Hadis Aisyah r.a katanya: Aku telah diziarahi oleh Abu Bakar r.a di rumahku. Ketika itu di sampingku ada dua orang jariah iaitu gadis dari golongan Ansar, sedang mendendangkan syair golongan Ansar pada Hari Bu'as iaitu hari tercetusnya peperangan antara golongan Aus dan Khazraj. Aisyah berkata: Sebenarnya mereka berdua bukanlah penyanyi. Abu Bakar r.a berkata: Patutkah ada nyanyian syaitan di rumah Rasulullah s.a.w dan pada Hari Raya pula? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya setiap kaum itu mempunyai Hari Raya dan ini adalah Hari Raya kami.
Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Ketika penduduk Habsyah sedang bermain-main dengan tombak-tombak mereka di hadapan Rasulullah s.a.w tiba-tiba masuklah Umar bin Al-Khattab. Lalu dia mengambil batu-batu kecil untuk melontar mereka. Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: Biarkan mereka, wahai Umar!.
