Islam Agama Perdamaian

Oleh Shafiah
2004-06-17 09:52:36


Kebencian bukan satu sikap yang baik kepada manusia kerana pada asalnya setiap manusia diciptakan Allah dengan persamaan hak dan kedudukan.

Perbezaan antara seorang manusia dengan manusia lain pada sisi Allah ditentukan oleh ketakwaan masing-masing.

Allah berfirman yang bermaksud:

“ Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa.” (Al-Hujurat: 13)

Muslim yang bertakwa juga tidak akan membenci manusia lain, sama ada orang itu beragama Islam atau sebaliknya. Islam mengajar manusia supaya sentiasa menghormati antara satu sama lain, sehingga berlaku pencerobohan atau penentangan terhadap hak yang ditetapkan.

Allah memperingatkan mengenai adab bermasyarakat serta bermusuh. Melalui ayat ke-151, surah Al-An’am, manusia diperingatkan yang bermaksud:

“ Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan sesuatu (alasan atau sebab) yang dibenarkan. Yang demikian itu diperintahkan Tuhan kepadamu supaya kamu memahaminya.”

Allah berfirman dalam kitab-Nya yang bermaksud: “ Sesiapa yang membunuh seorang manusia bukan kerana orang itu membunuh orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka buumi, maka seolah-olah ia membunuh semua manusia. Dan sesiapa yang memelihara hidup seorang manusia seolah-olah dia memelihara kehidupan semua manusia.” (Al-Maidah: 32)

“ Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah, kecuali dengan alasan yang dibenarkan.’’(al-Isra’:33)

Bagaimanapun perintah itu tidaklah bermakna umat Islam diwajibkan bersifat pasif dan defensif setiap masa. Dalam keadaan tertentu, sikap bertahan dan mengalah itu pula yang diharamkan, terutama ketika Islam dan umatnya menghadapi ancaman musuh.

Memang pada ketika tertentu umat Islam diarahkan supaya mengangkat senjata dan bersikap tegas dengan musuh.Allah menyatakan supaya: “Dan bunuhlah mereka di mana saja kamu temui dan usirlah mereka dari tempat mereka mengusir kamu.” dalam ayat191 surah al-Baqarah

Bagi sesiapa yang ingin mengaitkan Islam dengan keganasan atau keliru dengan semangat perdamaian yang dibawa agama ini, mereka perlu melihat serta mengkaji ayat itu secara keseluruhannya.

Pada ayat 190 sehingga 194 surah al-Baqarah ,misalnya, Allah menyatakan keadaan yang membawa kepada sikap keras umat Islam. Allah menyatakan supaya perang dilakukan terhadap sesiapa yang memerangi umat Islam, tetapi dalam keadaan itu pun ia mesti beradap serta tidak melampaui batas.

Perang juga tidak dibenarkan dalam Masjid al Haram, kecuali jika musuh melakukan serangan di situ. Apabila lawan berhenti daripada sikap bermusuh, umat Islam diperingatkan bahawa Allah bersifat Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Perang juga perlu dilancarkan sehingga tiada lagi fitnah terhadap agama dan ketaatan itu mutlak diserahkan kepada Allah.Tempoh berperang itu juga ditetapkan pada masa tertentu kerana ketika zaman Rasulullah, ada bulan yang diharamkan menumpahkan darah (kecuali apabila Islam diserang terlebih dahulu.)

Begitu juga dengan petikan “Maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka dimana saja kamu temui.” pada ayat 91 surah an Nisa’. Penjelasan mengenainya dimulakan sejak ayat 89 lagi.

Kedua-dua ayat mengenai perintah supaya memerangi dan membunuh musuh diturunkan kepada Rasulullah ketika mereka menjadi sasaran kezaliman golongan kuffar. Mereka menyulitkan kehidupan di Makkah dan mengancam negara Islam Madinah.

Keadaan sama diguna pakai pada zaman selepasnya. Dengan asas agama menggalakkan perdamaian,sikap itu perlu dijadikan tegas dan berani jika umat Islam menghadapi ancaman sama ada harta benda ,akal fikiran, nyawa atau kehormatan.

Islam adalah agama sempurna, dan aspek ketenteraan/pertahanan tidak terkecuali daripadanya. Maruah, nyawa,harta benda,akal fikiran dan keturunan adalah asas yang sentiasa dipelihara supaya tidak diperkotak-katikkan sesiapa.

Justeru,Islam mengiktiraf seseorang yang mati kerana mempertahankan satu daripada aspek di atas tadi sebagai syahid. Dalam aspek lebih kecil seorang suami yang tidak bertegas dengan isterinya yang derhaka , boleh dianggap dayus dan dikecualikan daripada syurga.

Ia adalah nilai universal yang turut diterima mana-mana masyarakat atau agama di dunia ini.

Justeru, kefahaman terhadap isu ini sangat penting, terutama ketika pihak musuh terus menerus cuba mengelirukan manusia dengan memberikan imej buruk kepada Islam. Dikhuatiri, tanpa penghayatan tepat, bukan saja kebanyakkan manusia terperngaruh ,malah sebahagian daripada manusia mengakui Allah sebagai Tuhan yang Esa dan Muhammad sebagai pesuruh-Nya, turut tergelincir akidah akibat permainan golongan kafirun ini..
.



"Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman"

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my