Fiqh Al Harakah

Oleh Pak Lah
28-Aug-2002 02:12
Biasanya apabila disebut perkataan fiqh, yang tergambar dalam pemikiran orang Melayu ialah hukum-hakam berkaitan dengan solah, zakat, puasa dan seumpamanya. Itulah yang selama ini difahami masyarakat.

Dalam ruangan ini kami tidak akan bercakap soal hukum sembahyang atau puasa, tetapi ingin mengemukakan persoalan gerakan atau usaha untuk menegakkan Islam sebagai satu sistem sama ada dalam konteks individu, keluarga dan masyarakat.

Untuk melaksanakannya kita perlu memahami Islam secara jelas serta cara, kaedah dan jalan untuk melaksanakannya. Itulah antara maksud Fiqh al- Harakah. Ada orang yang ikhlas bekerja dan terus bekerja untuk menegakkan din Allah ini, tetapi kadang-kadang tidak berasaskan kefahaman yang sepatutnya. Islam berasaskan ilmu. Sumbernya ialah al-Quran dan al-Sunnah.

Al-Quran dan al-Sunnah sempurna dan lengkap dengan panduan atau petunjuk bagi semua aspek, lebih-lebih lagi berkaitan dengan cara dan manhaj untuk menegakkan din Allah SWT. Rasulullah SAW telah melaksanakan usaha ini dari awal hingga selesai apabila tertegaknya Islam dalam bentuk yang syamil dan kamil

“Hari ini telah Kusempurnakan bagi kamu din kamu ...” (Al-Maidah : 3)

Rasulullah SAW adalah orang yang dipilih khusus oleh Allah untuk menunjukkan model pelaksanaan Islam yang sebenar di semua peringkat.

Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang paling baik

Sejauh manakah kita merasai atau menyedari bahawa Rasulullah SAW adalah contoh atau model untuk membangunkan Islam? Bukankah Rasulullah SAW datang semasa dunia diliputi jahiliah dan memulakan usaha dakwah dan tarbiah serta segala amal yang berkaitan bagi menegakkan din Allah SWT. Apakah kita tidak terasa itu sebagai model yang perlu kita pelajari dan contohi? Atau apakah kita masih terikat dengan tradisi yang melihat Rasulullah sebagai model dalam aspek-aspek tertentu sahaja?

Sebenarnya Rasulullah SAW adalah model dalam semua hal dan meliputi setiap detik dan langkah-langkah baginda. Kami yakin kalaulah al-Quran dan al-Sunnah diambil secara sempurna seperti kefahaman, keyakinan dan pelaksanaan sahabat-sahabat baginda, sudah tentu dengan izin Allah, Islam akan bangkit dan tegak semula di atas muka bumi ini.

Malangnya dikalangan orang-orang Islam sendiri masih ramai yang tidak memahami hakikat ini, apatah lagi untuk yakin dan menghayatinya. Namun Allah Maha Berkuasa dan tahu bagaimana hendak menjaga agamanya. Oleh itu pada setiap zaman akan sentiasa ada satu taifah (kumpulan) yang terus berusaha menegakkan dinn Allah SWT sehingga Allah sendiri menetukan kesudahannya.

Berdasarkan hakikat ini, kami memohon agar Allah memberi kekuatan kepada kami dan meyeru pembaca sekalian berusaha memasukkan diri ke dalam golongan yang sentiasa berjuang, berusaha menegakkan Islam dalam peribadi, masyarakat dan negara sehingga Allah sendiri menentukan hasilnya.

Sesungguhnya apa yang kita lakukan adalah untuk diri kita sendiri, masyarakat dan seterusnya generasi akan datang. Allah SWT tidak memerlukan sesuatu daripada makhluk-Nya, tetapi makhluk yang memerlukan sesuatu daripada Allah SWT.

Antara tuntutan awal yang perlu kita lakukan ialah berusaha memahami Islam yang betul seperti yang diturunkan oleh Allah SWT, bukan Islam yang difikirkan atau dirasai masyarakat tertentu.

Marhalah al-Takrif atau peringkat kefahaman Islam yang betul dan menyebarkannya secara tepat adalah pintu besar yang sangat penting ke arah melahirkan amalan dan tindakan seterusnya.

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my