Pesan Rasul kepada Saidina Ali...

Oleh Nu'man An-Nabighoh
28-May-2004 08:12
Malu dan warak

Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Ali bin Abi Talib:
- Wahai Ali, isi agama semuanya terkandung dalam perasaan malu. Ia menjaga kepala dan apa yang terkandung di dalamnya. Ia juga menjaga perut dan segala yang diterimanya.

- Wahai Ali, tidak dikira beragama bagi sesiapa yang tiada rasa takut. Tidak dikira beriman bagi sesiapa yang tiada kewarakan. Tidak dikira beribadat bagi sesiapa yang tiada berilmu. Tidak dikira bermaruah bagi sesiapa yang tiada (berpegang dengan) kebenaran. Tidak dikira mendapat keamanan yang baik bagi sesiapa yang tiada (menyimpan) rahsia. Tidak dikira bertaubat bagi sesiapa yang tiada menerima taufik. Tidak dikira dermawan bagi sesiapa yang tiada rasa malu.

- Wahai Ali, sesiapa yang tidak warak daripada (melakukan) maksiat, maka perut bumi lebih baik baginya daripada permukaannya kerana iman tidak ada dalam hatinya.

- Wahai Ali, asal warak ialah meninggalkan perkara haram dan apa yang Allah haramkan. Pokok kebajikan ialah pada meninggalkan maksiat-maksiat.

- Wahai Ali, maniskan muka kerana Allah menyukai orang yang bermanis muka dan Dia membenci orang yang banyak bermasam muka.

- Wahai Ali, kebanyakan pokok ibadah ialah berdiam diri kecuali sesiapa yang berzikir kepada Allah.

- Wahai Ali, banyak tidur mematikan hati, menghilangkan keelokan. Banyak dosa pula mematikan hati dan mewarisi kesesalan.

- Wahai Ali, sesiapa yang Allah berikan nikmat ke atasnya, maka ia pun bersyukur. Jika Allah mengujinya, maka ia pun bersabar dan jika Allah mendatangkan keburukan, ia pun memohon ampun. Orang yang demikian ini akan memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dikehendakinya.

- Wahai Ali, tiada hari yang baru melainkan hari itu berseru, ``Wahai anak Adam, aku ialah hari yang baru, amalanmu berada di dalam pengawasanku. Oleh kerana itu, perhatikanlah apa yang kamu lakukan''.

-- Dengan kerjasama PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

apa gunanya wajah yg tampan atau cantik rupawan dan tubuh badan yang kuat seandainya solat lima waktu tidak dapat dijaga.fikir-fikirkanlah.

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my