Sihir menghalang jodoh kita.

Oleh Liana74
08-Sep-2004 08:31
Liana pasrah dengan ketentuan Allah SWT. Liana menganggap semua ini adalah suratan takdir yang tercatat di dalam kalam ilahi. Kadang-kala terfikir ini adalah balasan tuhan untuk menghapuskan dosa-dosanya di masa lalu.
Suatu masa dahulu, Liana seorang yang periang dan mengikuti arus fesyen semasa. Cintanya kepada dunia terlalu ketara. Lima tiang agamanya sering runtuh, hanya mengikut mood untuk mengerjakannya.
Sapaan seorang Ustaz menerbitkan kembali butir-butir hidayah yang telah hilang dari Liana. Bukan ibu dan ayah tidak mendidik, namun, sikap tidak endah kepada suruhan Allah SWT lebih mengambil alih iman yang lemah.
Ustaz tidak main-main. Sebulan selepas perkenalan, keluarganya telah datang merisik. Perjanjian yang termerterai ialah majlis pertunangan pada cuti persekolahan pada bulan Mei dan majlis pernikahan di musin cuti persekolahan di akhir tahun.Dalam masa tiga bulan, Liana telah banyak berubah. Kesungguhan ustaz mentarbiah, mengetuk pintu hidayah.
Ustaz mempunyai suatu aura yang menyebabkan Liana berusaha mendekatkan diri kepada Yang Maha Berkuasa. Liana mula memakai tudung kepala, yang menurut Ustaz wajib menutup aurat.
Ustaz pernah berseloroh, kalau Liana dapat memakai tudung yang lebih menutup dada dan anggota badan, dia akan membela janggut yang lebih panjang untuk menjejak Sunnah Rasulullah SAW. Tidak tahulah, kerana kasihkan Allah SWT atau kasihkan Ustaz, Liana mengenakan tudung labuh. Liana berasa bahagia mengerjakannya.
Ustaz sering bertanya, benarkan Liana hanya ingin mengikat ikatan pertunangan pada bulan Mei nanti. Katanya, tidak elok kami berdua kerap berbual melalui talian untuk jangka masa yang lama. Selorohnya; "Jaga-jaga , ada syaitan di antara kita."
Ustaz memujuk Liana untuk mempercepatkan pernikahan yang dijadualkan pada musim cuti sekolah di akhir tahun itu, kepada bulan Mei nanti. Katanya, perkara yang baik jangan ditangguh-tangguhkan. Dalam baraan kasih tanpa ikatan itu, Liana juga mengiyakannya. Seksa merindu memang amat menyakitkan.
Malam itu, Ustaz menelefon lagi. Kali ini, Ustaz mendesak Liana memberitahu ibu bahawa dia ingin pernikahan kami dilangsungkan lebih awal.
" Ana sayangkan ante. Dengan izin Allah SWT , ana amat berharap kita berdua dijauhi daripada bisikan syaitan."
" Tolonglah..... ana minta ante telefon ummi dan berbincang dengannya agar pernikahan kita dijalankan terus pada bulan Mei ini. Tolonglah....... ana takut,..." Ayat Ustaz terhenti di situ.
Liana sangat gembira. Liana terus menghubungi ummi. Ummi juga setuju dan bersyukur dengan perkhabaran tersebut. Seperti biasa, setiap tiga hari selepas Ustaz menelefon, barulah Liana akan menelefon. Itu adalah perjanjian kami berdua untuk mengurangkan kos talian. Liana tak mahu rasa terdesak. Perkhabaran bahagia itu disimpan untuk dua malam dengan penantian yang kadang-kala menggugat kesabaran.
Apabila tamat tempohnya, Liana menelefon Ustaz.
"Ante, ana membawa perkhabaran gembira. Ummi tidak ada apa-apa masalah. Malah, dia bersyukur dan berbesar hati jika majlis itu dipercepatkan."
Ustaz tidak menjawab. Sebaliknya, dia ketawa besar. Liana terpinga-pinga. Mengapakah Ustaz berkelakuan begitu? Kalau dahulu, setiap kali Liana gelak besar, Ustaz yang akan menegurnya: "Ketawa berlebihan itu kawan syaitan..."
Dalam pelbagai pertanyaan di kotak fikiran tidak terjawab, tiba-tiba Ustaz memutuskan talian.
Berkali-kali Liana cuba menghubungi Ustaz namun, Ustaz terus memutuskan talian.
Airmata Liana terus berderai. Adakah Ustaz berseloroh seperti kebiasaan? Adakah Ustaz seperti lelaki biasa yang suka mempersendakan perempuan? Liana terus menanti. Memandang ke arah telefon mengharapkan deringan dari orang yang amat dikasihi.
Malam itu, Liana bermimpi Ustaz berda didalam sebuah rumah usang yang dipenuhi dengan ular-ular hitam yang besar-besar. Tanpa menghiraukan bahaya, Liana terus mendapatkan Ustaz dan mengajaknya keluar dari situ. Malangnya, ustaz terus membatukan diri.
Sejak daripada itu, hubungan itu terputus. Liana sering jatuh sakit. Dia kerap mengalami sakit kepala yang tidak tertanggung. Kadang-kala dia menghantukkan kepala ke dinding untuk menahan kesakitan. Anehnya, doktor mengesahkan tidak ada penyakit berbahaya pada Liana.
Sejak itu juga, Liana sering didatangi lembaga berbentuk buaya yang berkaki manusia di dalam mimpi. Kerap kali juga Liana melihat kelibat melintas dan mendengar bunyi yang menaikkan bulu roma.
Keluarga Liana membawanya bertemu beberapa pengamal ubat tradisional yang tidak menyalahi hukum syarak. Setelah bertahun-tahun berusaha, kini hidup Liana kembali tenang.
Namun, segalanya masih menjadi misteri . Mengapa? Mengapa? Mengapa? Jika benar ini angkara sihir seperti yang dikhabarkan oleh kebanyakan pengubat-pengubat yang ditemui, natijah sihir itu sangat besar.
Liana berharap, ia hanya akan menghancurkan harapan cintanya kepada Ustaz. Bukan menghancurkan cintanya kepada Allah SWT. Liana masih mencari kekuatan itu di dalam jiwanya.
Ya Allah! Berilah aku petunjukmu dan kesabaran yang jitu dalam mengharungi ujian mu ini.

Pesanan:
Jauhilah perbuatan yang menyekutukan Allah SWT. Itu Syirik Kabir. Ingatlah balasan di hari akhirat. Jika anda yang terbaca artikel ini, pernah menyihir sesiapa atau bersekongkol dalam perbuatan tersebut, bertaubatlah... dan rungkaikan simpulan buhul-buhul yang dicetuskan oleh hamba-hamba syaitan. Wallahua'lam.

Assalamualaikum.

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my