Assalamualaikum..

Oleh shafiah
18-Aug-2003 08:33
warga MM semua, moga kalian semua sentiasa mendapat rahmat Allah SWT. Sedikit renungan yang dapat saya paparkan pagi ini agar kita semua mendapat manfaat dan pengajaran dalam memandu kehidupan seharian kita yang semakin mencabar, InsyaAllah.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasullullah SAW telah bersabda, maksudnya:

"Jika ada seseorang berkata: "Orang ramai sekarang ini sudah rosak", maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka."

H.R. Muslim


Penerangan Hadis:

Iman Nawawi ketika menulis hadis ini dalam kitab Riyadhus Shalihin, beliau memberi penjelasan seperti berikut:

"Larangan semacam di atas itu (larangan berkata orang ramai sudah rosak) adalah untuk orang yang mengucapkan sedemikian dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri ('ujub) sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini HARAM".

"Adapun orang yang berkata seperti itu kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat yang di alami oleh mereka dan timbul daripada perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan ini tiada salahnya".


Hadis ini boleh menjadi peringatan kepada kita semua semasa membincang dan menghuraikan masalah-masalah umat Islam sekarang ini. Maka apabila kita membincangkan masalah-masalah umat Islam dewasa ini maka janganlah kita merasa 'ujub dengan diri kita sendiri, bahkan hendaklah kita menegur diri kita masing-masing dan jangan suka menuduh orang lain.

Walaupun hal kerosakan moral umat Islam dewasa ini diketengahkan biarlah pendedahan itu dalam bentuk yang sihat, dengan perasaan yang penuh
belas kasihan dan rasa cemburu terhadap ugama, bukan dengan perasaan bangga diri dan memandang rendah kepada orang lain.

Pelbagai masalah sosial dipaparkan hampir setiap hari oleh media. Kita tidak boleh membiarkannya terus berlaku tanpa ada sebarang usaha
membanteras keruntuhan moral ini. Ia perlu bermula pada diri kita. Kemudian, panjangkan segala solusi yang baik untuk diterjemahkan secara praktikaliti.

Tidak salah membincangkan kerosakan yang berlaku, namun jangan sampai menganggap diri kita 'perfect' dan orang lain tidak setanding dengan
kita.

Mudah-mudahan ALLAH swt. dengan limpah kurnia Nya memberikan kepada kita rahmat, taufiq dan hidayah. AMIN

sesungguhnya apa yang baik itu dari ALLAH SWT, dan yang kekurangan itu adalah dari kelemahan diri ini selaku insan yg kerdil....
...Mengalah dan memberi maaf bukan bererti kalah....Ia bererti mengutamakan kebaikan dan kasih sayang ALLAH....

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my