Sa'id bin Tha'labah Al-Warrooq rahimahullah telah berkata (mafhuumnya):
Tatkala daku sedang berada pada suatu malam bersama seorang lelaki daripada kalangan 'abidin (ahli-ahli 'ibadah) di pantai Siiroof, maka mulalah lelaki itu menangis. Dan lelaki itu terus menangis tidak berhenti-henti sehingga kami takut (kalau-kalau) sampai terbit fajar. Dan lelaki itu tidak berkata sesuatu (kecuali terus menangis). Namun, kemudiannya lelaki itupun berkata (berdo'a / merayu):
JURMII 'AZIIMUN, WA 'AFWUKA KATHIIRUN! FAJMA' BAINA JURMII WA 'AFWIKA YAA KARIIM!!! [Pengertiannya kira-kira: DOSAKU ADALAH BESAR DAN KEMA'AFANMU ADALAH BANYAK! MAKA SATUKANLAH (HIMPUNKANLAH / GABUNGKANLAH) DI ANTARA DOSAKU DAN KEMA'AFANMU WAHAI YANG MAHA KARIIM!!!]
Terang (Sa'id rahimahullah lagi): Maka saling berteriakanlah orang ramai daripada setiap arah.
Begitulah terjemahan kasar daripada Sifah As-Sofwah, susunan Al-Imam Al-'Aalim Jamaaluddin Abil Faroj Ibnu Al-Jauziyy rahimahullah, mujallad 4, halaman 370.
Beberapa perkara...
- Ternyata hati si lelaki itu begitu lembut, penuh takut kepada Allah SWT, sehinggakan bisa menangis begitu sekali.
- Satu ungkapan sahaja daripada lelaki itu sudah bisa menyebabkan baki-baki manusia ramai yang lain turut menangis saling berteriakan.
- Bagi kita, untuk mengeluarkan setitik air mata kerana takut kepada Allah SWT, belum tentu boleh lagi dalam sepanjang hayat, kerana hati terlalu keras dek kehitaman dosa-dosa. Dan kalau pun ada seseorang mengeluarkan beribu-ribu ungkapan pun mungkin juga kita masih tidak bisa menangis. Tapi, sungguh menakjubkan, para pendengar dari segala arah bisa menangis bila mendengar ungkapan lelaki itu... betapa lembut hati-hati mereka itu.
- Gabungan antara dosa kita dan kema'afan dari Allah SWT adalah menjadi matluub kita... Lantaran itu mari kita suburkan dengan penuh penghayatan akan doa si 'abid lelaki di atas!
JURMII 'AZIIMUN, WA 'AFWUKA KATHIIRUN! FAJMA' BAINA JURMII WA 'AFWIKA YAA KARIIM!!!
Wallahu A'lam. Semoga kita sama-sama mengambil i'tibar... Al-Faqiiru ilallah.
Mufrodaat:
- [1] SAAHIL: pantai, kj: SAWAAHIL.
- [2] SAAHILIYY, SAWAAHILIYY: mengenai pantai.
- [3] ASAAHIL, MAJAARIIL-MAA': aliran air.
- [4] SIIROOF adalah sebuah bandar yang besar yang jauhnya dari Basrah adalah perjalanan selama 7 hari, dan ianya terletak di sebuah pantai di Laut Parsi sana.
- [5] JURM / JURMUN, JAROM: dosa, kesalahan, kj: JURUUM, AJROOM.
- [6] LAA JAROMA: tidak boleh tidak, pasti, sudah tentu, LAA JURMA.
- [7] NAAHIYAH, JAANIB: sisi, segi, arah, kj: NAWAAH, ANHAA'.
