Terkini  Popular    Mula Topik

Wanita Adil: Penyelamat Kehidupan Dunia & Akhi

2003-09-29 22:28:00

Sifat manusia suka pada keadilan. Benci pada
kezaliman. Suka kebenaran dimenangkan, kebatilan dan
kejahatan dijatuhkan. Apakah yang dimaksudkan dengan
adil? Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Sebagai hamba Allah, adil yang diminta oleh Allah agar
manusia melakukannya ialah taat, patuh pada semua
hukum-hukum Allah.

Yakin kalau Allah menetapkan sesuatu itu hukumnya
wajib, maka sama-samalah kta akui ianya wajib dan
sedaya upaya melaksnakannya. Kalau Allah menghukumkan
sesuatu itu sunat, maka kita pun kata sunat dalam
mengamalkan. kalau sesuatu yang Allah tentukan haram,
maka kita juga mengharamkannya dan mesti menjauhinya.
Begitu juga dalam hukum makruh dan harus. Sekiranya
sesuatu hukum yang Allah tetapkan wajib tapi kita kata
sunat ertinya kita telah melakukan sesuatu yang tidak
adil. Lagi tidak adil dan jahat bagi seseorang yang
melanggar perintah Allah dengan sengaja. Misalnya dia
tahu perkara itu haram, tapi dibuatnya juga, maka ia
tergolongan dalam golongan orang yang zalim dan
tunggulah kehinaan dan kesengsaraan akan ditanggung di
dunia lagi.

Mari kita lihat apakah kita telah melakukan keadilan
pada diri kita. Mula-mula mari kita renung kembali
hadis Rasulullah saw yang bermaksud:

“Apabila seseorang wanita itu telah melakukan
sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan,
menjaga maruah diri dan taat akan suaminya, maka dia
dipersilakan masuk syurga mengikut pintu mana yang dia
suka (mengikut pilihannya).” Riwayat Ahmad.

Inilah syarat awal untuk wanita layak diterima jadi
orang yang bahagia di akhirat. Ertinya keempat syarat
ini mesti ada pada seorang wanita untuk layak ke
syurga. Tempat berkumpul segala kenikmatan milik
Allah. Syurga yang mana tiada lagi kita perlukan
menanggung susah dan derita. Sebelum layak masuk
syurga di akhirat kita akan diuji dengan perintah
suruh dan perintah larang. Perintah ini sengaja Allah
turunkan untuk dinilai siapakah hamba-Nya yang
benar-benar taat untuk Allah beri penghormatan di
akhirat nanti.

Seorang wanita yang adil ialah wanita yang sudah dapat
melaksanakan sembahyang dengan sempurnanya; puasa di
bulan Ramadhan; mentaati suami (yakni sanggup melayan
apa jua kemahuan suami, sentiasa bermanis muka dengan
suami di kala senang atau susah, mengutamakan kehendak
suami lebih dari keinginan hatinya, makan-minum,
berpakaian, mengatur rumahtangga, membuat sebarang
keputusan dan lain-lain); menjaga maruah diri (seperti
tidak membenarkan lelaki yang bukan muhram masuk ke
rumah jika suami tidak ada, atau keluar rumah dengan
mendedahkan aurat tanpa izin suami, berjalan seorang
diri, berkelakuan yang tidak sopan yang boleh
menyebabkan orang pandang benci padanya, suka menjaga
tepi kain orang, beramah mesra dengan lelaki lain yang
akan menyebabkan suami terpaksa menanggung malu dan
menanggung dosa di akhirat dari perbuatan si isteri).

Apakah diri kita termasuk orang-orang yang mampu
menjaga itu semua? Apa yang kita boleh lihat dalam
masyarakat kita ialah ramai wanita yang sering
menzalimi dirinya, tanpa kita sedar. Ada yang punya
ilmu agama bahkan menyertai perjuangan Islam tapi
masih lagi bebas keluar rumah. Pagi-pagi lagi mereka
sudah berebut-rebut dengan lelaki bukan muhrim di
stesyen bas yang kesesakan untuk ke tempat kerja.
Walaupun mereka boleh tutup aurat, tetapi mampukan
mereka mengawal diri agar tidak bergaul dengan lelaki
teman sepejabat. Ataupun mana ada pejabat yang
mengasingkan pekerja lelaki dengan perempuan?

Terperangkaplah wanita-wanita yang bekerja dalam
pergaulan dengan lelaki yang bukan muhrimnya, samada
dalam keadaan dia suka atau dia membencinya. Ini
kerana keadaan tempat kerja memaksa ia jadi begitu.
Kalau dia cuba juga mengelak-elakkan diri agar jangan
tidak terlibat dengan lelaki di tempat kerja, mungkin
dalam perjalanan balik, masa terima gaji, masa membeli
belah, sewaktu menghadiri mesyurat pejabat menghadiri
seminar atau majlis sosial yang dianjurkan oleh teman
sepejabat, itu semua akan menjerat wanita untuk
terpaksa bergaul juga dengan lelaki. Yang mana kalau
pun pergaulan itu tidak sampai kepada perbuatan yang
buruk, tapi ia tetap dilarang oleh Allah.

Bila wanita diberi tanggungjawab atau kerja yang sama
taraf dengan lelaki, maka berbagai-bagai kesan yang
timbul. Yang paling ketara ialah terbengkalai
kerja-kerja di rumah yang sepatutnya dilaksnakan oleh
wanita. Anak-anak kurang dapat perhatian dan kasih
sayang, suami pun tidak punya kesempatan untuk dilayan
dengan baik. Walhal fungsi dalam rumahtangga
sebenarnya sudah terlalu berat untuk seorang wanita
melakukannya. Sekiranya ia berada sepenuh masa di
rumah, maka sudah tentu akan sibuk dengan kerja-kerja
rumah yang tidak pernah habis.

Orang gaji tidak mungkin dapat menyempurnakan
tugas-tugas rumahtangga. Walaupun orang gaji yang
mampu memasak, membersih dan mengemas rumah tapi
mempukah dia mencurahkan kasih sayang, mendidik dan
mengasuh akan-anak dengan ikhlas seperti seorang ibu?
Dan mahukah kita agar orang gaji melayan suami kita
makan dan melayan keperluan-keperluannya yang lain
agar ia rasa tenteram dan bahagia bila berada di
rumah? Tentu kita tidak mahu.

Kerap terjadi kisah anak-anak jadi liar, terlibat
dengan penagihan dadah, suami curang dengan orang
gaji, atau dengan perempuan lain di luar rumah. Yang
mana sebahagian dari puncanya adalah dari kesalahan
isteri sendiri. Walaupun tidak dinafikan juga memang
ada setengah suami yang memang tunggu peluang untuk
buat jahat dengan perempuan lain tapi kalaulah suami
itu mendapat perhatian istimewa, layanan yang cukup
mesra, dimuliakan oleh isterinya, bukan dengan dibuat
dengan secara paksa-paksakan diri tentu suami akan
rasa bahagia. Dan tentunya dia tidak mencari hiburan
yang lain di luar rumahtangganya.

Biasa terjadi kisah pahit dalam kehidupan sepasang
suami isteri yang sama-sama menjawat jawatan penting
dan punya kelulusan tinggi. Suami isteri kedua-duanya
ada ijazah Ph.D. Si isteri yang punya kelulusan yang
tinggi dan bijak pula memberi buah fikiran, maka si
suami setiap kali memberi buah fikiran, maka si suami
setiap kali merencang sesuatu perkara mesti menanyakan
pendapat si isteri. Hatta untuk masak apa pada hari
itu pun ditanya pendapat isteri. Mula-mula memang
isteri seronok juga suami menghormati pandangannya.
Tapi lama-kelamaan timbul rasa jemu pada sikap
suaminya yang begitu. Akhirnya si isteri menuntut
cerai dengan alasan dia jemu bersuamikan seorang
lelaki yang tiada sifat kepimpinan dalam diri.

Katanya dia berkahwin dengan lelaki itu minta
dipimpin. Tapi cita-cita dan harapannya itu ternyata
gagal. Oleh kerana tidak merasa dilindungi dan
dipimpin serta tidak nampak wibawa atau ketokohan
suami sebagai orang yang menentukan perjalanan
rumahtangganya, maka wanita itu sudah tidak sanggup
lagi untuk hidup dengan lelaki yang begitu.

Inilah akibat kalau suami gagal memahami fitrah
isterinya, fitrah seorang wanita. Sehebat manapun
seorang wanita di luar rumah, tapi fitrah hatinya, ia
suka untuk dipimpin. Di pihak isteri pula dia juga
bersalah kerana tidak menunjukkan rasa hormat dan
mengutamakan pendapat si suami, sehingga suami jadi
bimbang untuk buat keputusan sendiri. Takut isteri tak
setuju.

Ramai lagi wanita-wanita yang sedang dilanda kedukaan
akibat dari gagalnya mereka meletakkan diri pada
tempat yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul. Ada
wanita-wanita yang melanggar perintah Allah dengan
menjual kecantikan diri, menjual suara, bakat berlakon
dengan macam-macam cara yang pada hakikatnya menjual
maruah diri, kononnya mereka hendak mengejar
kebahagiaan hidup. Bercita-cita untuk jadi terkenal
dan berjaya. Hidup penuh glamour. Tapi sejauh manakah
mereka benar-benar bahagia dalam hidup dengan mengejar
kemewahan dunia yang tidak tentu berjayanya?

Yang berjaya menjadi pujaan maka ramailah peminat,
akhirnya tersangkutlah yang istimewa. Lepas itu
kahwin. Mula-mula kahwin, surat khabar bukan main
cerita kisah percintaan yang macam Laila Majnun,
pasangan yang ideal satu pasangan yang bahagia. Tapi
belum sampai setahun sudah terdengar khabar mereka
mula sudah tidak ada kesefahaman. Duduk asing-asing
(sudah tiru cara orang barat), akhirnya selesai dengan
perceraian.

Mana dia pasangan bahagia yang dicanang-canangkan
dulu? Bahagia ikut nafsu. Yang mana kalau nafsu sudah
dapat dia hendak pada yang lain pula. Isteri cantik
macam mana, tapi kalau perangai tak senonoh, asyik
berkepit atau berhubung dengan lelaki lain, pergi
balik ditemani lelaki lain, mana suami yang tidak
cemburu. Kalau pun suami tak cemburu, ertinya suami
itu adalah suami yang dayus, yang sudah tidak sensitif
sebagai suami. Suami dayus yang membiarkan isteri
berada dalam kemaksiatan (termasuk suami isteri
menyanyi di atas pentas dan ditontoni orang ramai),
nerakalah tempatnya yang layak untuknya.

Itulah kehinaan yang sedang Allah timpakan pada mereka
yang mengejar nama, kemuliaan dan sanjungan sehingga
tak segan silu lagi melanggar larangan Allah. Bahkan
turut melalaikan orang lain agar lalai dengan Allah
swt. Allah hukum mereka di dunia lagi, tidak diberi
ketenangan pada jiwa, sentiasa merasa tidak cukup
dengan apa yang ada, berangan-angan untuk hidup lama,
ingin memiliki apa yang orang lain ada, sehingga
kerana itu mereka bermati-matian sanggup kurang tidur,
berletih, untuk kejar keuntungan dunia yang belum
tentu hasilnya. Apa yang mereka kejar itu tidak akan
ada noktahnya melainkan mati saja. Kalau matilah dalam
keadaan itu, di akhirat nanti neraka yang penuh dengan
kesengsaraan sedia menunggu untuk mereka.

Kiranya beruntunglah wanita yang pandai meletakkan
dirinya, yakni wanita yang sanggup susah-susah diri
agar dapat mentaati perintah Allah. Mereka ini akan
dapat ganjaran daripada Allah sebagaimana Firman Allah
yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang Islam lelaki dan orang-orang
Islam perempuan, orang-orang Mukmin lelaki dan
orang-orang Mukmin perempuan, lelaki yang berbakti dan
perempuan yang berbakti, lelaki yang sabar dan
perempuan yang sabar, lelaki yang khusyuk dan
perempuan yang khusyuk, orang-orang lelaki yang
bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah,
orang-orang lelaki yang berpuasa dan orang-orang
perempuan yang berpuasa, orang-orang permpuan yang
menjaga kemaluannya, dan orang-orang lelaki yang ingat
pada Allah dan orang-orang perempuan yang ingat pada
Allah; telah Allah sediakan bagi mereka keampunan dan
pahala yang besar.” Surah Al Ahzab: 35

"sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri pada Allah SWT."

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my