Tudung bukan simbol penindasan mahupun kongkongan

Oleh Surya
29-Jul-2003 10:33
Tudung bukan simbol penindasan, kongkongan
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

BERTUDUNG adalah cara menutup aurat yang sangat dituntut kepada
wanita. Bagaimanapun dalam masa bertudung, ramai di kalangan wanita
berdepan dengan pelbagai cabaran dan ranjau yang menguji keimanan
serta kekuatan akidah mereka.

Pengalaman dan kisah ini diceritakan mereka sendiri dalam buku
Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung. Antara pengakuan dan luahan serta
pengalaman yang dialami mereka sepanjang bertudung ialah:

l Bekas artis popular tanah air Noorkumalasari berkata: "Bukan saja
saya bertudung, malah saya rasa perlu berpakaian seperti mana
dituntut Allah. Iaitu bajunya mestilah longgar, daripada kain
berwarna yang tidak jarang, akhirnya muncullah fesyen yang menjadi
identiti saya iaitu jubah hitam dengan tudung hitam lebar seperti di
pakai wanita Arab.

"Kita mestilah berani untuk lain dari yang lain. Memang dari dulu
lagi saya terkenal dengan selalu berpakaian hitam. Jadi saya lakukan
semua ini kerana Allah, di samping rasa gembira melakukannya.

"Kelebihannya berpakaian begini ialah saya sentiasa bersiap sedia
untuk ke masjid di mana saja saya berada. Sebaik terdengar seruan
azan, saya akan terus ke masjid dan bersembahyang walaupun tidak
membawa telekung. Ia mudah hinggakan sekarang ini saya sentiasa
berwuduk."

l Pakar perubatan sakit puan, Dr Harlina Halizah pula berkata: "Hari
ini saya begitu yakin dengan ketrampilan saya sebagai wanita Islam
yang bertudung.

"Tudung saya ibarat pakaian seragam saya agar saya boleh dikenali di
mana saja sebagai wanita Islam. Memang benar, tudung tidak
melambangkan dan mengukur tahap iman seseorang. Namun bagi saya,
pemakaian tudung adalah satu langkah pengisytiharan kepada dunia
betapa saya mahu dikenali sebagai wanita Islam yang komited dan
serius terhadap agamanya.

"Tidak ada sesiapa yang memaksa saya menutup kepala. Tudung kepala
saya bukanlah simbol penindasan suami atau bapa saya terhadap
kebebasan diri dan hak asasi saya."

l Warga Amerika Syarikat, Dr Katherine Bullock, menulis dalam sebuah
artikel sebaik saja memeluk Islam, beliau berkata: "Satu hari iaitu
pada 1991, saya berada di hadapan televisyen menonton berita
mengenai wanita Turki yang dikatakan mula kembali ke zaman dulu
kerana memakai tudung.

"Saya amat terkejut dan berasa sayu. Kasihan mereka. Fikiran mereka
sudah dicandu adat lama pusaka. Seperti orang Barat yang lain, saya
beranggapan bahawa Islam menindas wanita dan tudung adalah simbol
penindasan dan kongkongan.

"Cuba bayangkan, empat tahun kemudian, sungguh memeranjatkan! Ketika
saya berdiri merenung cermin di kedai melihat bayangan diri saya
yang berpakaian saling tak tumpah seperti wanita yang tertindas itu!"

l Perunding swasta yang mahu dikenali sebagai Umm Hannan
berkata: "Saya sangka emak saya tidak akan marah kerana setahu saya
emak seorang yang konservatif. Tidak pernah terfikir bahawa emak
saya tidak akan bersetuju dengan keputusan saya untuk bertudung.

"Walaupun begitu, saya bersedia untuk menghadapi dugaan sebegitu
seperti yang dikatakan di dalam al-Quran iaitu dugaan akan dilalui
oleh orang yang berjuang di jalan-Nya."

l Pegawai perubatan klinik swasta yang mahu dipanggil Dr Noraini
juga berkata: "Saya dituduh bertudung kononnya disebabkan saya sudah
hamil sebelum bernikah."

l Peguam, Zain Azura berkata: "Mengenai rasional bertudung, tidak
semua suruhan Allah mesti ada rasionalnya. Kita sebagai makhluk
Allah pun tidak tahu secara mutlak apakah rasional sebenarnya. Hanya
Allah yang tahu. Tetapi dengan memakai tudung mungkin beberapa
manfaat yang boleh diperoleh."

Demikianlah antara petikan penulisan beberapa wanita Islam
profesional dalam buku Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung.

Penulis wanita ini menyedari kepentingan berkongsi pengalaman dan
suka duka dalam mengharungi kehidupan sebagai wanita Islam
bertudung.

Wanita terbabit yang cintakan dakwah dan Islam membukukan pengalaman
mereka dalam bentuk penulisan yang mengusik jiwa serta maklum balas
yang menginsafkan.

Mereka juga melalui beberapa peringkat kehidupan yang mencabar dalam
menghayati salah satu suruhan Allah yang termaktub dalam al-Quran
yang menuntut kaum wanita dan lelaki memelihara kehormatan diri
mereka.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah kepada lelaki yang beriman
agar mereka menundukkan pandangan dan memelihara kesopanan mereka.
Itulah yang lebih suci untuk mereka dan Allah Maha Mengetahui apa
yang mereka lakukan. Dan katakanlah kepada wanita beriman agar
mereka menundukkan pandangan dan memelihara kesopanan mereka dan
agar mereka tidak memperlihatkan kecantikan mereka serta perhiasan
kecuali apa yang biasa dilihat dan hendaklah mereka melabuhkan
tudung hingga menutupi dada mereka dan tidak mempamerkan kecantikan
mereka kecuali kepada suami mereka." – (Surah an-nur, ayat 30 hingga
31).

Allah mengemukakan beberapa pendekatan dalam mengolah persoalan
akidah dan panduan bergaul.

Salah satu dari pendekatan itu ialah menerusi kisah dalam al-Quran.
Pendekatan ini adalah di antara pendekatan yang menarik untuk
diperhatikan. Kadang-kadang seseorang itu beroleh petunjuk dengan
mudah umpamanya hanya melalui cerita.

Tidak dinafikan sesebuah cerita yang menyentuh perasaan boleh
mengubah paradigma insan.

Allah bukan hanya memaparkan sejarah sebaliknya Allah juga
menganjurkan kepada umat manusia agar turut meriwayatkan sejarah itu.

Allah berfirman yang bermaksud: "Maka ceritakanlah (kepada manusia)
akan kisah itu agar mereka dapat berfikir." – (Surah al-A'raf, ayat
176).

Apakah cara terbaik untuk mengingati kembali nostalgia silam dan
memberi pengajaran?

Bukankah ia dapat dilakukan dengan kaedah penulisan yang boleh
dikongsi bersama orang lain?

Untuk itu, diharapkan pembaca buku ini dapat menelusuri dan memahami
isi hati dan mengambil manfaat beberapa pengalaman penulis yang mahu
mengamalkan salah satu suruhan Allah.

Semoga kita lebih memahami dan mengambil manfaat. Malah, sama ada
kita sedar atau tidak, koleksi penulisan ini boleh memberikan
inspirasi, motivasi, mencetuskan cita-cita Islam, menjadi dorongan
kepada orang lain, menolong wanita lain menghadapi kehidupan yang
penuh dengan dilema dan konflik.

Dalam pada itu, diharapkan juga ia membuka minda dan mencelikkan
mata terhadap masyarakat bukan Islam terutama terhadap apakah yang
ada di sebalik minda wanita bertudung.

Benarkah mereka tertindas, kolot, tertutup minda, pendek fikiran
atau sebaliknya?


l Penulis seorang jurutera profesional boleh dihubungi melalui e-mel
wadah_wjy2k@yahoo.com.

aslih nafsak wad'u ghairak

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my