MUSLIMAH SEJATI WANITA DIKASIHI WANITA SOLEHAH

Oleh AINUL HULSAINI
15-Jul-2003 17:25
MUSLIMAH SEJATI

Muslimah sejati akan menghiasi keperibadiannya dengan budi pekerti
yang luhur dan keimanan yang murni. Fitrah kasih sayang tersimpan
dalam perasaannya yang halus sehingga membuahkan kelembutan dan
kehalusan perasaan insaniah. Jika sentiasa dijaga dengan didikan
syariah, mereka akan menghiasi taman syurgawi di akhirat nanti.

Alangkah indahnya dunia ini jika dihiasi muslimah solehah yang
berpegang teguh dengan ajaran Islam dan menghiasi bibirnya dengan
perkataan yang mulia dan berzikir. Hatinya tunduk dan patuh dengan
perintah Allah dan menjalankan kewajipan insani sesuai dengan
ketentuanNya. Muslimah sejati bagaikan bunga yang mekar menguntum
menceriakan suasana dan taman-taman.

Personaliti wanita idaman bagaikan kiambang bertaut setelah biduk
berlalu. Betapapun cabaran dan dugaan yang mesti ditempuh, namun
kebulatan tekad menyatukan kembali hasrat kebenaran di dalam nurani.
Ketaatannya menyejukkan kalbu, bagaikan titisan embun di pagi yang
dingin sehingga menjadi suri teladan generasi yang akan datang.

Perhatian Islam terhadap wanita tidak sekadar melepaskannya dari
lembah bernoda menuju kedudukan yang mulia. Namun lebih daripada itu,
wanita diberikan keistimewaan dalam merealisasikan fantasi dan
impiannya. Anugerah keringanan dan keistimewaan itu memberikan
keselesaan kepada wanita dalam menjalani tugas dan tanggungjawabnya.

WANITA YANG DIKASIHI

Wanita bagaikan permata yang lama terkubur di lembah kejahilan.
Kehidupannya kembali mewangi ibarat sekuntum bunga yang mekar setelah
disinari cahaya oleh insan yang berbudi luhur. Rasulullah telah
mengangkat darjat wanita ke tahap yang paling tinggi, sehingga
pengorbanan wanita selalu dikenang oleh setiap insan, kelembutannya
menyejukkan hati bila memandang.

Tiada seorang wanita pun yang ingin diseksa dengan penuh kehinaan
lantaran dosa yang dikerjakan. Namun ramai wanita yang suka
mendedahkan aurat, melakukan dosa-dosa lain yang menyebabkan ia
menjadi penghuni neraka. Hanya wanita yang memahami hakikat
kewanitaannya akan menghargai dirinya sendiri dan membimbing dirinya
ke jalan yang diredhai Allah.

WANITA SOLEHAH

Wanita solehah merupakan calon penghuni syurga, menjadi dambaan insan
yang beriman bagaikan teratai mekar di tasik madu. Keindahan
akhlaknya memancarkan keluhuran nurani, menyejukkan hati dan penyeri
budi pekerti. Ucapannya menepis fitnah dan kemungkaran, membuahkan
hikmah umpama senandung rindu syair keinsafan.

Setiap nasihat dan wasiat yang disampaikan Rasulullah menjadi pelita
dalam kehidupan seorang wanita solehah. Buaian nafsu dan kenikmatan
dunia bagaikan biasan cahaya yang tidak meninggalkan bekas dalam
sanubarinya. Kezuhudannya tersimpan rapi dalam mahligai impian untuk
dinikmati dalam taman-taman syurgawi.

Semoga menjadi pedoman wanita yang ingin menjadi remaja cemerlang,
isteri solehah, dan ibu yang penyayang, insya Allah.

Jln capai takwa mujahadah(lawan nafsu),jaga k'bersihan hati(jgn mkn byk,m'baca al-quran)dan bersih kan hati dari nafsu.

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my