Al-Junaid rahimahullah telah berkata: "Aku telah mendengar As-Sariyy rahimahullah (yakni Sariyy As-Saqtiyy rahimahullah) berkata (mafhuumnya): 'Sesiapa yang mahu selamat dalam dini / agamanya dan lega, senang, istirahat hati sanubarinya serta lega, senang, istirahat badannya dan sedikit kesusahan, maka hendaklah dia ber'uzlah daripada manusia ramai (mengasingkan diri daripada manusia ramai) lantaran zaman ini adalah zaman `uzlah dan zaman wahdah (zaman keadaan bersendirian).'
Begitulah terjemahan kasar daripada Sifah As-Sofwah, susunan Al-Imam Al-`Aalim Jamaaluddin Abil Faroj Ibnu Al-Jauziyy rahimahullah, mujallad 2, halaman 375.
Semua kita mahu akan keempat perkara di atas iaitu selamatnya dini, istirahatnya hati, istirahatnya badan dan sikitnya kesusahan-kesedihan (atas perkara duniawi). Jalan untuk mendapatkannya telah pun diberitahu oleh orang-orang yang penuh berpengalaman dalam bidang keruhanian (pakar dalam jurusan keruhanian, antaranya termasuklah Sariyy rahimahullah di atas). Iaitu hendaklah kita ber'uzlah mengasingkan diri daripada manusia ramai.
Kalau kita sendiri yang mengabaikan akan nasihat-nasihat dan anjuran-anjuan para pakar tersebut, maka kita sendirilah yang menerima padahnya... jangan menyalahkan orang lain pula.
Perumpamaannya begini: Jika jasad kita sakit, kita akan pergi berjumpa doktor. Doktor adalah pakar dalam bidang penyakit kita. Macam-macam nasihat dan anjuran akan kita perolehi daripada doktor pakar itu.. misalnya doktor itu menasihatkan kita supaya mengasingkan diri daripada tinggal di rumah (yakni dia mahukan kita masuk atau tinggal di wad buat beberapa lama). Tapi kita terus mendegilkan diri tak mahu masuk wad. Kalau itulah sikap kita... maka kitalah yang akan menerima padahnya kerana menyalahi anjuran pakar penyakit jasad itu. Jadi tidak hairanlah kalau penyakit jasad kita itu terus semakin parah!
Sehubungan dengan itu, maka kita (termasuklah saya sendiri) sebenarnya degil untuk ber'uzlah daripada manusia (degil untuk mengurangkan pergaulan dengan manusia).. degil dengan anjuran dan nasihat pakar-pakar keruhanian!
Jadi, tak hairanlah mengapa dini kita (taraf amalan agama yang ada pada diri kita ini misalnya) terus rosak dan bertambah parah!
Tak hairanlah kalau hati kita sentiasa tidak lega dan tidak istirahat, malah bertambah kusut dan serabut!
Tak hairanlah kalau badan kita tidak istirahat (tidak lega), malah terus keletihan dan monyok!
Tak hairanlah kalau kesusahan (kesedihan kerana memikirkan perkara-perkara duniawi) tidak berkurang, malah terus bertambah!
Rupanya kerana kita terus mengabaikan nasihat-nasihat para pakar!
Wallahu A'lam. Semoga kita sama-sama mengambil i'tibar. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
