Al-Qur'an menjadi petunjuk kepada sesiapa dikehendaki-Nya. Ramai mendapat nur Islam bermula dengan mendengar bacaan al-Quran. Saidina Umar memeluk Islam selepas mendengar bacaan al-Quran. Hatinya yang dulu keras menolak Islam, cair dan lemah serta merta apabila mendengar ayat suci al-Quran.
Kekuatan dan keagungan al-Quran tiada bandingannya. Sesungguhnya, kandungan al-Quran tidak mampu dicipta oleh manusia. Bahkan, tidak mungkin ada satu ayat ciptaan manusia yang menandingi ayat al-Quran. Allah menegaskan betapa biarpun manusia berkumpul dan menggabungkan fikiran serta saling membantu, tidak mungkin manusia dapat melakukannya.
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.†(Surah al-Isra, ayat 88).
Perbahasan dan kajian terhadap kandungan al-Quran tidak akan selesai. Pemikiran manusia tidak mampu memahami atau menafsirkan perkataan demi perkataan atau ayatnya dengan sepenuhnya.
Perkataan ringkas "alif, lam, mim" masih belum diungkaikan maksudnya. Inikan pula dalam perkara yang jelas rumit yang tidak mungkin mampu difikirkan oleh manusia.
Bagaimanapun, keterbatasan pemikiran manusia menafsir al-Quran bukan halangan untuk manusia mengambil manfaat daripadanya. Bahkan, itulah satu kelebihan mukjizat yang Allah turunkan kepada Rasulullah saw dan seluruh umatnya.
Seluruh umat Islam menggunakan bahasa yang sama, bahasa Arab, untuk membaca al-Quran, biarpun bahasa pertuturan harian mereka menggunakan bahasa lain. Membacanya memberi satu kekuatan rohani.
Begitulah kehebatan al-Quran, orang sanggup bersengkang mata membacanya, biarpun tidak memahami kandungnya. Bacaan diulang-ulang, sehingga ada sudah mengulang membaca keseluruhan al-Quran berpuluh dan beratus-ratus kali.
Sekiranya al-Quran hanya sekadar sebuah buku biasa, tidak akan ada manusia di dunia ini yang sanggup membaca, sedangkan tidak memahaminya.
Kandungan al-Quran tidak perlu ditukarkan kepada bahasa lain, semata-mata untuk menarik minat orang membacanya. Ia berbanding dengan kitab agama lain yang boleh diterjemah atau diubah-ubah mengikut sesuka hati.
Kandungan al-Quran tetap asli dan tidak mungkin diubah sampai ke hari kiamat. Al-Quran terus memenuhi dada-dada orang Muslim yang menghafal dan membacanya.
Kehebatan kandungan al-Quran mendorong bukan Islam mengkajinya. Semakin banyak penemuan sains berjaya dikaji, semakin jelas kebenaran al-Quran di sisi orang bukan Islam. Ketika pakar sains merayakan kejayaan penemuan mereka, sebenarnya perkara itu tercatat dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun lalu.
Ketepatan kandungan al-Quran berdasarkan kepada kejadian alam yang dibongkar oleh ahli sains, membuktikan al-Quran bukan ciptaan Nabi Muhammad. Tidak mungkin bagi seorang yang buta huruf seperti Rasulullah dapat mencipta kandungan al-Quran yang mengandungi kenyataan berkaitan sains dan teknologi.
Bahkan, tidak munasabah untuk mengatakan manusia yang hidup lebih 1,400 tahun lalu mengetahui mengenai penemuan sains yang memerlukan kajian dan penggunaan alatan canggih.
Perkara ini tidak sukar diterima oleh orang beriman. Allah Maha Pencipta. Dialah mencipta semua makhluk di dunia ini. Jadi, Dia dapat menceritakan dengan jelas bagaimana proses setiap kejadian dengan tepat.
Malah sebahagian kandungan al-Quran yang menyatakan mengenai kejadian alam, adalah bukti kewujudan Allah dan mengesahkan kerasulan Nabi Muhammad.
Pengkaji Barat yang selama ini bermegah dengan doktrin bahawa agama dan sains terpisah, terpaksa mengakui kebenaran al-Quran. Agama Islam adalah panduan dan cara hidup. Sebab itu, al-Quran memberikan gambaran menyeluruh berkaitan kehidupan manusia.
Disebabkan kandungan al-Quran tidak mampu dijelaskan sepenuhnya oleh sesiapa, maka ia memberi peluang untuk manusia sepanjang masa tidak putus-putus membongkar segala rahsia yang terkandung di dalamnya.
Copy & paste dari: www.ukhwah.com
Manusia yang tidak ada masalah dalam hidupnya bukanlah dinamakan manusia, tetapi 'robot bernyawa' yang telah diprogramkan.