Terkini  Popular    Mula Topik

Mengaji Sesaat: Cara Bercakap Cerminkan Keperibadi

2005-08-19 08:25:30
Oleh
chuvest
Mengaji Sesaat: Cara bercakap cerminkan keperibadian manusia

RASULULLAH s.a.w. bersabda, maksudnya:"Aku memberi jaminan sebuah rumah dalam kebun syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan, meskipun dia benar. Aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tengah-tengah syurga bagi orang yang tidak berbohong walaupun sekadar bergurau. Dan aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tempat yang paling tinggi di dalam syurga bagi orang yang mempunyai budi pekerti yang baik." (Hadis riwayat Imam Abu Daud).

Kata orang 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana'.

Ungkapan ini menggambarkan betapa beratnya angkara lidah dan antara angkara lidah ialah perdebatan.

Hadis sahih yang termaktub dalam Sunan Abi Daud menerangkan bahawa tiada untungnya bagi seseorang yang suka berdebat.

Rasulullah juga memberikan jaminan sebuah rumah di tengah-tengah syurga kepada orang yang meninggalkan pembohongan walaupun sekadar bergurau.

Ini kerana pertama, jika seseorang itu sudah bercakap bohong, seseorang itu boleh melakukan perkara yang lebih dahsyat lagi, seperti kata bidalan 'siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri'.

Kedua, banyak fitnah berlaku hasil daripada senda gurauan.

Daripada riwayat Imam Ar-rafiei, Rasulullah bersabda, yang bermaksud : "Fitnah itu berada dalam keadaan tidur, Allah melaknat sesiapa yang membangkitkannya."

Justeru, lidah adalah di antara amanah Allah yang paling sukar dijaga walaupun dalam menyampaikan kebenaran dan ilmu. Ini kerana penyampaian yang terlalu ilmiah dan tidak dapat difahami, bukan saja boleh menimbulkan pelbagai kekeliruan, malah mengubah sosio budaya dan pengamalan masyarakat.

Rasulullah bersabda, maksudnya: "Janganlah kamu berbicara dengan sesuatu perkara yang tidak terjangkau oleh pemikiran sesuatu kaum kerana nescaya ia akan menimbulkan fitnah semata-mata." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Dalam banyak keadaan, tidak berkata-kata adalah lebih selamat. Sabda Rasulullah, yang bermaksud : "Sesiapa yang diam dia akan selamat." (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Berbicara mestilah timbul daripada keikhlasan hati yang ditimbang oleh kewarasan akal sebelum melafazkannya. Setiap butir perkataan adalah tanggungjawab yang akan disoal pada akhirat kelak.

Kerana itu Rasulullah menjelaskan, maksudnya : "Bukanlah daripada akhlak seorang mukmin sekiranya dia bercakap tidak seperti kandungan hatinya, ingatlah bahawa tenang dan hati-hati itu daripada Allah, sedangkan tergesa-gesa dan terburu-buru itu daripada syaitan."

Kita begitu dukacita sejak kebelakangan ini ada umat yang kadang-kadang sanggup menjual maruah diri dengan memuji orang lain menggunakan kata-kata yang manis semata-mata untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati, sedangkan kata-katanya itu bohong semata-mata.

Walau majikannya berucap menggunakan bahasa yang tidak difahami oleh hadirin, individu ini tetap memuji majikannya dengan mengatakan ucapan itu cukup bagus, memberangsangkan atau tiada tandingannya. Maka, hanyutlah si majikan itu dibuai mimpi indah, yang mendapat untung dan faedah ialah yang pembodek yang tidak bermaruah itu.

Daripada Saidina Abu Hurairah, diriwayatkan bahawa : 'Kami disuruh oleh Rasulullah agar menaburkan debu tanah ke muka orang yang memuji-muji dan mengampu-ngampu.' (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah).

Kesimpulannya, umat Islam harus mengambil ingatan bahawa tanda-tanda keteguhan iman lahirnya daripada kata-kata yang teguh. Ini sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud : "Tidak akan teguh iman seseorang sebelum hatinya menjadi teguh, dan tidak teguh hati seseorang sebelum kata-katanya menjadi teguh." (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Ada benarnya juga kata orang tua kita 'Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa'.

<WALLAHU A'LAM>

sabar itu iman..duit bukan kawan..dunia hanya pinjaman..mati tak berteman..

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my