Hasad Dengki Islam anjur persaingan sihat

Oleh Zana
09-Aug-2004 13:29
DI Malaysia, apabila disebut sahaja berkaitan dengan hasad dengki, maka sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Seolah-olahnya masyarakat Melayu memang terkenal dengan sebuah masyarakat yang mempunyai hasad dengki yang tinggi. Adakah tanggapan ini benar? Sekiranya kita mengatakan benar, adakah hanya masyarakat Melayu sahaja mempunyai sifat mazmumah ini? Sekiranya kita mengatakan tidak benar, seolah-olahnya kita menafikan realiti yang berlaku dalam masyarakat. Sedangkan realiti yang pernah disaksikan memperlihatkan bagaimana jatuh bangunnya pemimpin Melayu, perniagaan Melayu, dan sebagainya akibat hasad dengki.

Hasad dengki sebenarnya ialah penyakit hati dan maksiat batin yang terdapat pada manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan. Perkataan hasad berasal daripada bahasa Arab iaitu al-hasad. Orang yang mempunyai sifat hasad ini mengharapkan sesuatu nikmat yang ada pada seseorang berpindah kepada dirinya.

Dalam bahasa Melayu, perkataan ‘dengki’ digandingkan dengan perkataan hasad bermaksud: “Kebencian (kemarahan) kerana perasaan cemburu atau iri hati yang amat sangat.” Jadi, hasad dengki merupakan perasaan tidak senang hati dalam diri seseorang apabila melihat orang lain mendapat sesuatu kebaikan.”

Apabila kita menyorot sejarah hasad dengki, kita mendapati telah bermula sejak Allah S.W.T. mencipta Adam a.s. lagi. Apabila Allah memerintahkan para malaikat dan Iblis sujud kepada nabi Adam, Iblis mengingkarinya kerana merasai bahawa dia lebih baik daripada nabi Adam. Akibat kedengkian dan kesombongan Iblis itu, Allah mengisytiharkannya sebagai penghuni neraka.

Dalam sejarah kemanusiaan pula, dengki ini telah lahir sejak zaman Nabi Adam a.s. iaitu dalam kalangan anak-anaknya. Kisah kedengkian mereka telah dipaparkan di dalam al-Quran. Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud: “Ceritakanlah kepada mereka kisah dua putera Nabi Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Dia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”. Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertakwa” (Surah al-Ma’idah: 27).

Kisah ini merupakan konflik keluarga yang berlaku antara dua orang putera Nabi Adam a.s., yakni Qabil dan Habil. Qabil cemburu kepada Habil kerana bakal memperisterikan kembar Qabil. Sedangkan Qabil ingin kepada kembarnya itu kerana lebih cantik berbanding dengan kembar Habil. Untuk meleraikan perasaan hati itu maka Allah perintahkan agar mereka berdua mempersembahkan korban masing-masing.

Habil menerima perintah tersebut dengan lapang dada dan memilih binatang ternakan yang paling berkualiti untuk dipersembahkan kepada Allah S.W.T. Sebaliknya, Qabil menerima perintah Allah dengan rasa terpaksa. Maka Qabil pun mempersembahkan hasil pertanian yang paling buruk kepada Allah S.W.T.

Dua bentuk korban yang persembahan itu ternyata amat berbeza. Di sini, tentulah Allah memilih korban yang baik dan yang telah dipersembahkan dengan hati yang ikhlas. Dengan itu, Allah S.W.T. memerintahkan api memakan korban yang dipersembahkan oleh Habil sebagai tanda penerimaan korbannya itu.

Qabil tidak berasa senang dengan keadaan tersebut dan berasa iri hati terhadap Habil. Perasaan iri hati yang meluap-luap, akhirnya menimbulkan rasa dendam dalam diri Qabil. Akhirnya, Qabil bertindak nekad membunuh saudaranya sendiri. Demikian angkara hasad dengki.

Dalam sejarah masyarakat Melayu pula, kita dapat menyaksikan bagaimana sifat iri hati dan dengki itu telah bertapak sejak sekian lama dan telah menggugat keamanan dan perpaduan masyarakat. Pembunuhan Bendahara Sri Maharaja Paduka Raja ialah hasil dengki lalu menabur fitnah. Si Kitul dan Mudaliar telah menghasut Sultan Mahmud Syah dengan mengadakan fitnah kononnya Bendahara mahu berebut kuasa.

Selain itu, tragedi pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat juga gara-gara sifat dengki. Pegawai Istana yang dengki kepada Hang Tuah telah membuat fitnah dan menyebabkan Hang Tuah dijatuhkan hukuman bunuh. Hang Jebat yang menuntut bela akhirnya terpaksa bertikam dengan Hang Tuah.

Catatan Abdullah Munshi pula menyatakan bahawa dia pernah digelar dengan ‘Abdullah Paderi’. Hal ini demikian kerana orang Melayu melihat Abdullah Munshi berbaik-baik dengan orang Barat. Sifat dengki yang bertapak dalam masyarakat Melayu ini, telah berkembang hinggalah ke hari ini.

Hasad dengki telah menyebabkan jiran bertelingkah dan kawan menjadi musuh. Hasad dengki biasanya banyak terjadi di kalangan orang terdekat iaitu antara keluarga, teman sejawat, jiran tetangga, dan sebagainya. Perasaan dengki itu timbul akibat saling berebut sesuatu tujuan. Punca utama berlakunya hasad dan dengki ialah kecintaan seseorang kepada dunia melebihi akhirat.

Apabila kecintaan kepada dunia menguasai diri, seseorang itu akan memperhambakan dirinya kepada material dan kebendaan. Akibatnya, dia akan melakukan apa sahaja cara untuk memperoleh hajatnya.

Dalam Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali ada disimpulkan punca dan sebab timbulnya perasaan hasad dengki. Antaranya ialah:

1. Perasaan Permusuhan dan Kebencian
Perasaan inilah yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Mereka yang disakiti oleh seseorang, pasti berasa marah lalu menimbulkan kebencian. Di sini akan tertanamlah bibit dengki dalam dirinya.

2. Berasa Diri Mulia.
Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu berasa keberatan kalau ada orang yang mengatasi kebolehannya. Dia tidak rela kalau ada orang lain yang melebihinya.

3. Takbur.
Orang yang mempunyai sifat takbur mempunyai watak suka membesarkan diri terhadap orang lain. Dia selalu memperkecilkan dan suka memperhambakan seseorang. Begitulah halnya dengan sikap Iblis yang takbur, lalu dia dilaknat oleh Allah S.W.T.

4. Ujub.
Allah S.W.T. telah menjelaskan kepada kita perihal umat di zaman silam. Mereka berasa takjub dengan diri mereka sendiri. Keadaan ini menghalang mereka daripada mendapatkan kebenaran.

5. Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan.
Biasanya perasaan ini wujud di kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Setiap orang akan berasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat sesuatu kelebihan.

6. Ghairah Untuk Menjadi Ketua dan Mencari Populariti.
Seseorang yang terlalu ghairah untuk mencari populariti atau terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan tertentu akhirnya terdedah kepada sifat hasad dengki. Apabila orang lain berjaya mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan olehnya itu akan timbul hasad dengki.

7. Busuk Hati.
Sekiranya busuk hati ini wujud pada seseorang, akan menyebabkan orang itu tidak suka sesuatu kebaikan diperoleh oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan di hadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, hatinya menjadi sempit dan resah mendengarkannya. Tetapi apabila diketahui pihak lawannya gagal dan menerima nasib malang, dia akan berasa gembira dan suka hati.

Walau bagaimanapun dalam Islam terdapat dua perkara yang dibenarkan hasad. Jenis hasad ini dipanggil sebagai ‘ghibtah’ iaitu iri hati dengan kejayaan dan kemampuan seseorang lalu dia cuba bersaing secara sihat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak boleh dengki dan iri hati kecuali dalam dua perkara; iaitu iri hati terhadap orang yang dikurniai harta lalu menginfakkannya (di jalan Allah) pada malam dan siang hari, (juga iri hati) kepada orang yang diberi kepandaian membaca al-Quran lalu membacanya setiap malam dan siang” (Riwayat Bukhari dan Muslim).


"Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat...."

Sent to mailing list : 8/10/2004 6:50:38 PM

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my