang mengakui isi kandungan Piagam ini, dan percaya kepada Allah dan Hari Kemudian, menolong mana-mana orang yang mencabul atau pun melindungi orang itu. Barang siapa menolong orang itu maka ke atasnya laknat Allah dan kemurkaan-Nya pada Hari Kiamat kelak, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan dan tidak juga sebarang taubat.




Fasal 23

Walau bagaimana berbalahnya kamu sekalipun dalam sesuatu perkara hendaklah merujukkan perkara itu kepada Allah dan kepada Muhammad.




Fasal 24

Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah turut membelanja bersama-sama dengan orang-orang mu'min selama mana mereka itu berperang.




Fasal 25

Bahawa kaum Yahudi dari Banu 'Auf adalah satu ummah bersama orang-orang mu'min; mereka bebas dengan agama mereka sendiri, dan orang-orang Islam dengan agama mereka, begitu juga orang-orang yang bersekutu dengan mereka dan begitu juga diri mereka sendiri, melainkan sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan dirinya dan keluarganya sendiri.




Fasal 26

Yahudi Bani al-Nalar (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani 'Auf.




Fasal 27

Yahudi Bani al-Harith (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani 'Auf.




Fasal 28

Yahudi Bani Saidah (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani 'Auf.




Fasal 29

Yahudi Bani Jusyaim (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani 'Auf.




Fasal 30

Yahudi Bani al-Aus (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani 'Auf.




Fasal 31

Yahudi Bani Thalabah (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani 'Auf, kecuali orang yang zalim dan orang yang berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan diri dan keluarganya sendiri.




Fasal 32

Bahawa suku Jafnah yang bertalian keturunan dengan Yahudi Bani Thalabah (diperlakukan) sama dengan mereka itu (Bani Thalabah).




Fasal 33

Banu Shutaibah (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani 'Auf, dan sikap yang baik hendaklah membendung segala kejahatan.




Fasal 34

Bahawa orang-orang yang bersekutu dengan Yahudi Bani Thalabah (diperlakukan) sama dengan mereka itu.




Fasal 35

Bahawa para pegawai kepada orang-orang Yahudi (diperlakukan) sama dengan orang-orang Yahudi itu sendiri.




Fasal 36

Tiada seorang pun yang menyertai Piagam ini boleh menarik diri keluar dari pakatan mereka melainkan dengan persetujuan dari Muhammad.




Fasal 36b

Tidak boleh disekat dari membalas kelukaan yang dilakukan oleh mana-mana orang ke atas dirinya, dan barang siapa membuat kejahatan maka balasannya adalah ke atas dirinya dan keluarganya kecuali orang yang kena zalim, dan bahawa Allah akan melindungi orang yang menghormati Piagam ini.




Fasal 37

Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah membiayai negara seperti mana orang-orang Islam juga hendaklah membiayai negara; dan hendaklah mereka sama-sama tolong-menolong menentang sesiapa jua yang memerangi orang-orang yang menganggotai Piagam ini; dan hendaklah mereka saling nasihat-menasihati sama-sama membuat kebajikan terhadap perbuatan dosa.




Fasal 37b

Mana-mana orang tidaklah boleh dianggap bersalah kerana kesalahan yang dilakukan oleh sekutunya; dan pertolongan hendaklah diberi kepada orang yang kena zalim.




Fasal 38

Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah memikul biayaan bersama-sama orang-orang mu'min mana mereka berada dalam keadaan perang.




Fasal 39

Bahawa kota Yathrib adalah terpelihara sempadannya tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pihak yang menganggotai Piagam ini.




Fasal 40

Bahawa jiran tetangga hendaklah diperlakukan sebagai diri sendiri, tidak boleh dilakukan terhadapnya sebarang bahaya dan juga dosa.




Fasal 41

Tidak boleh dihampiri sebarang kehormatan (wanita) melainkan dengan izin keluarganya sendiri.




Fasal 42

Bahawa apa jua kemungkaran (bunuh) atau apa juga pertengkaran di antara sesama peserta Piagam ini sekira-kira dikhuatiri membawa kepada bencana maka hendaklah dirujukkan kepada hukum Allah dan kepada penyelesaian oleh Muhammad, Pesuruh Allah, dan Allah menyaksi kebaikan isi kandungan Piagam ini dan merestuinya.




Fasal 43

Bahawa tidaklah boleh diberi perlindungan kepada Quraisy (musuh), begitu juga tidak boleh diberi perlindungan kepada orang-orang yang membantunya.




Fasal 44

Bahawa hendaklah ada janji bantu membantu mempertahankan kota Yathrib daripada mana-mana pihak yang mencerobohnya.




Fasal 45

Apabila mereka diajak untuk berdamai atau untuk masuk campur dalam satu-satu perdamaian maka hendaklah mereka bersedia berdamai atau masuk campur ke dalam perdamaian itu; dan bila mana mereka diajak berbuat demikian maka orang-orang mu'min hendaklah merestuinya kecuali terhadap orang-orang yang memerangi agama (Islam).




Fasal 45b

Setiap pihak adalah berkewajipan mengambil bahagian masing-masing tentang satu-satu perdamaian.




Fasal 46

Bahawa orang-orang Yahudi Aus sendiri dan begitu juga orang-orang yang bersekutu dengan mereka hendaklah memikul kewajipan sama seperti mana-mana pihak lain yang menganggotai Piagam ini demi kebaikan semata-mata (perdamaian) dari anggota-anggota Piagam ini. Dan mereka hendaklah berbuat kebajikan dengan tidak melakukan dosa kerana barang siapa yang berbuat sesuatu maka dialah yang menanggungnya sendiri. Dan Allah menyaksi akan kebenaran isi kandungan Piagam ini dan merestuinya.




Fasal 47

Bahawa Piagam ini tidak boleh dipakai bagi melindungi orang-orang zalim dan yang bersalah; dan bahawa mulai dari saat ini barang siapa berpergian dari kota Madinah atau menetap di dalamnya adalah terjamin keselamatannya kecuali orang-orang yang zalim atau yang bersalah. Dan bahawa Allah merestui setiap orang yang membuat kebajikan dan bertaqwa dan bahawa Muhammad hendaklah diakui Pesuruh Allah.


rujukan:

Fiqh Al-Sirah Jilid 2, Muhammad Sa'id Ramadan Al-Buti, terj. Ust. Mohd Darus Sanawi, ms. 295-307





Allahua'lam bissawab...

p/s: andai ada sahabat yg tau lebih lanjut lagi tentang Syahifah Madinah ni, atau sahkan apa yg ana postkan, boleh laa share kat sini...

Ke arah memantapkan 'Aqeedah Tauhid... http://www30.brinkster.com/meowhidayah/ p/s: kalo takleh bukak, refresh byk kali...

 

webmaster@mymasjid.net.my