Hukum Zihar Bukan Soal Remeh

Oleh CiKeBooMbOOm
12-Aug-2002 15:18:09
MENZIHARKAN ISTERI

Zihar pada segi istilah syarak, ertinya suami yang
menziharkan juzuk tubuh badan isterinya dengan muhram
suami dengan mana-mana anggota lahirnya. Namun
demikian tidaklah sampai jatuh talak sehingga
menyebabkan pasangan suami isteri itu mesti bercerai
tetapi hukuman tetap dikenakan bersabit dengan
kesalahan tersebut. Allah swt telah berfirman yang
maksudnya:

“Orang-orang yang menziharkan isterinya di antara
kamu, (menganggap isteri sebagai ibunya) padahal
tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka
tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan
sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan satu
perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya
Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”

“Allah sekali-kali tidak menjadikan di dalam
rongganya, dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu
yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak
www.myjodoh.net

menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu
sendiri…….”

Jatuhnya hukum zihar itu apabila telah memenuhi empat
rukun:

1. Suami yang sah.
2. Isteri yang sah (belum tertalak atau isteri yang
sudah tertalak tetapi masih dalam talak raj’I iaitu
isteri yang masih di dalam iddah).
3. Orang yang diziharkan dengan isterinya itu (muhram
suami).
4. Lafaz zihar samada secara terang-terangan atau
sindiran, melalui tulisan atau bahasa isyarat kepada
orang bisu dengan syarat isyarat itu boleh difahami,

Siapakah muhram suami itu? Ada empat peringkat yang
mana boleh berlaku muhram dengan suami yang melibatkan
jatuhnya hukum zihar iaitu:

Secara nasab atau keturunan

1. Ibu kandung suami.
2. Nenek (opah) kandung suami.
3. Anak saudara perempuan suami termasuklah anak
saudara kakak atau abang suami.
4. Anak saudara perempuan dari pihak isteri. Ia juga
tidak boleh disamakan dengan isterinya walaupun pada
zahirnya suami tidak ada pertalian darah dengannya
tetapi dalam hal ini anak saudara tersebut telah
menjadi muhram sementara kepada suami, sebabnya suami
tidak boleh mengahwininya yakni memadukannya dengan
isterinya selagi hayat isterinya masih ada. Hubungan
muhram ini akan terputus sebaik sahaja suami itu
bercerai hidup atau bercerai mati dengan isteri
tersebut, setelah itu barulah suami itu boleh
berkahwin dengan anak saudara perempuan isteri.
5. Cucu saudara perempuan suami.
6. Adik beradik perempuan suami, ini termasuklah adik
beradik kandung dan adik beradik tirinya samada
sebelah ibu atau bapa sahaja.
7. Ibu saudara suami.
8. Anak kandung suami isteri.
9. Anak suami (anak tiri isteri).
10. Anak isteri (anak tiri suami).

Muhram berambil-ambilan

Muhram boleh berlaku melalui perkahwinan bapa dengan
seorang perempuan. Perempuan yang dimaksudkan itu
ialah ibu tiri. Mana-mana perempuan yang menjadi ibu
tiri kita, dia adalah muhram dan haram dinikahi serta
ditegah menyerupakan isteri dengannya.

Tapi mesti dengan satu syarat, seorang suami itu
mestilah telah mempunyai ibu tiri sebelum dia
dilahirkan ke dunia lagi. Hanya ibu tiri yang ini saja
yang tidak boleh disamakan dengan isterinya.

Muhram secara ridha’ (susuan)

Berlakunya hukum zihar apabila suami menyamakan
anggota lahir isteri dengan nenek susuan (ibu susu
kepada ayah atau ibu suami), kerana semasa ayah atau
ibu suami menyusu kepada ibu susunya, ia belum lahir
ke dunia.

Tidak berlaku zihar jika suami menyamakan anggota
isteri dengan ibu susuan suami kerana semasa suami
menyusu dengan ibu susuannya, suami itu sudah lahir ke
dunia. begitu juga tidak jatuh zihar sekiranya
menyamakan isteri dengan adik beradik perempuan
sesusuan, anak saudara sesusuan, ibu saudara sesusuan
samada keluarga dari sebelah ibu susu ataupun ayah
susu.

Ibu mertua

Muhram juga boleh berlaku melalui nikah. Di mana
apabila seseorang lelaki itu menikahi seorang wanita,
ibu isteri telah menjadi ibu mertua suami. Kedudukan
ibu mertua kepada suami adalah seperti ibunya juga.

Kalau seorang suami itu memiliki 2, 3 atau 4 orang
isteri, maka dia telah mempunyai 2, 3 atau 4 orang ibu
mertua. Katakanlah pada suatu hari, suami telah
menceraikan isteri keduanya. Walaupun dia telah
bercerai dengan isterinya tetapi hubungan suami dengan
ibu mertua keduanya tetap kekal selagi hayat masih
ada. Dia telah menjadi muhram kekal. Kedudukan ini
samalah dengan cerai mati.

Perlu diingat, 2, 3 atau 4 orang isteri itu jangan
sekali-kali kita samakan dengan mana-mana ibu mertua
kita yang lainnya kerana ia boleh menjatuhkan zihar
kepada isteri.

Di sini biarlah saya jelaskan mengenai lafaz zihar
terlebih dahulu kerana berapa ramai manusia yang
menanggung dosa zihar berkaitan dengan kecuaian ketika
melafazkan kata-kata kepada isteri.

Adapun lafaz yang membawa kepada zihar ke atas isteri,
amat mudah berlaku. Selalunya di awal perkahwinan
suami suka menatap wajah isteinya, maklumlah baru
berkenalan. Ketika itu semuanya dipandang indah. Tanpa
disedari terkeluarlah kata-kata, “Muka Ayang ni saling
tak tumpah macam muka ibu abang”. Isteri yang jahil
tersenyum bangga menerima pujian suami.

Kadang-kadang tu, bila saja anak perempuannya lahir
tak habis-habislah orang memuji kecantikannya. Hati
ibu mana tidak gembira bila anak dipuji demikian.

Untuk lebih menyakinkan lagi isteri pun sibuklah
bertanya kepada suaminya, “Bang, bang, betulkah rupa
saya ni macam rupa anak kita?’ “Ya”, Jawab suami
ringkas. Sepatah perkataan, “Ya” sudah cukup
menjatuhkan hukum zihar ke atas isteri kerana suami
telah menyerupakan isteri dengan anak kandungnya.

Begitu juga perumpamaan antara isteri dan ibu atau
muhram suami, sedarkah kita bahawa dengan kata-kata
pujian ini boleh menyebabkan dosa besar terhadap suami
kerana telah menyamakan wajah isteri dengan wajah ibu
atau muhramnya.

Punca berlakunya itu kadangkala bermula dari kesalahan
isteri sendiri. Mulut terlalu peramah tanya itu ini
sehinggalah tidak disedari terlafaznya kata-kata zihar
dari suami.

Katakanlah, seorang anak perempuan yang baru lahir ada
saja mewarisi baka ibu dan ayah atau datuk neneknya.
Boleh jadi bibirnya serupa dengan bibir ibunya atau
mukanya seiras dengan muka ibunya. Akibat dari itu
kadang-kadang bila seorang suami melihat isterinya
tercetuslah di hatinya kata-kata: hidung isteri aku
ini macam hidung anaknya.”

Belum jatuh zihar kalau baru terdetik di hati kerana
syarat zihar itu dengan berlafaz. Jadi sebagai suami
kenalah berhati-hati bila melihat tubuh isteri.
Sekiranya ada yang serupa dengan ibunya atau ibu
saudaranya atau dengan anak perempuannya mahupun
lain-lain muhram suami, jangan sekali-kali dilafazkan
dengan mulut.

Kalau hati membenarkannya biarkan ia tersimpan di
hati. Kalau dilafazkan maka akan berlakulah zihar ke
atas isterinya dan lafaz yang seperti ini adalah lafaz
yang nyata.

Erti zihar itu ialah kata-kata yang menyerupakan
seluruh anggota badan isterinya dengan anggota badan
orang-orang yang muhram suami, seperti mulut, mata,
kepala, hidung, telinga, bibir, muka, tangan, perut,
pusat, kaki dan sebagainya.

Anggota-anggota yang menjadi perhiasan seperti rambut,
bulu ketiak dan sebagainya termasuk anggota batin
seperti jantung, hati, akal, air mata, air liur, peluh
dan sebagainya, kalau disebut, ia tidak termasuk dalam
lafaz zihar.

Demikianlah perkara-perkara yang menjadi syarat-syarat
atau rukun dalam menjatuhkan hukum zihar ke atas
seorang isteri. Oleh itu, suami hendaklah berhati
sungguh-sungguh dalam hal ini kerana apabila isteri
telah terzihar, perbuatan itu adalah satu kesalahan,
satu dosa dan kemungkaran.

Kalau tidak disedari, akan membawa kepada kerosakan
dan kecelakaan rumahtangga. Dari dosa yang satu itu,
ia akan membabitkan lain-lain dosa hinggakan apabila
dosa-dosa itu berpanjangan, rumahtangga boleh porak
peranda. Tidak ada keberkatan dan tidak ada rahmat
daripada Allah swt. Akibatnya, kalau sampai mati tidak
kita sedari, masuk nerakalah kita.

Suami yang telah menziharkan isteri itu di samping
melakukan dosa dan kemungkaran, suami adalah dilarang
oleh Allah swt mencampuri gauli isterinya. Kalau
sekiranya suami tidak menyedari tentang telah
berlakunya zihar, suami pun menggauli atau mensetubuhi
isterinya, suami telah melakukan satu perbuatan dosa
kerana melanggar larangan Allah swt. Inilah yang
dikatakan dosa yang bersambung-sambung.

Kerana itu, apakah yang mesti dibuat oleh seseorang
itu sekiranya dia telah menziharkan isterinya? Apakah
caranya hendak rujuk kembali daripada perbuatan itu.
Firman Allah swt yang bermaksud:

“orang-orang yang telah menziharkan isteri mereka dan
kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka
ucapkan itu, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang
budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur.
Demikianlah yang diajarkan kepada kamu dan Allah Maha
mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Dan di dalam firman yang berikutnya, Allah berkata
lagi:

“Barangsiapa yang tidak mendapat budak (hamba) untuk
dimerdekakan, maka wajiblah atasnya (suami) berpuasa
dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur.
Maka siapa yang tidak kuasa, Wajiblah atasnya memberi
makan 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman
kepada Allah dan Rasulnya. Dan itulah hukum-hukum
Allah dan orang-orang kafir ada baginya
siksaan-sikaaan yang amat pedih.”

Melalui ayat di atas dapatlah difahami turutan denda
yang dikenakan. Untuk membayar denda tersebut, suami
itu tidak boleh memilih mana-mana yang dia suka.

Katalah dirasakannya mudah untuk membeli beras
mengikut kadar yang telah ditetapkan. Cara ini adalah
salah, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah
mengikut susunan denda yang ditetapkan oleh Allah.

Syarat yang pertama sekali, memerdekakan seorang budak
atau hamba. Syarat ini sudah tentulah tidak boleh
dilakukan pada hari ini kerana perbudakan atau
perhambaan sudah tidak ada lagi. Dengan sendirinya
syarat pertama ini menjadi mansuh. Maka seorang suami
itu mestilah menjalani syarat yang kedua.

Syarat yang kedua pula iaitu dia mestilah berpuasa
selama dua bulan berturut-turut. Sebelum dia
menghabiskan puasa dua bulan berturut-turut ini, dia
belum boleh menggauli atau mensetubuhi isterinya.

Tidak boleh puasa itu tertinggal walau satu hari pun
dalam turutan 60 hari itu. Misalnya kalau di hari yang
ke 57 iaitu suami diserang sakit, lalu tidak berpuasa,
dia wajib mengulangi kembali puasanya dari awalnya.
Puasanya yang sebelum itu dikira batal dan dia mesti
mengulang kembali puasa itu bertolak dari mula.

Kalau dia berpuasa juga hingga boleh memudaratkan
kesihatan diri (termasuk juga memudaratkan diri dengan
menanggung bersangatan nafsu syahwat) maka bolehlah
dia beralih kepada syarat ketiga.

Syarat yang ketiga pula iaitu membayar 60 cupak beras
kepada 60 orang fakir miskin yang layak menerima zakat
fitrah. Jika tidak mampu memberi sekaligus, bolehlah
diansur-ansurkan. Misalnya, hari ini dia keluarkan
lima cupak beras untuk lima orang fakir miskin. Hari
akan datang dia beri lagi sepuluh cupak kepada sepuluh
orang fakir miskin lain. Begitulah keadaannya sehingga
selesai tuntutan tersebut. Setelah tamat segala
pembayaran maka barulah boleh digauli isteri seperti
biasa.

Nanti ada pula orang yang akan berkata, kalau hukuman
sudah terlalu berat hingga tidak dapat hendak
dilaksanakan, maka lebih baiklah ceraikan saja isteri
itu. Allah amat murka kalau suami menceraikan
isterinya sebagai mengambil jalan singkat untuk
menggantikan hukuman denda yang mesti dibayar itu.

Allah sekali-kali tidak membenarkan demikian, kerana
penceraian yang Allah galakkan atau yang Allah
redhakan ialah perceraian yang wajib atau sunat,
seperti dalam bab perceraian yang akan saya huraikan
sedikit masa lagi dan akan dimuatkan ke dalam ruangan
ini nanti. Sudahlah dosa pertama tidak ditebus
ditambah pula dengan dosa menceraikan isteri.

Tidak gugur hukum kifarah zihar walaupun suami
menceraikan isterinya dengan talak satu (dengan
harapan agar dapat rujuk kembali). Kalau dirujuk
kembali setelah tamat iddahnya maka jadilah pergaulan
keduanya sebagai zina. Berlipat gandalah dosa yang
dilakukan selagi denda yang pertama belum dijelaskan.

Hukum zihar tidak akan berlaku, sekiranya isteri yang
menziharkan suami. Misalnya, isteri yang melafazkan,
muka abang macam muka ibu atau lain-lain lafaz yang
menyerupakan suami dengan lain-lain yang menjadi
muhramnya.

Akhir kata dari saya di dalam kita membina rumahtangga
bahagia, suami isteri mestilah berhati-hati di dalam
mengeluarkan kata-kata. Isteri jangan suka bertanya
itu dan ini mengenai peribadinya jikalau ada persamaan
dengan ahli keluarga suami atau muhram suami. Bimbang
kalau suami terlepas cakap mengakibatkan jatuhnya
hukuman zihar. kadang-kadang kerana kelancaran mulut
isteri, suami pula yang menjadi mangsanya


SUMBER DARI DR IKMAL ONLINE.....
cappoo..deh..tuu..

 

webmaster@mymasjid.net.my