Kaedah Menyuburkan Jiwa

Oleh Semut Merah
31-Oct-2002 16:58
i. Muraqabah selalu kepada Allah

Apabila seseorang muslim yang hendak melakukan sesuatu pekerjaan mengetahui bahawa Allah selalu melihat dan selalu bersamanya dan juga mengawasi gerak-gerinya insyaallah dia akan sentiasa bertindak mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah didalam Al-quran dan As-Sunnah.

ii. Selalu ingat kepada kematian dan kehidupan selepasnya.

Seseorang itu harus menanamkan didalam hatinya akan kepastian ajal yang akan menjemputnya dalam waktu yang singkat mahupun lama. Dia harus juga membayangkan jannah (syurga) yang cantik dan indah. Dengan cara ini hati akan sentiasa peka dan akan menimbulkan rasa takut kepada Allah yang akhirnya akan menghasilkan amal saleh untuk menghadapi kematiannya.

iii. Membayangkan hari akhirat dan kejadian di dalamnya.

Hendaklah membayangkan peristiwa besar yang akan terjadi di akhirat nanti seperti kenikmatan ahli syurga dan kesengsaraan ahli neraka. Ini akan melahirkan rasa tunduk, tawadhu’ dan khusyuk. Ini juga akan merangsang seseorang untuk bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah.

iv. Memperbanyakkan tilawatil Al-Quran dengan tadabbur.

Tilawah yang diiringi kehadiran hati akan melahirkan kekhusyukan, dapat mempertajamkan pandangan hati dan menyembuhkan penyakit pada hati.

v. Hidup akrab bersama Rasul dengan mengikuti sirahnya.

Rasulullah merupakan uswatun hasanah dan figure atau idola yang sempurna bagi ummah. Sebagai manusia kita harus menyambung lidah para nabi (da’wah-menegakkan islam) dan mencontohi perilaku Baginda semampu yang boleh. Antara beberapa contoh kehidupan nabi yang harus diteladani iaitu:

a)Ibadahnya
b)Kezuhudannya (cara Beliau berinteraksi dengan dunia)
c)Ketaqwaannya (takutnya kepada Allah)
d)Kesabaran dan kelembutannya
e)Keteguhannya dalam memegang prinsip
f)Kekuatan fizikalnya
g)Keberaniannya

vi. Selalu bersahabat dengan orang-orang pilihan yang berhati bersih dan berilmu pengetahuan dien (agama).

Untuk menjadi muslim yang baik tidak cukup dengan hanya tekad dan usaha sendiri tetapi memerlukan bantuan daripada orang lain. Oleh itu kita perlu mencari seorang teman kerana teman mempunyai pengaruh yang cukup besar kepada jiwa seseorang individu. Ciri-ciri teman yang baik ialah:

a)Komitmen dengan syariat islam dengan niat yang tulus ikhlas, jujur dalam ketaatan dan istiqamah (berterusan) dalam beramal.
b)Dalam diri mereka tidak nampak sama sekali kemaksiatan, bidah ataupun hal-hal yang menyalahi syara’.
c)Mereka menyibukkan diri dengan kelemahan dan aib diri sendiri.
d)Mereka beramar ma’ruf nahi mungkar dengan landasan kekuatan iman dan keberanian.
e)Diwajah mereka tampak ada cahaya keimanan.
f)Mereka memerhatikan permasalahan umat islam dan bersemangat menghadapi pelbagai masalah yang dihadapi umat.
g)Bergerak secara jujur demi tanggungjawab da’wah dan memiliki semangat yang ikhlas dalam jihad dan islahul ummah (memperbaiki ummah).

vii. Zikir di setiap waktu dan keadaan.

Didalam Al-Quran dan Al-Hadith banyak sekali kita temukan perintah untuk berzikir. Hal ini kerana zikir merupakan suatu perkara yang penting. Zikir merupakan wasilah diri kepada Allah. Dengan zikir insyaallah hati akan menjadi tenang dan jernih. Kita sekurang-kurangnya perlu mengamalkan serta menghafal zikir Al-Ma’thurat (disusun oleh Asy-Syahid Hassan Al-Banna) di waktu pagi, petang dan malam.

viii. Menangis disaat berkhalwat kerana takut kepada Allah.

Tangisan seorang mukmin sejati lahir daripada rasa takut kepada:

a)Kematian sebelum bertaubat.
b)Istidraj (pemberian tanpa redha) dengan berbagai nikmat yang menyebabkan suul khatimah (mati tidak dalam iman yang benar kepada Allah).
c)Sakaratul maut dan tercabutnya roh.
d)Pertanyaan dua malaikat dan siksa kubur.
e)Hari hisab dan saat menyeberangi titian sirat.
f)Neraka dan pelbagai siksanya.
g)Diharamkan baginya syurga dan pelbagai kenikmatan.

Dengan perasaan sedih, hati akan menjadi kuat dan selalu berusaha keras untuk melaksanakan segala perintah Allah

ix. Bersungguh-sungguh membekali diri dengan ibadah-ibadah nafilah (mandub- baca sunnah).
Semakin dekat seseorang hamba kepada Rabbnya dengan melakukan amalan sunat [seperti qiamullail (berjaga malam untuk beribadah) & solat sunat], semakin kuat pulalah jiwanya.


-almukmeen-

 

Please login or register to leave a comment.
webmaster@mymasjid.net.my