Terjemahan

Hadis Sahl bin Saad r.a:
Pada satu ketika seorang perempuan datang berjumpa Rasulullah s.a.w seraya berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk menyerahkan diriku kepadamu. Lalu Rasulullah s.a.w memandang kepadanya sambil mendongak kepadanya dan memerhatikan dengan teliti kemudian baginda mengangguk-anggukkan kepalanya. Apabila perempuan itu mendapati Rasulullah s.a.w diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah seorang sahabat dan berkata: Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya kahwinkanlah aku dengannya. Rasulullah s.a.w segera bertanya: Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan mas-kahwin. Sahabat menjawab: Tidak ada! Baginda bersabda: Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan mas-kahwin. Lantas sahabat tersebut pulang, kemudian beliau kembali menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan mas-kahwin. Maka Rasulullah s.a.w berkata lagi: Carilah walaupun sebentuk cincin besi. Lalu sahabat tersebut pulang dan datang kembali serta berkata: Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi, tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya (Sahl berkata: Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badan) maka aku berikannya kepada perempuan tersebut. Rasulullah s.a.w berkata: Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan tersebut tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain tersebut engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai. Sahabat itu duduk sehinggalah sekian lama kemudian bangun. Rasulullah s.a.w memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ. Setelah itu Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya dia dipanggil. Apabila sahabat tersebut sampai, Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah yang engkau miliki daripada Al-Quran? Sahabat tersebut menjawab: Aku hafaz surah itu dan surah ini. Sahabat berkenaan menghitungnya, Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Adakah engkau membacanya secara hafalan? Sahabat tersebut menjawab: Ya! Rasulullah berkata: Pergilah! Engkau telah memilikinya bermas-kahwinkan ayat atau surah Al-Quran yang engkau hafaz. Nombor hadith di dalam Sahih Muslim : 2554

Paparkan Hadith Di Blog Anda

webmaster@mymasjid.net.my