Hadis Ali bin Abu Talib r.a: Diriwayatkan daripada Abu Ubaid r.a katanya: Aku pernah mengikuti sembahyang Hari Raya bersama Ali bin Abu Talib. Beliau mendahulukan sembahyang sebelum khutbah dan beliau berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menegah kami memakan daging korban kami selepas daripada tiga hari.
Hadis Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Seseorang dari kamu tidak boleh memakan daging korbannya selepas dari tiga hari.
Hadis Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Waqid r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang dari memakan daging korban selepas dari tiga hari. Abdullah bin Abu Bakar berkata: Aku memberitahu perkara tersebut kepada Amrah lalu dia berkata: Dia benar, aku pernah mendengar Aisyah r.a berkata: Beberapa orang wanita dari penduduk gurun berjalan perlahan-lahan menuju ke tempat penyembelihan korban pada zaman Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Simpanlah tiga hari. Setelah itu sedekahkanlah apa yang masih berbaki. Beberapa ketika selepas itu para sahabat berkata: Wahai Rasulullah! Orang ramai menyimpan daging korban dan membawa sebahagian dari lemaknya. Rasulullah s.a.w bertanya: Kenapa begitu? Mereka menjawab: Dulu engkau melarang dari memakan daging korban selepas tiga hari. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Aku melarang kamu hanyalah kerana mengingat orang-orang yang berjalan perlahan-lahan (untuk menolong orang-orang yang tidak mampu). Sekarang kamu bolehlah makan, menyimpan dan menyedekahkannya.
Hadis Jabir r.a: Nabi s.a.w melarang daripada memakan daging korban selepas dari tiga hari. Kemudian selepas itu baginda bersabda pula: Makanlah kamu, berbekallah dan simpanlah.
Hadis Salamah bin Al-Akwa' r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di antara kamu yang melakukan korban (sembelih) maka janganlah menyimpan sedikitpun di rumahnya selepas dari tiga hari. Pada tahun berikutnya, para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah kami harus melakukannya seperti pada tahun lepas? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak, pada tahun itu ramai dari kalangan kaum Muslimin hidup dalam keadaan susah. Jadi aku mahu daging korban itu dibahagikan kepada mereka.
