Keperibadian Rasulullah

Oleh Mohd Hamzah
06-May-2004 12:12
Rasulullah amat kasih umat, sayang ahli bait, sahabat


RASULULLAH saw, adalah seorang yang banyak merendahkan diri dan berdoa ke hadrat Allah swt supaya menganugerahkan Baginda dengan kebaikan adab dan kemuliaan budi pekerti serta akhlak.

Antara doa Baginda yang bermaksud: “Ya Allah Ya Tuhanku, perbaikkan kejadianku dan akhlakku”. Maka, Allah menganugerahkan baginda al-Quran yang mengandungi pengajaran mengenai adab dan kesopanan.

Allah berfirman bermaksud: “Dan engkau (Wahai Muhammad) sesungguhnya mempunyai akhlak yang tinggi.” – (Surah al-Qalam, ayat 4).

Rasulullah adalah manusia yang paling penyabar, berani, adil dan pandai menjaga diri.

Baginda tidak pernah sekali-kali menyentuh tangan wanita yang tidak dimilikinya kecuali wanita itu hamba atau isteri atau pun muhrimnya. Ini kerana Baginda sangat pemalu dan tidak tetap pandangannya pada muka seseorang ter-utama wanita.

Rasulullah juga amat mengasihi umatnya dan menyayangi ahli bait dan sahabat. Baginda adalah manusia yang pemurah hati, suka bersedekah apa yang ada pada dirinya dan sangat bersederhana.

Ini kerana makanannya hanyalah tamar. Selebihnya adalah untuk Allah (jalan fiisabilillah).

Baginda sangat suka memperkenankan undangan sahaya dan orang merdeka serta tetap menerima apa saja walaupun seteguk air dan akan membalas hadiah berkenaan.

Baginda tidak memakan harta sedekah, tidak sombong, memarahi dan melaksanakan kewajipannya atas dasar kebenaran.

Rasulullah juga tidak pernah meminta pertolongan orang musyrik malah sangat suka berpuasa dan seorang yang paling beradab dalam makan seperti makan tanpa bersandar dan tanpa meja.

Baginda lebih mengutamakan orang lain daripada diri sendiri dan sentiasa tawaduk serta tenang. Rasulullah tidak terganggu dengan urusan dunia dan sangat menyukai syamlah iaitu jubah bulu.

Antara doa Baginda yang masyhur (mengenai peradaban dan akhlak mulia ialah: “Ya Allah Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku kebenaran itu kebenaran, lalu aku mengikutinya. Perlihatkanlah kepadaku kemungkaran dan anugerahilah keupayaan untuk aku menjauhkan diri daripadanya.

“Lindungilah aku daripada apa-apa yang meragukan lalu aku mengikuti hawa nafsuku, tanpa petunjuk daripada Engkau. Jadikanlah hawa nafsuku patuh mentaati-Mu.

“Ambillah kerelaan diri Engkau daripada diriku kepada keafiatan (kesihatan). Dan tunjukkanlah aku kebenaran yang aku perselisihkan padanya, dengan keizinan Engkau. Sesungguhnya Engkau menunjukkan (jalan) siapa yang Engkau kehendaki atas jalan yang lurus.”

rujukan: Berita Harian online 6/5/2004
Fussy thing is not difficult, but unpredictable thing is a real difficulty.

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my