Terkini  Popular    Mula Topik

Pelita Nasi Kandar - Ustaz Samsuri

2005-02-27 22:03:03
Assalamualaikum

Firman Allah yang bermaksud:
“Tidaklah seseorang itu mengucapkan sesuatu ucapan, melainkan di sisinya ada malaikat Raqib dan Atid”.
Surah Qaf 18

Firman Allah yang bermaksud:
“Janganlah engkau turut apa yang engkau tidak tahu, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta bertanggungjawab (atas apa yang mereka lakukan).
Surah Al-Israk 36

Dalam sebuah hadis:
Daripada Ibni Umar r.a berkata:
Nabi s.a.w. bersabda:
“ Sedahsyat-dahsyat dusta ialah apabila seseorang itu mengaku bahawa kedua-dua matanya melihat sesuatu yang sebenarnya tidak dilihatnya “.
Riwayat Al-Bukhari

Nasi Kandar Pelita atau Pelita Samudra Pertama (M) Sdn.Bhd. adalah sebuah syarikat yang berdaftar. Nombor pendaftaran syarikat 481477-P. Syarikat ini mula beroperasi pada tahun 1994. Kini terdapat 7 (tujuh) orang pemegang saham (rakan kongsi). Enam daripadanya Muslim dan seorang India (belum Islam).

Saya Ustaz Shamsuri bin Ahmad adalah salah seorang daripada rakan kongsi dan pemegang saham syarikat ini. Buat masa ini saya telah dipilih sebagai Pengerusi Eksekutif syarikat ini.

Untuk makluman semua,
Pada zaman awal penubuhan syarikat ini, tidak banyak isu yang ditimbulkan. Tetapi isu yang berbagai-bagai mula timbul apabila syarikat ini mula berkembang dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Apakah motif sebenar di sebalik isu-isu yang ditimbulkan itu hanya Allah yang mengetahui.

Isu taukeh Hindu, ayam tidak disembelih dan sebagainya telah menjadi isu yang paling hangat diperkatakan dan digembar-gemburkan oleh pihak-pihak tertentu. Cara isu-isu ini dibangkitkan sangat menarik dan kadang-kala kelihatan “macam cerita benar”. Manakala pencetus isu dan pencipta fitnah ini pula menggambarkan dirinya sebagai seorang yang sangat bertanggungjawab dan sangat amanah terhadap Allah. Maka sudah pastilah akan ada orang yang terpanggil untuk mengembangkan fitnah ini atas rasa tanggungjawab terhadap agama.


Sebagai orang Islam kita sepatutnya ingat firman Allah dalam Surah Al-Hujuraat ayat 6 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu satu orang yang fasik membawa sesuatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah terhadap sesuatu kaum sedangkan kamu tidak mengetahui hal sebenarnya. Akhirnya kamu akan menyesal atas perbuatan kamu “.

Saya sebagai seorang yang berpendidikan agama (Islamic Scholar), apatah lagi seorang yang terlibat secara langsung dalam medan dakwah. Memberi kuliah-kuliah pengajian, lebih-lebih lagi kaset-kaset kuliah pengajian saya bertebaran di sana sini, sudah tentulah saya amat faham tentang hukum haram halal dan tentu tidak akan berkompromi dalam hal yang seumpama ini.
Saudara-saudara,
Izinkan saya membuat sedikit penjelasan.

1. Islam tidak pernah melarang umat Islam berkongsi niaga dengan bukan Islam. Tidak ada satu nas Al-Quran atau hadis nabi yang menyatakan larangan terhadap perkara tersebut. Bermakna dari segi agama seorang Muslim boleh menjadikan bukan Islam sebagai rakan kongsi dalam perniagaan. Di Pelita Nasi Kandar, rakan kongsi yang belum Islam ini ditugaskan sebagai Pengurus Akaun, sesuai dengan kebolehannya.

Beberapa perkara untuk difikirkan:

Berapa banyak pruduk makanan yang ada dalam pasaran hari ini yang dihasilkan oleh syarikat milik orang Islam? Sebut apa saja, gula, susu, garam, tepung. Minuman atas apa jenama sekalipun, Milo, Nescafe, Teh Boh, Coca-Cola, Pepsi dan lain-lain lagi. Roti dan biskut atas apa brand juga, Gardenia, High 5, Cream Cracker dan macam-macam lagi.

Syarikat siapakah yang menghasilkan produk-produk ini?

Adakah syarikat-syarikat ini kepunyaan orang Islam ataupun mempunyai rakan kongsi Islam yang faham hukum haram halal dan berkuasa untuk mengawasi dan mengawal operasi dan perjalanan syarikat? Adakah di sana seseorang yang boleh dipercayai untuk memastikan kehalalan produk-produk tersebut? Namun begitu kita menerima dan meyakini status halalnya. Kita menggunakan, kita makan dan kita minum produk-produk itu setiap hari.

Bagaimana pula dengan makanan-makanan yang disediakan di hotel-hotel?

Kita bukannya tidak biasa menginap di hotel sama ada atas alasan berkursus jabatan dan syarikat ataupun bercuti bersama keluarga. Siapakah chef atau tukang masak di hotel-hotel tersebut? Dari manakah barang-barang mentah tersebut dibeli? Tetapi kita makan dan minum juga di sana.

Setidak-tidaknya di Pelita nasi Kandar, saya sebagai salah seorang rakan kongsi (bukannya makan gaji) sentiasa mengawasi perkara-perkara ini.

Untuk makluman saudara-saudara juga, Pelita Nasi Kandar kini mempunyai pekerja Muslim seramai lebih kurang 800 orang. Daripada jumlah itu terdapat 5 orang yang hafaz Al-Quran. Kebanyakan daripada mereka adalah pekerja dari India yang kita semua maklum tentang kemiskinan dan kedhaifan hidup mereka.

Kami di Pelita Nasi Kandar sangat bersyukur kepada Allah kerana kami dapat membantu mereka. Pendapatan yang seorang pekerja perolehi dapat menyara dan memberi makan kepada beberapa ramai ahli keluarganya di India. Semoga Allah menerima amal kebaikan yang sedikit ini sebagai satu amal baik di sisi-Nya.

2. Untuk memastikan kebersihan dan kehalalan serta menghapuskan keraguan, Pelita Samudra Pertama (M) Sdn.Bhd. telah menubuhkan anak syarikatnya Ayam Pelita Sdn.Bhd. Nombor pendaftaran 554846-A untuk menguruskan soal pemerosesan ayam.

Pelita Nasi Kandar adalah satu-satunya rangkaian nasi kandar yang mempunyai pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam sendiri. Kita menerima ayam hidup daripada pembekal kita iaitu Maju Ayam Sdn.Bhd. dan penyembelihan serta pemprosesan dilakukan sendiri oleh pekerja-pekerja kita.
Proses ini dilakukan mengikut kaedah dan kehendak Syarak sepenuhnya. Sohibus Samahah Dato’ Mufti Pulau Pinang Dato’ Haji Hasan Haji Ahmad dan rombongan daripada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang telah dijemput untuk melawat, melihat dan memberi nasihat kepada pekerja-pekerja kita dari aspek Syariah.

Ayam Pelita Sdn.Bhd. juga telah diberi Sijil Halal oleh pihak Jabatan Agama Islam Pulau Pinang. Bahkan pekerja-pekerja bahagian sembelihan juga mempunyai Sijil Pengesahan Penyembelihan dari pihak Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

Semua outlets (rangkaian) Nasi Kandar Pelita di seluruh Malaysia, termasuk di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya menggunakan ayam yang diproses sendiri oleh Ayam Pelita Sdn.Bhd. Lori-lori kita akan bergerak ke Kuala Lumpur dan Petaling Jaya 2 hari sekali. Pelita Nasi Kandar juga mempunyai satu bilik beku di Pelita Seksyen 2 Petaling Jaya dan 3 bilik beku di Pelita Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Adalah mudah untuk mencari kesalahan dan kelemahan orang lain. Dan adalah lebih mudah lagi untuk memfitnah, mencipta cerita karut dan memburuk-burukkan orang lain. Tetapi bukannya senang untuk melaksanakan satu perkara baik dan bermanafaat. Sepertimana, senang bagi kita untuk memburuk-burukkan anak orang lain, tetapi amat susah untuk mendidik anak kita sendiri menjadi anak yang baik, soleh dan berguna.

Saya selalu ingat pesan orang tua saya:
“Jika kita tidak mampu berbuat baik, tidak buat jahat pun sudah memadai”.

Bagi saya dan rakan-rakan di Pelita, kami percaya hanya Allah yang mengetahui dan menilai kerja dan kesungguhan kami.

Kepada pembuat dan penyebar fitnah:
Saya menasihatkan supaya hentikan kerja sia-sia ini, kerana anda akan disoal dan dipertanggungjawabkan di atas fitnah yang disebarkan itu. Anda akan diminta bertanggungjawab di akhirat nanti.

Ingat pesan Nabi s.a.w.
Daripada Abi Hurairah r.a.
Nabi s.a.w bersabda :
“Memadai seseorang itu dianggap berbohong apabila dia bercakap semua perkara yang dia dengar”
Riwayat Muslim

Kita jumpa di Mahsyar, insya Allah.

Ikhlas,

Ustaz Shamsuri bin Ahmad
Pelita Nasi Kandar
Penang
3.10.2004

"belakang parang kalau di asah tajam juga"

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my