Hadis Anas r.a daripada Ummu Sulaim katanya: Wahai Rasulullah! Aku menjadikan Anas sebagai khadammu, tolonglah berdoa untuknya. Rasulullah s.a.w pun berdoa: Ya Allah, banyakkanlah harta dan anaknya dan berkatilah apa yang diberikan kepadanya.
Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w datang menemuiku semasa aku bermain-main dengan kawan-kawan. Baginda memberi salam kepada kami, kemudian baginda mengutuskan aku untuk sesuatu perkara, oleh kerana itu aku terlewat pulang ke rumah. Setelah aku pulang ibuku bertanya: Kenapa kamu pulang lewat? Aku menjawab: Rasulullah s.a.w menyuruhku untuk sesuatu perkara. Ibuku bertanya: Apakah dia perkara tersebut? Aku menjawab: Itu adalah rahsia. Ibuku berkata: Jangan kamu ceritakan tentang rahsia Rasulullah s.a.w kepada sesiapa pun. Anas berkata: Demi Allah, sekiranya aku menceritakannya kepada seseorang tentu aku menceritakan rahsia tersebut padamu, wahai Thabit.
