Adakah Syaitan Benar Benar Dirantai Di Bulan Ramadhan?

Oleh Anak Melaka
12-Nov-2002 08:05:11
Adakah Syaitan Benar-benar Dirantai Di Bulan Ramadhan?

Apabila tibanya bulan Ramadhan, sebagaimana biasa kita akan mendengar satu hadis yang sering dibacakan oleh para ustaz di masjid-masjid atau diperdengarkan kepada khalayak ramai iaitu hadis yang datang dari Abu Hurairah RA yang bermaksud :

"Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda : Apabila tibanya bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.." Hadis ini diriwayatkan Bukhari dan Muslim. Imam Muslim Rahimahullah menyebut hadis ini dalam kitab Shiam (Puasa) dan begitu juga dengan Imam Bukhari yang meletakkan hadis di dalam kitab Shaum (Puasa). Namun lafaz yang dibawa oleh Imam Bukhari berlainan dari Muslim walaupun dari periwayat yang sama iaitu : "Apabila tibanya bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu langit, dan ditutup pintu-pintu jahannam dan dirantai syaitan-syaitan.." Namun, perbezaan lafaz ini tidak membawa kepada perbezaan makna hadis.

Persoalannya
www.myjodoh.net
: Adakah syaitan benar-benar dirantai di bulan Ramadhan sehingga tidak dapat menjalankan aktivitinya seperti biasa? Kalau ini yang terjadi, bagaimana pula yang berlaku pada hari ini di mana dilihat kemaksiatan yang berlaku di bulan Ramadhan tidak kurang hebatnya daripada yang berlaku di bulan yang lain? Atau adakah rantai tersebut hanyalah satu simbolik (majaz)?

Menurut pendapat Imam Nawawi Rahimahullah di dalam syarahnya menyebut bahawa proses perantaian tersebut hanyalah satu simbolik atau majaz untuk menunjukkan betapa syaitan sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya seperti biasa memandangkan orang-orang Islam sudahpun berpuasa. Ini kerana, puasa yang dilakukan oleh orang-orang Islam akan menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan dan akan berkuranglah nafsu yang merajai hati manusia selama ini. Oleh kerana itu, syaitan tidak dapat menjalankan tugasnya dan keadaan ini menyebabkan dirinya bagaikan di'rantai'. Dalam erti kata lain, puasalah yang menjadi punca kepada perantaian ini dan kepada orang-orang yang tidak melaksanakan ibadat puasa, pengaruh syaitan ke atas dirinya samalah seperti bulan-bulan yang lain.

Walau bagaimanapun, Imam Nawawi sendiri tidak menolak kemungkinan maknanya yang zahir iaitu syaitan-syaitan benar-benar dirantai pada bulan Ramadhan bagi menandakan kemuliaan bulan Ramadhan. Manakala hakikat yang terjadi pada hari ini di mana ramai orang-orang yang berpuasa tetap meneruskan kemaksiatan ialah kerana puasa mereka tidak menepati syarat-syarat dan tidak dihayati sebagaimana yang sepatutnya. Apabila puasa tidak dihayati sepenuhnya, pengaruh syaitan akan tetap berkekalan sekalipun syaitan sendiri sudahpun dirantai. Pendapat ini dipegang oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani.

Sebagai kesimpulannya, pemahaman para ulama' terhadap hadis ini yang menyatakan syaitan-syaitan dirantai terbahagi kepada dua iaitu memahaminya secara simbolik ataupun memahaminya di atas maknanya yang zahir. Bagaimanapun, ia sebenarnya tidak bertentangan antara satu sama lain. Seandainya seseorang itu berpuasa dengan sebenar-benarnya, maka sesungguhnya dia telah merantai syaitan daripada mendekati dirinya.

Susunan :
Ahmad Fadhli bin Shaari,
Nilam Puri, Kelantan.


~Sesungguhnya Hidupku, Matiku, Amalanku, Ibadahku adalah semata-mata kerana Allah SWT~

 

webmaster@mymasjid.net.my