Harta dan anak sekadar ujian Allah

Oleh siapalahdiriini..
05-Apr-2004 19:45
Takwil al-Quran: Harta dan anak sekadar ujian Allah
Bersama Ustaz Abdul Rashid Ahmad

FIRMAN Allah Taala bermaksud:” Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu, di sisi Allahlah pahala yang besar.” – Surah al-Tahgabun, ayat 15

Ayat di atas dengan jelas menegaskan bahawa segala harta dan anak-anak hanyalah ujian dan cubaan Allah bagi manusia. Harta dan anak-anak bukanlah suatu kemuliaan dan kelebihan, bahkan ia ujian semata-mata. Sebahagian orang ada yang berjaya dalam ujian ini, manakala sebahagian yang lain ada yang gagal menghadapinya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda maksudnya: “Binasalah hamba dinar dan dirham (mata wang), jika diberikan ia reda/suka, dan jika tidak diberikan ia tidak reda/suka”. – (Hadis riwayat al-Bukhari dalam sahihnya, 11/253). Hadis itu turut menjelaskan bahawa celaka dan binasalah orang yang sanggup menjadi hamba kepada dunia. Yang dimaksudkan dengan celaka di sini mencakupi dunia dan akhirat. Adapun di akhirat maka tidak ragu-ragu lagi kecelakaan bagi mereka yang menjadi hamba kepada dunia. Sedang di dunia Allah Taala berfirman maksudnya: “Lalu sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan sesiapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.

Berkatalah ia: “Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?” Allah berfirman: “Demikianlah, telah datang kepada kamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu dilupakan”. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Dan sesungguhnya azab di akhirat itu lebih berat dan lebih kekal”. – Surah Taha, ayat 123-127.

Orang yang menyeleweng daripada ajaran agama Allah akan mengalami kecelakaan di dunia dan di akhirat. Antara punca kecelakaan di dunia ialah kerana matlamat hidupnya tidak jelas. Seorang yang kufur atau kafir tidak tahu kenapa ia diciptakan? Siapa penciptanya? Untuk apa ia hidup? Apa kewajipannya dalam hidup ini ? Ke mana ia pergi selepas ini dan apa akan berlaku selepas kematian?

Apabila hidup manusia ketiadaan matlamat dan tujuan, maka hilanglah panduan hidupnya. Apabila panduan hidupnya hilang, maka ia akan terjerumus kepada pelbagai penyakit jiwa dan pembunuhan diri, seperti mana keadaan yang berlaku di sesetengah negara yang penduduknya tidak beriman kepada Allah atau keimanan yang tidak benar.

Apabila manusia meletakkan bagi dirinya beberapa matlamat kebendaan dunia, maka ia akan berusaha mencapainya. Setelah ia berjaya mencapainya, maka pada masa itu ia akan merasakan bahawa semua itu bukanlah matlamat yang sebenar.

Justeru, kita sering mendengar pengakuan daripada mereka yang telah sampai kepada kebenaran dan mendapat cahaya iman di hatinya setelah sekian lama berada di dalam kekufuran kepada Allah, berkata: “Sesungguhnya aku tidak pernah ada matlamat hidupku, tidak pernah merasai nikmat hidup, dan tidak pernah merasai ketenangan dan kedamaian kecuali setelah berada dalam Islam”.

Demikianlah dalam hadis di atas Rasulullah saw mencela orang yang menjadi hamba harta dan hamba dunia. Cita-cita dan matlamatnya hanyalah harta, jika diberinya harta ia suka tanpa syarat. Ia tidak mensyaratkan harta itu halal atau tidak, tidak mensyaratkan ia diperoleh secara baik atau tidak, bahkan ia tetap suka dengan apa cara sekalipun harta itu datang, kerana ia adalah hamba kepada harta, diterimanya tanpa syarat. Sekiranya ia tidak diberi, ia tidak suka, bahkan murka dan marah pula sekalipun ia tidak berhak sedikitpun daripada harta itu. Harta padanya adalah satu-satunya ukuran baginya.

Dengan itu, ia telah jatuh kepada kehinaan yang sebenarnya kerana mengabdikan dirinya kepada sesama makhluk Allah. Sedangkan, ia sepatutnya menjadi mulia dan tinggi dengan mengabdikan diri kepada Allah di hadapan segala makhluk-Nya. Semoga kita dapat meletakkan diri kita sebagai hamba Allah dengan sebenar-benarnya demi kebaikan di dunia dan kejayaan di akhirat.
Allah tidak memandang kepada paras rupa,tetapi melihat kepada hati dan amalan... tidak ada beza seseorg di sisi Allah kecuali iman dan taqwa...

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my