Terkini  Popular    Mula Topik

Alamak..kat Serdang Lagi...

2004-10-21 13:45:09
Edisi KL: Peragut silap mangsa

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud

6 LELAKI CABUT LARI SELEPAS DIBELASAH GADIS PETALING JAYA: Ilmu mempertahankan diri yang dipelajari setahun lalu menyelamatkan seorang gadis daripada menjadi mangsa ragut enam lelaki di Stesen Komuter Serdang dekat sini, pagi semalam.

“Saya menggunakan kepakaran yang ada untuk menyiku leher seorang daripada lelaki yang memeluk saya dari belakang sehingga tersungkur.

“Kemudian, saya mengambil alat penyembur lada dalam beg untuk menyembur mata rakan lelaki itu sebelum melarikan diri ke arah orang ramai,” kata Wan Marziah Mohd Rejab, 22, seorang eksekutif di sebuah pusat kecantikan di Taman Serdang Perdana.

Menceritakan detik cemas itu, Marziah yang belajar taekwondo ketika di sekolah menengah, berkata ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya dari rumah di Cheras.

“Seperti biasa, saya sampai di Stesen Komuter Serdang kira-kira jam 8 pagi. Selepas turun daripada komuter, saya terus berjalan menuju ke jalan utama.

“Ketika berjalan saya nampak sekumpulan lelaki berada di tepi tangga berbual sambil memerhati gerak geri penumpang komuter yang keluar masuk,” katanya.

Pada mulanya, dia tidak mengesyaki niat jahat mereka, sebaliknya berjalan melintasi kumpulan lelaki berkenaan.

Tiba-tiba seorang daripada mereka memeluknya dari belakang untuk merampas begnya.

Menurutnya, dalam usaha melepaskan diri, dia menggunakan teknik keselamatan diri taekwondo untuk menyiku tepat ke leher lelaki berkenaan menyebabkan dia terjatuh ke lantai sambil meraung kesakitan.

“Bila dia sudah tersungkur, tiba-tiba bahu saya dipegang seorang lagi lelaki. Mujur saya ada membawa alat penyembur lada dan sempat menyembur matanya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan, semalam.

Selepas melihat dua rakan mereka tertewas, empat lelaki lagi cuba menangkap Marziah tetapi gagal kerana mangsa dapat melarikan diri ke arah orang ramai.

Marziah berkata, dia tidak bertindak melawan empat lelaki itu kerana bimbang mungkin mereka mempunyai senjata berbahaya dan boleh mengancam nyawanya.

Dia percaya kumpulan lelaki itu merancang untuk meragutnya kerana mengetahui dia setiap hari tiba di stesen terbabit untuk ke tempat kerja.

“Selepas melarikan diri saya perasan kumpulan lelaki itu turut melarikan diri menggunakan beberapa motosikal.

“Saya biasanya akan sampai ke stesen itu kira-kira jam 8 pagi selepas bertolak dari rumah kira-kira jam 7 pagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Selatan, Asisten Komisioner Muhd Fuad Talib, berkata polis kini melancarkan gerakan memburu kumpulan lelaki berusia 20-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Polis percaya dapat mengesan mereka tidak lama lagi dengan bantuan mangsa.

“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mempelajari ilmu mempertahankan diri bagi mengelakkan menjadi mangsa keganasan,” katanya ketika dihubungi.

Justeru, beliau memuji Marziah kerana mempunyai ilmu mempertahankan diri untuk menentang penjenayah di samping sentiasa membawa alat penyembur lada dalam beg.
"Hamba Allah......"

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my