Kisah Benar Suami Isteri

Oleh ~~Wife~~
05-Sep-2002 22:45:31

Akhirnya setelah dua tahun menghilang diri, Normah
kembali ke rumahnya. Seperti dahulu, dia masih cantik
bergaya. Lenggoknya masih gemalai, pinggang masih
ramping, gincu masih merah dan mekap masih tebal. Jika
berselisih, aroma pewanginya masih kuat menusuk
hidung.

Namun bezanya, Normah kelihatan tidak begitu ceria.
Zahirnya dia begitu anggun tapi wajahnya terlukis
warna yang muram dan lesu. Tutur katanya perlahan dan
tidak bermaya seperti orang keresahan.

"Kenapa awak balik? Pergilah ikut jantan. Awak tak
ada pun saya boleh jaga anak-anak kita ni!!" jerkah
suaminya, Halim sebaik melihat Normah pulang dengan
menjinjing sebuah beg besar.

Normah tidak menjawab kerana dia tahu, itu memang
salahnya. Dia Cuma berdiri di pintu dan menundukkan
muka. Halim sebaliknya terus membelasah isterinya itu
dengan kata-kata keras. Sudah lama geram itu
menggelodak di hati, lalu inilah masa untuk
melepaskannya.

www.myjodoh.net
Normah masih terpaku di muka pintu. Dikesat air mata
yang bergenang. Tiada sepatah perkataan pun di
balasnya kata-kata Halim itu kerana hajatnya pulang
bukanlah untuk bertengkar. Hasratnya Cuma satu, untuk
pulang ke pangkuan suami dan anak-anak.

Jika diikutkan hati memang hendak dihalaunya Normah,
tapi disebabkan anak-anak, Halim menahan juga
kemarahannya. Dibiarkan Normah masuk ke rumah yang
telah lebih dua tahun ditinggalkannya itu.

Bagi Halim, kepulangan Normah tidak membawa apa-apa
erti lagi dalam hidupnya. Malah ia cuma memulakan
semula kekalutan yang sudah dirungkaikannya,
mengeruhkan hidup yang mula jernih dan memarakkan
semula api yang telah dipadamkan.

Dua tahun dahulu, Normah meninggalkan Halim dan dua
anaknya, Iffa, 5, dan Aina, 2.Yang ditinggalkan
hanyalah sekeping nota menyatakan yang dia ingin hidup
bersama kekasihnya.

" Saya rasa kita dah tak ada persefahaman lagi. Saya
mahu hidup bahagia dengannya" demikian antara lain
nota yang ditinggalkannya untuk Halim.

Kesalnya dia dengan tindakan Normah tidak terkata.
Halim akui sejak akhir-akhir ini Normah sudah berubah.
Kalau dulu layanannya begitu baik, sekarang mula
dingin. Pantang silap sedikit, mulalah naik angin.
Kata-katanya pula, selalu saja diiringi sindiran.
Sudahlah begitu, sering pula Normah meminta
barang-barang mewah di luar kemampuan Halim. Itulah
yang menghairankan Halim.

Lama-kelamaan, Halim terhidu pula berita Normah
menjalin hubungan sulit dengan lelaki berada. Dia ada
bertanya tentang hal itu, namun Normah pantas
menafikannya. Walaupun Halim menekannya dengan cerita
dan bukti-bukti, tapi Normah tetap tidak
menidakkannya. Malah dituduh pula suaminya cemburu
buta.

Nah, sekarang terbukti sudah kebimbangannya itu. Tapi
apa yang boleh dilakukan, nasi sudah menjadi bubur.

Sejak Normah meninggalkannya, hidup Halim tidak
terurus. Terpaksalah dia membesarkan anaknya itu
sendirian. Dialah ibu dialah bapa. Dengan gajinya
sebagai penyelia kilang yang tidak seberapa dan
menyewa pula di sebuah rumah di pinggir Kuala Lumpur,
tentulah sukar untuk dia menguruskan hidup.

Kalau kanak-kanak lain selalu bertukar pakaian,
anak-anaknya dengan baju dua tiga pasang itulah.
Makan yang mewah jauh sekali, kecuali apabila dia
mendapat gaji.

Rutin hidupnya, awal pagi menghantar anak-anaknya ke
rumah ibunya dan malam menjemput mereka pulang. Dialah
yang memasak dan mengemas rumah. Kadangkala adik
perempuannya turut membantu menguruskan keluarganya.

Memang hidpnya sukar, tapi Halim belum tergerak untuk
berkahwin lagi. Baginya, biar susah macam mana pun,
semua halangan itu akan dirempuhinya. Tambahan pula
Normah masih tidak diceraikan.

Halim juga mahu membuktikan kepada Normah bahawa
tanpa wnita itu, dia boleh menguruskan keluarga. Dan
juga, kalau kemewahan yang menyebabkan Normah
meninggalkannya, Halim ingin buktikan bahawa tanpa
wang yang banyak sekalipun dia boleh hidup bahagia.

Ternyata tanpa Normah, Halim mampu membesarkan
anak-anaknya seperti ibu bapa lain. Iffa dan Aina juga
kian lama kian melupakan ibu mereka. Malh melihat
gambar pun mereka benci.

Bukan Halim yang menghasut tapi kerana Normah sendiri
yang bengis terhadap anak-anak.

Kerana itulah, kepulangan Normah membangkitkan semula
kemarahan Halim. Tambahan pula Halim mendapati ada
sesuatu yang tidak kena dengan perut Normah. Ia
membuncit seperti sedang hamil. Bagaimanapun dia tidak
mahu bertanya kepada wanita itu.

"Tempat awk di sana!" kata Halim menunjukkan Normah
ke arah sebuah bilik kecil. Di dalamnya ada sebuah
tilam bujang yang kusam. Bertompok sana, bertompok
sini.

"Nak alas, cari sendiri," kata Halim, lalu menyindir
"itupun kalau awak ingat kat mana nak cari...." Normah
ditinggalkan sendirian.

Malam itu, Normah tidur seorang diri dalam bilik
sempit dan penuh barang-barang. Sementara Halim tidur
bersama dua anaknya di bilik lain. Bila anak-anaknya
pulang, Normah cuba membelai mereka tapi Iffa dan Aina
segera menjauhkan diri. Dipujuk dengan bermacam-macam
cara pun tidak berkesan. Terpaksalah Normah membawa
diri ke dalam bilik dan menangis teresak-esak.

Begitulah keadaan mereka setiap hari. Normah menjadi
orang asing di dalam rumahnya sendiri sementara Halim
meneruskan hidup seperti biasa. Mereka tidur
berasingan dan setiap pagi, anak-anak dihantar ke
rumah ibunya tidak jauh dari situ.

Ternyata telahan Halim tepat. Dari sehari ke sehari
dilihatnya perut Normah semakin membusung. Lain macam
bulatnya. Setelah didesak dan dijerkah berkali-kali,
Normah terpaksa mengaku dirinya berbadan dua.

"Aku dah agak. Patutlah awak balik...nak suruh aku jadi
bapak pada budak tu, kan? Nak jadikan aku pak
sanggup?" Halim melepaskan paku buah keras.

"Bukan macam tu bang, saya..." tapi belum pun sempat
Normah menghabiskan cakap, Halim memintas " Saya apa?!
Saya tak buat benda tak senonoh tu? Budak tu anak aku?
Tolong sikit....bila masa aku sentuh badan kamu tu?
Hah?"

Bagi menutup malu, Normah memakan makanan yang tajam,
pedas dan berasid untuk menggugurkan kandungannya,
tetapi gagal. Perutnya terus-menerus membesar.

Gagal cara itu, dia pergi ke klinik swasta pula.
Bagaimanapun doctor tidak mengizinkan kerana risikonya
terlalu tinggi. Kata doktor, kandungannya sudah besar
dan jika digugurkan, ia boleh mengundang maut.

Semakin hari jiwa Normah semakin tertekan. Perut kian
memboyot sedangkan anak dan suami pula tidak
menghiraukan kehadirannya. Dia menjadi melukut di tepi
gantang dalam rumah sendiri. Suami menjauhkan diri
bila hendak mengadu dan anak pula tidak menganggapnya
ibu untuk mereka bermanja.

Tidak ada jalan lain, Normah meminta Halim
menghantarkan dia ke rumah ibunya. Tentu saja Halim
tidak membangkang. Memang itu yang dia mahukan. Namun
sambutan ibu bapanya juga mengecewakan.

"Dua tahun kamu tinggalkan suami dan anak, tiba-tiba
baru dua bulan balik perut kamu dah besar macam ni.
Huh...memang patut pun Halim buat macam ni. Kamu derhaka
pada dia!" kata bapa Normah, Haji Shafie bila
mendapati anaknya itu hamil.

Dari sehari ke sehari tekanan perasaannya tambah
menebal. Ia kian merundung bila tumbuh pula cacar di
badannya. Dari kecil ia membesar, dan dari
sebiji-sebiji ia merata memenuhi badan. Di dalam cacar
itu, menguning nanah busuk dan jelik baunya. Pada
waktu yang sama, Normah mengidap darah tinggi pula.

Tekanan perasaan yang melampau itu menyebabkan Normah
dibawa oleh ibu bapanya berjumpa dengan pakar jiwa.
Bermacam-macam ubat dan rawatan diberikan tapi
ternyata begitu sukar untuk dia dipulihkan.

Disebabkan badannya terlalu lemah, doktor
mencadangkan supaya Normah bersalin melalui cara
pembedahan apabila usia kandungannya mencecah tujuh
bulan lebih sedikit.

Pada waktu yang ditetapkan, Normah dimasukkan ke wad.
Seminggu sebelum dibedah, dia mula meracau-racau dan
meraung. Bermacam-macam dijeritkannya tanpa hujung
pangkal. Dimaki hamunnya emak dan ayah seta jururawat
yang datang. Kemudian Normah menangis pula hendak
balik dan melihat anak-anak.

Dalam keadaan yang kritikal itulah ayahnya, Pak Cik
Shafie menelefon saya dan menceritakan keadaan anaknya
itu secara ringkas.

" Pak cik tak mahu nak salahkan sesiapa. Dua-dua ada
buat silap. Tapi sekarang ni pak cik minta ustaz
usahakanlah ubat anak pak cik tu," katanya. Daripada
suaranya itu saya tahu dia sedang menahan sebak.

" Saya di Sarawak sekarang ni pak cik. Dua hari lagi
saya balik. Tapi buat sementara ni, usahakan baca
Yasin dulu. Bila saya balik nanti, saya terus ke
sana," jawab saya.

Sekembalinya ke Semenanjung saya terus menziarahi
Normah. Keadaannya sama seperti yang diceritakan oleh
bapanya.Mengerang kesakitan, meracau, meronta-ronta,
dan bercakap tidak keruan. Keadannya ketika itu memang
menyedihkan kerana dalam keadaan perut memboyot dia
meraung seperti hilang akal.

Namun timbul pertanyaan di fikiran saya selepas
dibacakan Yasin, keadaan Normah bertambah buruk.
Keadaanya ibarat mencurah minyak ke api, makin disiram
makin besar maraknya. Ibu bapa dan adik beradik Normah
menangis milihat keadaan dirinya.

"Pak cik mana suami dengan anak-anaknya?" saya
bertanya bila melihat suami dan anak-anak Normah tidak
menziarahinya.

" Itulah yang saya nak cakap pada ustaz. Saya dah
pujuk, rayu dia datanglah tengok anak saya ni. Kata
saya, walau besar mana pun dosa anak saya, kalau dia
menderhaka sekalipun, tapi dalam keadaan macam ni
bukankah elok kalau dia di ampunkan? Tapi dia tak mau.
Jengah pun tidak," kata Haji Shafie kesal.

"Dia marah lagi agaknya," saya menyambung.

"Saya tau... kalau jadi pada kita pun kita marah. Saya
bukanlah nak salahkan dia, tapi yang sudak tu
sudahlah. Anak saya pun bersalah, saya mengaku,"
tambah Haji Shafie.

"Kalau macam tu," tambah saya," bawa saya jumpa
menantu pak cik tu. Insya-Allah kita sama-sama pujuk
dia."

Seperti yang dipersetujui, beberapa hari kemudian
saya dibawa oleh Haji Shafie berjumpa dengan
menantunya itu.

"Yang sudah tu sudahlah Lim, ampunkanlah dia. Normah
tengah tenat tu," Haji Shafie merayu.

" Dua tahun dia tinggalkan kami anak beranak.
Balik-balik, mengandung...suami mana yang tak marah,
ayah ?. Mana saya nak letak muka saya ni ? Dayus,
pucuk layu , tak ada punai, tak tau jaga bini,
macam-macam lagi orang hina saya...' tambah Halim
melepaskan segala yang terbuku di hati. Bermacam-macam
lagi di rungutkan hingga tidak sanggup kami
mendengarnya.

" Ayah faham perasaan kau. Ayah tau Normah yang
salah, derhaka pada kau , tapi dia tengah tenat
sekarang ni," Haji Shafie merayu lagi , Halim tidak
menjawab sepatah pun . Nafasnya saja yang turun naik
manakala muka merah padam menahan marah.

Bila keberangan nya semakin reda saya menasihatkan
Halim supaya melupakan perkara yang telah berlalu itu.
"Mengampunkan orang lain lebih baik daripada membalas
dendam . Isteri awak menderita sekarang ini pun sebab
dia sudah sedar dengan kesalahan dia, jadi eloklah
awak maafkan," kata saya.

Lalu saya ...hadis dan firman Allah berkaitan ...Ternyata
Halim sudah berpatah arang berkerat rotan . " Saya tak
akan jenguk dan saya tak akan ampunkan dia. Isteri
durhaka ! " katanya.

Sampailah hari Normah di bedah , Halim langsung tidak
menjengukkan mukanya. Iffa dan Aina juga di larang
daripada menjengah ibu mereka.

Bagaimanapun , di sebabkan keadaan Normah yang tenat,
makan minum tidak menentu , bayi yang di lahirkannya
meninggal dunia beberapa hari kemudian. Normah pula
sejak sedar daripada pembedahan semakin teruk jadinya.

Setiap hari, terutamanya tengah malam dan senja dia
akan meracau. Yang mengibkan , racauannya kini
mendedahkan segala pelakuan jelik yang di lakukannya
selama meninggalkan Halim dan anak-anak.

Antaranya, Normah menceritakan yang dia telah
mengikut lelaki hingga ke Siam dan kemudian hidup
seperti suami isteri. Selepas berpisah dengan lelaki
itu, dia bersekedudukan pula dengan lelaki lain. Tidak
kurang dengan tiga lelaki telah dia berzina.

"Abang..ampunkanlah saya. Saya derhaka, saya jahat,
saya malukan abang...maafkanlah saya..."dia terus menangis
dan meratap.

Setiap hari bermacam-macam rahsia di dedahkannya;
tentang tempat-tempat maksiat yang pernah dia pergi
bersama teman lelaki, kawan-kawan lain yang sama saja
perangai dengannya juga kekecewaannya bila di
permainkan lelaki-lelaki terbabit.

"Abang, Iffa, Aina...marilah tengok emak . Emak tak
jahat lagi,. Emak nak jadi baik. Emak nak jadi lawa,
pandai, suka masak, kita pergi sungai..." ratapnya lagi
bercampur dengan kata-kata yang melalut.

Tidak dapat hendak di gambarkan bagaimana malunya
Haji Shafie dan isterinya setiap kali Normah
menelanjangkan keburukannya sendiri. Berbagai-bagai
cara mereka lakukan supaya Normah berhenti meracau
seperti menutup mulut, memujuknya diam dan kadangkala
turut sama bercakap supaya orang-orang di sekeliling
tidak mendengar , tetapi usaha itu tidak berhasil.

Setelah hampir sebulan Normah mendedahkan
kecurangannya, keadaan wanitaitu bertambah parah .
Tekanan darahnya menurun dan kerap tidak sedarkan
diri. Badannya yang kurus makin melidi kerana Normah
tidak mahu menjamah makanan . Yang di lakukan
sepanjang hari hanyalah menangis dan meminta ampun
kepada Halim. Setelah itu dia kembali terkulai tidak
sedarkan diri.

Haji Shafie sekali lagi menemui saya.

"Ustaz pujuklah menantu saya tu. Mintalah dia datang
jenguk Normah dan ampunkan lah kesalahan dia. Memang
anak saya bersalah , tapi dalam keadaan sekarang ,
Cuma keampunan suami saja yang boleh selamatkan dia,"
kata haji Shafie. Isterinya sejak tadi saya tengok
tiada berhenti-henti mengesat air mata .

" Kalau begitu, mari kita pergi jumpa Halim," kata
saya.

Puas kami memujuknya . Alhamdulillah, setelah
berbagai-bagai alas an di beri, akhirnya Halim
bersetuju. Bagaimanapun saya lihat dia seperti
terpaksa saja. Langkahnya berat dan nampak kurang
ikhlas.

" Sudahlah Lim, lupakan yang lepas-lepas. Buangkan
dendam, gantikan dengan kemaafan. Insya-Allah, semua
pihak akan dapat keberkatanNya," kata saya semasa
Halim hendak memasuki kereta. Dia cuma tersenyum tawar.

Demi terpandang saja Halim datang menjenguk, Normah
dengan suara yang amat lemah memohon maaf kepada
suaminya itu.

" Sa..sa..ya der...haa..ka pada abaaaang.." katanya
antara dengar dengan tidak. Sambil air mata jatuh
berlinangan , dia mengangkat tangannya untuk meminta
maaf, tapi terlalu sukar. Ibunya cepat-cepat membantu.

" Yalah..."jawab Halim perlahan lantas menyambut tangan
Normah. Reaksinya masih tawar. Dia belum benar-benar
ikhlas.

Petang itu kami bersama-sama membacakan surah Yasin
dan ayat-ayat suci al-Quran untuk Normah yang
kelihatan semakin teruk. Bagaimana pun bila Normah
meminta ampun sekali lagi, saya lihat Halim semakin
ikhlas menyambutnya. Saya tersenyum. Mungkin hatinya
sudah sejuk melihat penderitaan Normah.

Lebih kurang pukul 5.00 petang saya meminta diri
kerana ada urusan penting. Sebelum pulang saya
berpesan; " Lim, sekarang ni awak saja yang boleh
selamatkan Normah. Dia harapkan sangat keampunan
daripada awak. Selepas itu, serahkan kepada Allah.
Kalau sembuh, alhamdulillah, kalau tidak biarlah dia
pergi dengan aman ".

" Terima kasih ustaz," balas Halim.

Seminggu kemudian Halim datang ke rumah saya dan
memaklumkan bahawa Normah telah meninggal dunia .
Bagaimanapun , dia membawa juga kisah yang
menginsafkan mengenai pemergian Normah.

"Ustaz," Halim memulakan ceritanya, " malam tu Cuma
tinggal saya dan anak-anak saja duduk di tepi Normah.
Ibu dan bapa dia ke kantin untuk makan. Bila saya
bacakan Yasin , saya tengok air mata arwah mengalir
setitik demi setitik. Saya tau dia benar-benar insaf
dengan kesalahannya dulu, curang pada saya, derhaka
pada suami, tinggalkan anak-anak.

' Sampai di ayat salamun qaulam mirrabir rahim, saya
ulang tiga kali. Setelah habis, saya usap dahi arwah.
Saya lakukannya dengan ikhlas sebab tidak sampai hati
tengok hati dia menderita.

" Setelah menciumnya tiga kali tiba-tiba dia nazak.
Nafasnya di tarik dalam-dalam tapi nampak susah sangat.
Sekejap kemudian nafasnya laju, tapi lepas itu
lambat betul. Saya cemas. Dah dekat ke ?

" Tiba-tiba Aina menangis . Entah apa yang di
gaduhkan dengan kakaknya saya pun tak tau . Kuat betul
dia menangis sampai saya tak sanggup nak dengar.

" Berbelah bagi juga sama ada antara anak dan isteri
yang tengah sakit, tapi bila fikirkan tangisan budak
itu mengganggu pesakit lain, saya terus ambil Aina dan
pujuk dia. Susah pula nak pujuk dia hari tu sampai
terpaksa dukung dan bawa ke luar wad."

" Namun bila kembali ke wad, saya dapati Normah dah
tidak bernafas lagi.

" Luka memang berdarah lagi, ustaz, tapi bila dia
meninggal tanpa ada sesiapapun di sebelahnya, menitis
juga air mata saya. Yalah, kalau orang lain pergi
dengan baik, ada orang tolong bisikan syahadah,
bacakan Yasin, dia pula pergi macam tu. Agaknya itulah
balasan untuk isteri yang derhaka '.





Sent to myMasjid eGroups: 9/5/2002 10:45:17 PM
Sent to MelayuCyber eGroups: 9/5/2002 10:45:17 PM

 

webmaster@mymasjid.net.my