Terkini  Popular    Mula Topik

Bersyukur Supaya Sihat

2005-09-23 10:15:06
Oleh
suraya
HAMBA YANG BERSYUKUR TIDAK RAMAI
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Ramai orang alpa bahawa kesyukuran yang sebenarnya melibatkan
hati, lidah dan jasad. Oleh kerana itu sedikit sangat dari
hamba-hamba Allah yang benar-benar bersyukur. Dalam surah Saba'
ayat 13 Allah berfirman ;

" Dan sedikit dari kalangan hamba-hamba KU yang bersyukur. "

Bersyukur adalah dituntut dalam semua keadaan. Jika kita
dikurniakan nikmat, kita bersyukur dengan kurniaan itu dan kita
perlu memastikan nikmat itu digunakan secara yang betul. Jika
kita diuji dengan kesusahan dan penderitaan, kita bersabar dan
pada ketika yang sama kita bersyukur kerana terdapat orang lain
yang lebih menderita daripada kita. Kita juga bersyukur kerana
kita masih hidup dan berpeluang untuk memperbaiki diri. Dalam
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi bersabda,

"SESIAPA YANG MEMANDANG KEPADA DUNIA DENGAN MELIHAT KEPADA
ORANG YANG KURANG DARIPADANYA DAN DIA MEMANDANG KEPADA AGAMA
DENGAN MELIHAT KEPADA ORANG YANG LEBIH BAIK DARIPADANYA,
ALLAH (meletakkannya) DALAM GOLONGAN YANG SABAR DAN BERSYUKUR."

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tabrani, Abu Na'im dan
Baihaqi, Nabi bersabda bahawa terdapat satu golongan yang dikenali
sebagai 'al-Hammadun'. Mereka akan diberikan bendera khas dan
kemudian dimasukkan ke dalam syurga. Apabila sahabat-sahabat
bertanya, siapakah mereka itu, Nabi menjawab, " MEREKA IALAH
GOLONGAN YANG BERSYUKUR KEPADA ALLAH KETIKA SUKA DAN DUKA. "

Seperti yang telah disebutkan, golongan yang bersyukur seperti
ini jumlahnya tidak ramai. Dalam 'Tafsir Al-Azhar' oleh Hamka
dinukilkan satu kisah yang menarik. Pada suatu hari khalifah
Omar Al-Khattab terdengar seorang lelaki membaca doa di hadapan
kaabah. Lelaki itu berkata, "Ya Allah jadikanlah diriku
tergolong dalam golongan yang sedikit." Omar berasa pelik dengan
doa ini dan terus bertanya kepada lelaki itu, "Mengapa kau berdoa
seperti itu ?" Lelaki itu menjawab, "Tidakkah Allah berfirman
di dalam Al-Quran (dalam surah Saba' ayat 13) bahawa, " Sedikit
sangat dari hamba-hamba Ku yang bersyukur?" Omar berkata; 'Wahai
Omar, semua orang lebih alim dari diri mu.'

Jika kita digolongkan Allah dalam golongan yang tidak ramai ini
(minority), kitalah golongan yang cemerlang.

Fisiologi Kesyukuran
--------------------

Mereka yang bersyukur dan berterima kasih kepada Allah mempunyai
kesihatan yang lebih baik. Mengikut 'Mid-Columbia Medical Centre,
Health (Online)', kajian-kajian terkini menunjukkan mereka yang
tahu menghargai dan berterima kasih lebih bertenaga dan kurang
ditimpa penyakit-penyakit fizikal. Hal ini disebabkan hormon-
hormon 'stress' didalam darah mereka adalah rendah.......


- Tip-Tip Kecemerlangan dari Al-Quran

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my