Jangan Fanatik Untuk Memiliki Tubuh Sempurna

Oleh Semut Merah
04-Sep-2002 02:11
Jika anda suka mengagumi diri sendiri, menghabiskan waktu lebih enam jam untuk membentuk tubuh, sering berasa tubuh kurang ideal dan lebih suka mengenakan pakaian seksi untuk menunjukkan kekentalan otot-otot tubuh, yakinlah bahawa anda sedang mengidap penyakit.

Wanita mana yang tidak mengimpikan untuk memiliki tubuh langsing dan menawan. Manakala otot yang menonjol, tubuh yang kekar dan dada yang bidang, lelaki mana yang tidak suka. Tetapi jika sampai anda mengejar itu semua dan acap kali merasakan tubuh anda kurang sempurna dan terus membentuknya, hati-hatilah. Anda berkemungkinan menderita penyakit 'muscle dysmorphia' (MD) yang terlampau fanatik menginginkan tubuh yang sempurna.

Penyakit ini lebih dikenali di kalangan pelatih 'fitness' sebagai 'bigorexia alias obses' (bigoreksia) iaitu memiliki tubuh yang besar atau sebaliknya bagi wanita. Anoreksia pula menginginkan tubuh yang langsing. Penyakit ini sememangnya tidak dapat dikesan secara mendadak. Ia muncul sebagai gaya hidup yang menjadi rutin harian individu. Satu gaya hidup yang anda ingin kekalkan sampai bila-bila. Anda seolah-olah bermati-matian membentuk tubuh idaman di pusat-pusat latihan atau mengikut program 'body building'.

Bigoreksia adalah penyakit kejiwaan yang seringkali menyerang kaum Adam. Mereka merasakan kurang berkeyakinan kerana berasa tubuh kurang besar atau tidak berotot. Sebaliknya anoreksia adalah penyakit kejiwaan yang biasanya menyerang kaum Hawa, tetapi sejak kebelakangan ini ramai pula penghidapnya adalah di kalangan lelaki.

Mereka merasakan diri terlalu gemuk. Jadi sedaya mungkin mengikuti program untuk melangsingkan badan. Untuk mengatasinya, mereka yang menghidap penyakit sebegini perlu mendapat rawatan terapi untuk mengikuti pola pemakanan yang sihat. Pola makanan dan latihan secara teratur belum tentu untuk mengatasi masalah penyakit tersebut.

Kurangkan rutin latihan, apabila anda sudah terbiasa menjalani latihan setiap hari, anda boleh menguranginya menjadi tiga kali seminggu. Jangan suka membanding-bandingkan bentuk tubuh dan ukuran tubuh anda dengan orang lain. Juga kurangkan membelek tubuh di cermin dan yang paling penting, tidak semua wanita menyukai lelaki yang berotot dan tidak semua lelaki menggemari wanita yang langsing. Kini terserah pada anda, ingin tetap bergaya tetapi sakit atau sihat berlatih mengikut keperluan sahaja.


 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my