Terkini  Popular    Mula Topik

Cemerlang Dengan Menegakkan Keadilan

2005-09-05 16:35:54
Oleh
rezza
Dalam surah Al-Maidah ayat 8 Allah berfirman, "Janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum menghalang kamu dari berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa.."



Bersikap adil dalam pergaulan menjadikan anda seorang yang terhormat. Kezaliman adalah lawan kepada keadilan. Jika kezaliman dibiarkan berleluasa, kemarahan dan kebencian akan timbul dan akhirnya si zalim akan binasa. Sebaliknya mereka yang adil dalam tindak tanduknya akan disayangi dan disenangi. Kehidupan mereka akan dipenuhi keberkatan dan rahmat dan keadaan ini memudahkan mereka mencapai kejayaan.

Kezaliman mungkin timbul kesan dari pengaruh emosi yang tidak dapat dikawal. Sebagai contoh, jika seseorang pernah menzalimi anda, tiba-tiba pada suatu ketika dia pula telah dizalimi oleh orang lain dan dia datang memohonkan pertolongan anda. Adakah anda akan menolongnya? Anda mengetahui dalam kes ini, beliau berada di pihak yang benar. Namun pada ketika yang sama anda memarahinya kerana sebelum ini beliau telah menipu anda. Bagaimana sikap anda ketika itu? Al-Quran mengarahkan agar kita mengetepikan kebencian serta kemarahan dan berusaha untuk membantunya. Sifat ini jika anda miliki akan membawa anda kepada ketakwaan dan kecemerlangan.

Sistem Dunia Yang Zalim

Sistem kehidupan yang tidak berdasarkan wahyu tidak akan mendatangkan kesejahteraan bagi manusia. Di India, sebagai contoh, ajaran agama Hindu telah melahirkan sistem kasta yang membahagikan manusia kepada Brahman (golongan sami dan ilmuwan), Kshatriya (golongan pentadbir dan pahlawan), Vaisya (golongan seni dan saudagar) serta golongan Sudras (golongan pekerja dan boroh). Manusia dari kasta yang berbeza tidak boleh berkahwin antara satu dengan lain. Lebih dari itu, mereka yang berada pada kasta terendah, terutamanya golongan Paria, dianggap kotor dan keji. Kerajaan India terpaksa mengharamkan sistem kasta ini pada tahun 1949 untuk menghindari kesan buruknya ke atas masyarakat.

Di Amerika, hingga ke penghujung abad kesembilan belas, golongan kulit hitam masih dizalimi dan tidak mendapat hak asasi mereka. Sebagai contoh, di dalam kes mahkamah Plessy v. Ferguson pada tahun 1896, mahkamah membenarkan pembinaan kemudahan awam yang berbeza antara golongan kulit hitam dan kulit putih. Keadaan di Afrika Selatan adalah lebih teruk kerana ia mengamalkan dasar apartheid sejak tahun 1948. Dasar ini mengagungkan golongan kulit putih berbanding kulit hitam walaupun peratus golongan kulit putih di Afrika Selatan hanyalah 13% berbanding kaum yang lain. Dasar ini mula berubah pada tahun 1991 dan perubahan ini hanya terlaksana secara rasminya pada tahun 1994 apabila Nelson Mandela dilantik menjadi Presiden Afrika Selatan.

Sistem kekeluargaan di Eropah juga diselimuti ketidakadilan. Wanita-wanitanya dikotak-katikkan. Dalam Encarta Encyclopedia disebutkan, "In the early 19th century, the vast majority of married women throughout Europe and the United States still had no legal identity apart from their husbands. This legal status—known as coverture—prohibited a married woman from being a party in a lawsuit, sitting on a jury, holding property in her own name, or writing a will. In custody disputes, courts routinely granted permanent custody of children to the father." Ia bermaksud, "Pada awal abad kesembilan belas kebanyakan isteri di Eropah dan Amerika tidak mempunyai hak di sisi undang-undang. Status ini dikenali sebagai coverture. Wanita tidak berhak untuk membawa kesnya ke mahkamah, tidak boleh menjadi juri, tidak boleh memiliki harta dan tidak boleh menulis wasiat. Dalam kes yang melibatkan penjagaan anak, mahkamah akan terus memberikan hak penjagaan itu kepada kaum bapa." Di Britain, selepas debat yang panjang diikuti dengan penggubalan akta Married Women's Property Act pada tahun 1870, 1882 dan 1887, wanita yang sudah berkahwin akhirnya diberikan hak untuk memiliki harta!

Islam Datang Membawa Keadilan

Ketika dunia mementingkan warna kulit, kasta, kabilah dan bangsa, Islam datang dengan sistem sosialnya yang tersendiri. Bagi Islam, manusia mempunyai asal usul yang sama justeru sebarang kebanggaan dan kemuliaan yang diasaskan kepada keturunan dan warna kulit adalah ditolak. Dalam surah Al-Hujurat ayat 13, Allah berfirman, "Wahai manusia, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya orang paling mulia di antara kamu ialah mereka yang paling bertakwa di antara kamu.".....................

(Dari buku "Tip-Tip Cemerlang Daripada Quran" oleh Dr Danial)
Nukilan Dr. Danial Zainal Abidin
(M.B.Ch.B. Universiti Alexandria)
Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy,
Pengamal Perubatan Selama 20 Tahun,
Motivator Mutiara FM (Radio Pulau Pinang) Selama 10 Tahun,
Penulis 10 buah buku,
Kolumnis Majalah i,
Pemudah Cara Pelbagai Korporat / Institusi
Penasihat Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa
Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Khidmat Runding
semoga hari ini lebih baik dari semalam..

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my