Terkini  Popular    Mula Topik

Segala Amalan Adalah Dari Niat

2005-04-13 12:35:20
Oleh
Xmeng
Hadith Rasulullah s.a.w.
"Niat adalah sebab pertama untuk menjadikan atau melahirkan amal. Diterimanya amal itu atau tidak adalah kerana qasad (tujuan di hati) yang timbul dari kesedaran hati / jiwa untuk melakukan menurut kemahuan sendiri."

Niat menurut bahasa ialah qasad (tujuan hati) dan iradah (kehendak hati). Maka dengan tujuan hati dan kehendaknya sendiri, terjadilah sesuatu amal atau pekerjaan. Menurut istilah syara' pula, niat ialah tergerak hati ke arah satu pekerjaan untuk mencari keredhaan Allah dan menyatakan perasaan tunduk dan patuh kepada perintah Nya. Inilah yang dikatakan ikhlas / kejujuran dalam melaksanakan sesuatu amal. Maksud niat, menurut pendapat ulama' ialah untuk menyatakan perbezaan antara ibadat dengan pekerjaan adat. Sebagai contoh;
Seseorang yang duduk di dalam masjid kerana beriktikaf dan berehat adalah sama. Tetapi yang dapat membezakan antara keduanya ialah niat. Pada zahirnya kelihatan sama tetapi perbezaannya terdapat pada batinnya.

Segala amalan adalah dengan niat, maka niat itu tentu pula mempunyai arah tujuan atau ketentuan maksudnya. Kerana di sinilah terletak balas baik atau jahat dan seseorang akan mendapat balasan itu sebanding dengan apa yang telah diniatkan menurut ikhtiar dan pilihan hatinya sendiri, misalnya suatu amal ibadat seperti sembahyang yang wajib atau yang sunat dianggap sah serta diterima dan diberi balasan sekiranya amal tersebut didirikan kerana Allah bukan kerana lainnya. Inilah yang dinamakan ikhlas yang menjadi jiwa suatu amal dan amal. Yang demikian inilah yang diperintah Allah dengan firmannya:
"Dan tidaklah diperintahkan mereka melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan agama kerana Nya dengan menjauhi kesesatan dan (supaya) mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, kerana yang demikian itulah agama yang lurus."

(Surah Al-Bayyinah :5)

Jelaslah bahawa suatu amal itu dianggap sah atau sempurna kalau diwujudkan dengan niat atau qasad. Tetapi niat atau qasad itu terletak pada haluan atau tujuan. Sekiranya kepada Allah dikatakan ikhlas. kalau tidak, tidaklah dinamakan ikhlas.

Niat yang terselit di hati ialah punca yang menentukan akibat amal. Baik amal itu jika niatnya baik, jahat amal itu kalau niatnya jahat sekalipun amal atau perbuatan itu pada lahirnya baik. Itulah yang dikatakan niat tidak menghalalkan cara. Contohnya orang yang makan dengan niat atau qasad terpelihara hidupnya serta mengamalkan badannya untuk dapat meneruskan amal baktinya kepada Allah dan menunaikan kewajipan terhadap agama, keluarga dan bangsa. Maka ia akan mendapat ganjaran kerana makan atau minumnya dianggap satu ibadat atau taat dan bukan kerana memuaskan nafsunya semata-mata. Tetapi ketetapan ini terbatas pada perkara yang harus syara'. Mengenai perkara yang haram, maka yang haram tetaplah haram. Orang yang berusaha mengumpulkan wang yang haram dengan niat yang baik seperti mencuri wang untuk membantu orang lain umpamanya, tidaklah dianggap baik walaupun maksudnya baik.

Amal yang didasarkan kepada niat yang baik dan ikhlas diterima Allah dan diberi ganjarannya. Imam Nawawi dalam keterangannya mengenai amal yang disertainya niat baik, telah berkata :
Bahawa amal ini ada 3 bahagian iaitu :
1. Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah. Amal ini dinamakan ibadat hamba.
2. Amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala. Amal ini dinamakan ibadat saudagar.
3. Amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah dan kerana dilaksanakan hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seorang yang masih di dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalnya diterima atau tidak. Amal ini dinamakan ibadat yang merdeka.

Huraian dari Hadith 40 oleh Mustafa Abdul Rahman

Manusia yang tidak ada masalah dalam hidupnya bukanlah dinamakan manusia, tetapi 'robot bernyawa' yang telah diprogramkan.





Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my