Kisah Para Sahabat....

Oleh Shafiah
07-Dec-2004 14:21
Abu Ayyub Al-Ansariy r.a.


Nama sebenarnya ialah Khalid bin Zaid bin Kulaib dari Bani An-Najjar. Mendapat penghormatan kerana Rasulullah s.a.w turun dari unta baginda di rumah beliau selepas baginda memasuki Madinah semasa baginda berhijrah ke sana dari Mekah.

Semasa Rasulullah s.a.w memasuki Madinah, setiap orang dari kalangan orang-orang Ansar bercita-cita supaya Rasulullah s.a.w turun dari unta baginda di rumah mereka. Mereka menghalang perjalanan unta Nabi s.a.w secara silih berganti supaya unta baginda menghala ke rumah mereka kemudian Nabi bersabda kepada mereka: (Biarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan). Lalu unta tersebut terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub Al-Ansariy r.a. Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah s.a.w menyambut kedatangan baginda dengan perasaan terlalu gembira dan rasa sangat terharu sambil membawa barang-barang yang dibawa oleh Nabi s.a.w seolah-olah beliau membawa khazanah dunia kemudian terus masuk ke rumahnya.

Rumah Abu Ayyub r.a terdiri dari dua tingkat. Nabi memilih tingkat bawah supaya baginda boleh berjumpa para sahabat dengan mudah di mana mereka dapat masuk dan keluar dengan mudah. Tetapi keadaan tersebut menyebabkan Abu Ayyub tidak dapat tidur di atas Rasulullah s.a.w malah beliau tidak dapat tidur sedikitpun pada malam tersebut sehingga menjelang waktu pagi. Lalu beliau datang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan mengadu kepada baginda mengenai keadaan tersebut kemudian beliau meminta baginda supaya berpindah ke tingkat atas. Pada masa itu juga muka baginda kelihatan bertambah ceria lantas baginda menjawab kepadanya: (Janganlah kamu menyusahkan diri kamu wahai Abu Ayyub, sesungguhnya kami lebih sesuai berada di tingkat bawah kerana ramai orang yang datang berjumpa kami). Kemudian Abu Ayyub berkata: Aku melaksanakan perintah Rasulullah s.a.w tersebut sehinggalah berlaku pada suatu malam yang sangat sejuk, kendi kami pecah menyebabkan airnya tumpah ke atas lantai di tingkat atas. Lalu aku dan Ummu Ayyub terus bergegas ke tempat air yang tumpah tersebut sedangkan pada masa tersebut kami tidak memiliki apa-apa kecuali sehelai kain baldu yang kami jadikan sebagai selimut. Kami menggunakan kain tersebut untuk mengelap air yang tumpah kerana bimbang air tersebut menitis ke tingkat bawah tempat Rasulullah s.a.w berada. Pada pagi keesokannya aku berjumpa dengan Rasulullah s.a.w kemudian aku berkata: Demi bapaku, kamu dan ibuku! Aku tidak suka berada di atas kamu sedangkan kamu berada di bawahku. Setelah itu aku ceritakan berita mengenai kendi tersebut. Lalu baginda menerima permintaan aku dan baginda bersetuju untuk naik ke tingkat atas manakala aku dan Ummu Ayyub pula turun ke tingkat bawah.

Rasulullah s.a.w menetap di rumah Abu Ayyub selama lebih kurang tujuh bulan sehinggalah masjid baginda dibina bersama-sama dengan bilik-bilik yang terdapat di sekeliling masjid yang kemudiannya baginda berpindah ke sana.

Abu Ayyub adalah seorang yang berhati lembut, terlalu sayang kepada Rasulullah s.a.w, sangat pemurah, suka memberi makan kepada orang lain dan beliau memiliki sebatang pokok kurma di mana beliau mengusahakannya untuk menampung kehidupannya dan keluarganya.

Selain dari itu Abu Ayyub juga merupakan salah seorang pahlawan perang. Beliau menyertai kesemua peperangan yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w, begitu juga dengan peperangan yang berlaku pada zaman pembukaan kawasan Islam, semuanya beliau serta kecuali berlaku beberapa peperangan dalam satu masa.

Abu Ayyub r.a tidak pernah ketinggalan dari mengikuti peperangan yang diikuti oleh umat Islam semenjak zaman Nabi s.a.w sehinggalah ke zaman Muawiyah r.a.

Pada zaman pemerintahan Muawiyah, Muawiyah telah menghantar sepasukan tentera untuk membuat pembukaan Constantinople di bawah pimpinan anaknya Yazid. Pada masa tersebut Abu Ayyub merupakan seorang yang telah terlalu tua kerana umurnya menjangkau 80 tahun. Walau bagaimanapun dia tetap keluar bersama-sama dengan pasukan tentera dan menaiki pengangkutan laut lalu beliau jatuh sakit. Pada masa panglima tentera mengunjungi beliau, panglima bertanya kepadanya: Wahai Abu Ayyub! Adakah kamu ingin sesuatu permintaan? Lalu beliau meminta daripada panglima supaya tentera mengusung beliau sekiranya beliau meninggal dunia kemudian mengebumikan beliau di bumi musuh iaitu supaya mereka mengebumikan beliau di pagar Constantinople. Ternyata beliau meninggal dunia pada masa tersebut.

Setelah peristiwa tersebut berlaku, mereka berusaha menyerang musuh sedikit demi sedikit sehinggalah mereka berjaya sampai ke pagar Constantinople dalam keadaan mereka mengusung Abu Ayyub bersama-sama dengan mereka dan di sana mereka menggali sebuah kubur untuk Abu Ayyub kemudian mengebumikan beliau di sana.


Mengalah dan memberi maaf bukan bererti kalah. Ia bererti mengutamakan kebaikan dan kasih sayang ALLAH.

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my