Terkini  Popular    Mula Topik

Fenomena Kanibal Dlm Bima Sakti

2004-12-04 13:49:36
Fenomena 'kanibal' dalam Bima Sakti
Oleh Ramli Abdul Samad

Pada malam yang terang, tanpa awan kita boleh menjenguk ke arah langit dan melihat berbilion bintang bertebaran di angkasa raya. Bintang-bintang yang bersama awan kosmik itu bagaikan satu hamparan di mana terkandung sejumlah 20 bilion bintang.

Hamparan itu adalah sebuah galaksi yang dinamakan Bima Sakti. Pada hamparan itu juga kita boleh mengesan bintang terdekat dari sistem tatasuria kita bernama Proxima Centauri, lokasinya kira-kira empat perpuluhan dua tahun cahaya dari bumi sementara penghujung atau tepian pada galaksi Bima Sakti jaraknya adalah dua ratus lima puluh ribu tahun cahaya.

Satu tahun cahaya bersamaan dengan masa yang diambil oleh cahaya untuk membuat perjalanan selaju 300,000 km sesaat dalam setahun. Bima Sakti adalah salah satu daripada berbilion-bilion galaksi yang ada di alam semesta kita.
Saintis percaya bahawa Bima Sakti terbentuk daripada gas yang terluwap selepas peristiwa letupan besar antara 13 hingga 15 bilion tahun yang lampau. Ia akhirnya terbentuk menjadi galaksi lingkaran (spiral galaxy). Dalam galaksi ini terdapat berjuta-juta bintang yang bergerak seperti sekawan ikan, berkelompok dan diikat dengan gravitinya.

Semuanya tidak statik melainkan dalam gerakan. Saiz dan jisim galaksi adalah amat besar jika dibandingkan dengan bahan terbesar dalam tatasuria kita iaitu matahari. Maka dengan saiz yang besar dan kelajuan yang deras, fenomena tarikan antara galaksi tetap akan terjadi seperti yang diperkatakan oleh hukum fizik.
Apabila sebuah massa besar dengan kuasa graviti bertemu dengan sebuah massa kecil maka ada kecenderungan objek berskala besar itu boleh menarik objek kecil itu ke dalam domainnya. Bahasa mudah dikiaskan sebagai si besar memakan si kecil. Si besar menjadi kanibal. Lalu si kecil disedut oleh si besar.

`Kanibal' galaksi terjadi apabila sebuah galaksi `memakan' galaksi yang lebih kecil daripadanya melalui tarikan gravitinya yang lebih kuat, menelan gas-gas yang bersama galaksi kecil itu, tindakan itu akan menghasilkan satu gabungan dengan entiti yang baru.

Daripada kajian yang pernah dibuat, galaksi kita, yakni Bima Sakti pernah memamah banyak galaksi kecil mahupun bintang-bintang kerdil. Pemerhatian daripada teropong menunjukkan bahawa fenomena kanibalisme ini adalah perkara biasa pada era permulaan pembentukan alam semesta, ketika itu alam semesta belum berkembang luas lagi.
Pada era itu juga jumlah galaksi dalam alam semesta adalah lebih tinggi daripada yang ada pada masa ini.

Nampaknya galaksi terbesar yang berbentuk lingkaran itu terdiri daripada sejumlah satu trilion bintang dan dibentuk hasil daripada proses memamah banyak galaksi seperti galaksi kita.
Proses makan-memakan antara galaksi itu adalah satu proses yang amat dahsyat kerana ia melibatkan pertembungan bintang-bintang, dan bintang-bintang itu sebenarnya adalah sama seperti satu loji nuklear!
Namun pada pemerhatian manusia melalui teropong canggih, fenomena kanibalisme antara galaksi boleh memberi kita satu fenomena yang amat indah. Bayangkan gambaran seperti letupan daripada bunga api dengan pelbagai warna seperti merah, biru, oren dan sebagainya.
Mujur fenomena itu berlaku jauh dari bumi, beribu-ribu tahun cahaya, jika tidak radiasi kosmik atau gegarannya mungkin boleh menyapa dan memudaratkan persekitaran bumi.

Mengikut saintis, kelompok ini akan akhirnya berpecah, sementara di dalam galaksi Bima Sakti ini juga terdapat banyak fenomena lain lagi seperti wujudnya lohong hitam, radiasi kosmik dan bahan hitam (black matter). Manusia hidup di planet Bumi yang bagaikan seketul batu kecil di dalam hamparan galaksi Bima Sakti.
Dalam perkembangan baru seperti yang ditemui oleh saintis astronomi dari Universiti Virginia dan Universiti Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) hujung bulan September lalu, galaksi Bima Sakti kita sedang `memakan' galaksi jirannya iaitu galaksi Sagittarius. Bintang-bintang raksasa pada galaksi Sagittarius juga dikenali M, adalah lebih kecil daripada galaksi Bima Sakti.

`Memakan' dalam konteks astronomi bermaksud bahawa galaksi Sagittarius akan disedut, diserap yakni bintang-bintang yang ada pada galaksi Sagittarius akan ditarik ke dalam kuasa tarikan graviti Bima Sakti. Bahasa kiasan yang menggambarkan fenomena sifat kanibal itu bermaksud sebuah galaksi (gabungan berjuta-juta bintang atau gugusan bintang) `memakan' galaksi yang dianggap lebih lemah, seperti seekor harimau memakan seekor rusa.

Bagi saintis yang mengkaji fenomena kanibal ini mereka menggambarkan Bima Sakti sedang memamah bintang-bintang Sagittarius bagaikan memakan untaian mi.
Mengikut penelitian sains, fenomena kanibal oleh galaksi Bima Sakti sudah berjalan lama, cuma tidak dapat dipantau selama ini kerana hambatan debu kosmik dan cahaya bintang yang boleh bertindak sebagai gangguan kepada penglihatan galaksi berkenaan.
Perbandingan telah dibuat di mana sebelum ini gambar-gambar atau peta hamparan galaksi Sagittarius didokumentasikan dan didapati sebahagian penghuni Sagittarius tidak lagi bersamanya. Bahagian yang hilang itu telah ditelan oleh Bima Sakti.

Galaksi Sagittarius adalah 10,000 kecil daripada galaksi Bima Sakti dari segi massa dan kepadatan. Maka logiknya ia boleh ditarik oleh sebuah graviti yang lebih besar seperti galaksi Bima Sakti, apatah lagi ia berjiran dengannya.
Proses kanibalisme bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip masa, tetapi beribu-ribu tahun dan sedikit demi sedikit bintang-bintang dan bahagian lain yang menjadi bahagian induk Sagittarius akan ditelan. Saintis juga mengguna bantuan komputer dan teropong canggih yang berupaya mengamati radiasi infra merah untuk merakam fenomena kanibalisme ini. Malahan saintis dapat mengira jumlah penghuni Sagittarius yang telah disantap oleh Bima Sakti.

Para saintis mengesan radiasi infra merah yang datang dari bintang-bintang raksasa bernama M itu yang biasa terdapat pada galaksi Sagittarius telah dikesan pada jangkauan paling luar Bima Sakti.
Kita, penghuni di planet Bumi tidak perlu khuatir kerana fenomena kanibalisme ini berlaku nun jauh di angkasa raya. Lagaan atau pertembungan antara bintang walaupun terjadi tidak akan memberi sebarang kesan langsung terhadap hidupan di Bumi. Fenomena ini akan menambahkan lagi pengetahuan kita mengenai asal usul alam semesta. Hasil penelitian ini akan dimuatkan di dalam jurnal sains Astrophysical edisi 20 Disember 2003 nanti.


Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my