Terkini  Popular    Mula Topik

Antara Ibu Bapa Dan Kekasih Hati?

2012-04-27 21:58:58
Di dalam keadaan diri yang masih bersendirian, tiba-tiba muncul

seseorang yang mengisi kekosongan hati. Kebetulan beliau seorang

penyayang, seorang yang memahami, seorang yang romantik. Terasa dirinya

berpotensi menjadi pasangan hidup yang sesuai. Malangnya apabila

diperkenalkan kepada ibu bapa, mereka tidak bersetuju.

Di dalam keadaan ini, seseorang itu mempunyai dua pilihan. Pertama,

meneruskan perkahwinan dan mengenepikan kedua orang tua kemudian menetap

jauh-jauh selepas berkahwin. Kedua, ketepikan si dia dan utamakan kedua

orang tua, kemudian meratap sedih. Sudah tentu, pilihan kedua adalah

lebih arif, namun terdapat kaedah yang boleh digunakan agar seseorang

itu memperolehi kedua-duanya tanpa sebarang dilema.

Di dalam surah Luqman ayat 14, Allah s.w.t telah berfirman, “Dan Kami

wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah

mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal

mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya

ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu

dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat

kembali (untuk menerima balasan).”

Telah jelas, hampir di dalam semua keadaan ibu bapa perlu diutamakan

berbanding segala-gala di dalam alam ini, kecuali beberapa hal yang

dilarang. Firman Allah di dalam surah Al-Ankabut ayat 8, “Dan Kami

wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka

berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam ibadatmu)

dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka

janganlah engkau taat kepada mereka.”

Pada zaman nabi, anak kepada Umar Al-Khattab r.a. iaitu Abdullah Ibnu

Umar mempunyai seorang isteri yang amat disayanginya. Kerana

sebab-sebab tertentu Umar Al-Khattab r.a. tidak menyukai menantunya itu

dan menyuruh anaknya mencerai si isteri. Abdullah r.a. mengabaikan

perintah ayahnya kerana sayangnya kepada isteri lalu mengadu kepada

Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda, “Wahai Abdullah

Bin Umar r.a., ceraikanlah isterimu.”[1]. Kisah ini direkodkan oleh Imam

Tirmizi dan Abu Daud sebagai hadith hassan sahih.

Di dalam sebuah hadith lain riwayat sahabat Abu Darda’ r.a. Telah

datang seorang lelaki kepadanya dan berkata, “aku memiliki seorang

isteri dan ibuku menyuruh aku menceraikannya.” Kata Abu Darda’, aku

mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “orang tua-tua adalah pertengahan

pintu-pintu syurga. Jika kamu mahu, kamu boleh sia-siakan atau kamu

boleh menjaga ia.”[2] Ibu bapa diibaratkan seperti pintu-pintu di tengah

syurga. Adakah bijak sekiranya seseorang itu mengabaikan satu kebaikkan

yang besar kerana seorang kekasih hati?

Di dalam sebuah hadith riwayat sahabat Abu Hurairah r.a., bahawa

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Rugi besar! Rugi Besar! Rugi Besar!.”

Ditanyakan, “siapakah yang Rasulullah s.a.w.?” Beliau menjawab, “Orang

yang pada usia dewasa mempunyai kedua orang tua yang masih hidup, baik

salah satu atau keduanya, tetapi kemudian orang tersebut tidak masuk

syurga.”[3]

Justeru, adalah menjadi satu langkah bijak sekiranya seseorang itu

dapat mengenal pasti “ciri-ciri menantu idaman” daripada ibu bapa mereka

terlebih dahulu. Bagaimana perwatakan, bagaimana rupa paras dan

tingkah laku. Perkara ini subjektif, masing-masing ibu bapa mempunyai

“piawaian” yang berbeza.

Setelah itu, barulah dimulakan pencarian si dia dengan berdasarkan petunjuk Al-Quran, hadith-hadith Rasulullah dan tip-tip daripada ibu bapa tadi. InsyaAllah, tidak akan ada dilema menanti di hadapan.

Wallahu’alam

.

.

.

.

Nota Kaki

~~~~~~

[1] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi : 1110, hassan sahih

[2] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi : 1822, sahih

[3] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim : 4628

Rujukkan

~~~~~~

Uts Shamsuri Hj Ahmad, audio mukhadimmah Kuliah Kitab Bahrul Mazi 7, http://www.savefile.com/files/1135075http://webblog.myjodoh.net/2007/10/22/antara-ibu-bapa-dan-kekasih-hati/

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my