Terkini  Popular    Mula Topik

Ibadah Puasa – Tamrin Perdana!

2005-10-07 17:36:41
Oleh
ilham
Oleh ABU MUIZ

Ibadah puasa adalah suatu proses latihan supaya benar-benar wujud dan terpeliharanya hubungan kita dengan Allah s.w.t.. Ini adalah kerana kita hanya perlu berpura-pura puasa, jika ibadat puasa kita itu bukan untukNya.

Apabila kita benar-benar berpuasa; benar-benar menanggung rasa lapar dan dahaga, maka ia suatu bukti adanya iman di hati kita. Malah, ia juga membuktikan adanya kesetiaan dan keikhlasan terhadap Allah s.w.t..

Melalui ibadah puasa, kita juga dilatih untuk dapat mengawal kehendak serta kemahuan nafsu kita berdasarkan kehendak serta kemahuan Allah s.w.t.. Melaluinya, kita diajar agar dapat meninggalkan kehendak dan keinginan nafsu di kala Allah s.w.t. tidak mengizinkan.

Sebaliknya, kita boleh saja memperturutkan kehendak dan keinginan nafsu kita itu, jika ia berada di dalam lingkungan yang diizinkan oleh Allah s.w.t..

Ketika sedang berpuasa, kita meninggalkan makan dan minum di siang hari dan hanya mengambilnya pada sebelah malamnya sahaja kerana menepati apa yang diizin atau tidak diizinkan oleh Allah s.w.t.. Ini menunjukkan bahawa ibadah puasa membentuk sikap jiwa; dan dengan sikap jiwa yang sama pula ia mempengaruhi aspek-aspek kehidupan kita yang lain.

Dalam ertikata lain, puasa melatih kita agar mampu; pertama, mengendalikan nafsu dan bukan menuruti atau mengekangnya habis-habisan; dan kedua, meletakkan kehendak Allah s.w.t. lebih utama berbanding kehendak nafsu. Malah, kehendak Allah s.w.t. itulah yang dijadikan penentu untuk menolak atau menerima mana-mana kemahuan nafsu. Dan tentunya, nafsu tidak berhak mengatasi perintah dan larangan Allah s.w.t..

Sebagai makhluk yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t., kita tentunya terikat dengan keperluan-keperluan tertentu untuk hidup di dunia ini. Contohnya, sebagai manusia, kita perlu kepada makan dan minum untuk terus hidup. Tubuh kita akan menjadi lemah, jika kita tidak mendapat makanan. Ini bukan lagi persoalan nafsu, tetapi persoalan keperluan.

Namun demikian, apabila berpuasa; kita dilatih untuk bertahan dengan kelaparan di kala Allah s.w.t. tidak mengizinkan kita makan; sebaliknya pula, kita mengambil makanan yang halal bagi menghapuskan kelaparan itu, di kala Allah s.w.t. mengizinkannya.

Antara falsafah yang boleh kita ambil dari perkara yang disebutkan di atas adalah; `Biar kita terus miskin, jika cara untuk kaya itu tidak diizinkan oleh Allah s.w.t.; dan sebaliknya, tidak mengapa menjadi kaya raya jika caranya atau jalannya diredai olehNya’.

Juga boleh merumuskan dengan; `Biar kita terus mundur, kalau untuk maju kita terpaksa menentang dan melanggar hukum Allah s.w.t.; dan sebaliknya, ayuhlah kita maju, jika bersama dengan Islam!’.

Di sana, kita juga boleh memahamkan bahawa tidak semestinya kerana sesuatu itu `perlu’ maka kita mesti mengusahakannya, tanpa mengira samada caranya baik atau tidak; betul atau salah; halal atau haram. Misalnya, kerana hendak membangunkan ekonomi umat, nak majukan umat, kita rempuh segala cara; biarpun dengan cara mengamalkan sistem riba, menghalalkan judi, menindas sesama manusia, menipu dan lain-lagi.

Selain dari yang telah disebutkan di atas, puasa juga adalah suatu proses latihan supaya kita dapat memenangkan pengaruh taqwa serta menundukkan pengaruh kemungkaran yang terdapat di dalam diri kita.

Firman Allah s.w.t. pada ayat 7 dan 8, dari surah ke 91, dari al-Quran al-Karim yang bermaksud: “Dan demi jiwa serta penyempurnaannya. Maka Allah mengilhamkan kepadanya pengaruh kemungkaran; serta juga pengaruh ketaqwaan”.

Di dalam ayat di atas ada disebutkan bahawa Allah s.w.t. telah mewujudkan ilham baik dan ilham jahat ke dalam jiwa atau diri seseorang. Ibadah puasa itu sebenarnya adalah suatu kerja jihad yang berlaku di dalam diri kita.

Ketika berpuasa, kita sebenarnya berjuang untuk menentang pengaruh jahat yang ada di dalam diri kita. Melalui ibadah puasa itu kita berjuang untuk mengalahkan pengaruh kemungkaran; dan sebaliknya berjuang pula untuk memenangkan pengaruh kebaikkan yang ada di dalam hati kita.

Oleh kerana itu, dari hanya menentang kemungkaran yang ada di dalam jiwa kita, ibadah puasa sebenarnya juga mengajak kita menentang pula kemungkaran-kemungkaran yang ada diluar diri kita.

Seorang muslim yang benar-benar menghayati ibadah puasa, sepatutnya tidak akan dapat bersetuju dengan mereka yang enggan dan menolak hukum-hakam Allah s.w.t.. Kerana orang-orang yang berpuasa itu, benar-benar menjaga hukum.

Mukmin yang benar-benar berpuasa itu, tidak akan selesa melihat pihak yang mendokong maksiat dan kemungkaran, menjadi pihak yang menang di dalam sebarang pertembungan di dunia ini berbanding pihak yang mendokong syariat Allah s.w.t.. Justeru ia merasa perlu untuk memberikan komitmen di dalam menjana kemenangan golongan Islam itu.

Mereka yang berpuasa juga sepatutnya menolak kemungkaran menindas mereka yang lemah; kerana orang yang berpuasa itu telah terlatih dengan rasa lapar dan dahaga sehingga dapat merasakan sebahagian dari penderitaan mereka.

Puasa yang kita tunaikan itu juga melatih kita agar mampu meninggalkan apa yang menjadi kebiasaan kita; kemudian, dapat pula kita menerima sesuatu yang baru; semata-mata kerana hendak memenuhi titah perintah Allah s.w.t.

Bukankah apabila kita berpuasa, kita mampu meningalkan amalan mengambil sarapan pagi atau makan tengahari, kerana mematuhi kehendak Tuhan; sedangkan sebelumnya setiap hari kita melakukannya ?

Dan, bukankah apabila masuk bulan Ramadan, kita dapat ke surau setiap malam kerana hendak menunaikan solat tarawih dan bangun setiap awal pagi untuk bersahur; sedangkan kedua-dua perkara tersebut tidak selalu kita lakukan sebelum ini?

Dua contoh di atas, menunjukkan kepada kita sebenarnya bahawa kita mampu membuat perubahan.
Diluar lingkungan ibadah puasa itu, kita sebenarnya mampu untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan dosa dan maksiat yang kita sentiasa tunggangi selama ini. Kita boleh meninggalkannya, walaupun dikatakan bahawa kita mungkin sudah sebati dengan perbuatan itu.

Begitu juga sebenarnya, kita mampu meninggalkan ideologi-ideologi atau isma-isma yang telah berpuluh tahun kita anuti dan berubah kepada meyakini hanya ajaran Islam.

Ibadah puasa juga dapat membina daya serta tenaga juang yang sangat tinggi kerana puasa adalah simulasi kepada kepuasan hati menerima hasil dari susah payah perjungan. Sebagaimana ada disebutkan di dalam sebuah sabda nabi s.a.w. yang bermaksud: “Dan bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan; gembira ketika berbuka dan gembira ketika pertemuan dengan Tuhannya pada hari qiyamat.

Hanya orang yang berpuasa dapat merasa dan menghayati perasaan gembira diwaktu berbuka. Setelah bertahan tiga belas jam, setelah menanggung kelaparan dan keletihan, kita menghadapi saat yang dinanti-nantikan. Saat yang kita tungu untuk membasahkan tekak dan mengalas perut dari derita dahaga dan kelaparan. Hanya kita dan Tuhan yang mengetahui rasa kegembiraan di kala itu. Puasa, sangat bagus di dalam menafsirkan kata-kata bahawa; `Sabar itu indah!’.

Begitulah dengan perjuangan! Tempoh berjuang memang amat memeritkan. Difitnah, ditindas dan dipenjarakan.
Dato' Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah serta anak-anak telah merasakan tempoh perjuangan yang amat memeritkan; dan kini mereka sedang menikmati sebahagian dari rasa kegembiraan yang dijanjikan Tuhan di penghujung kesabaran.

Manakala Tok Guru Nik Aziz, isteri, menantu dan cucu-cucunya pula; masih dalam tempoh perjuangan. Berjuang menahan hati, menahan rasa rindu, melayan rasa bimbang dan ketakutan dan seribu satu macam lagi perasaan derita yan perlu dilayani. Tidak tahu betapa jauh lagi mereka dengan penghujung dari kesabaran itu.

Namun mereka tentunya meyakini kebahagiaan di setiap penghujung derita jauh lebih indah dari seluruh keindahan yang ada dunia ini! -zs

untuk mendapatkan berbagai-bagai info berkaitan, sila klik http://segerausaha.blogsspot.com

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my