Terkini  Popular    Mula Topik

Kerana Orang Ketiga, Rohaya Tidak Mahu Dipukul Lag

2005-08-13 16:12:08
Cam biase, copy paste.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Nasib baiklah ada orang ketiga. Jika tidak mungkin Rohaya masih rela dibelasah suami.

“Saya tak kisah kena pukul, kena lempang, terajang, di pijak atau dihentak kepala ke dinding sekali pun. Saya dah lali. Memang sakit tetapi entah kenapa hati saya tidak luka. Saya masih setia duduk di rumah, jaga anak-anak, masak sedap-sedap dan penjagaan untuk dirinya memang tip-top. Saya abdikan diri padanya dengan harapan balasan syurga akan menanti.
“Saya tidak pernah bercakap buruk tentang dia. Tidak pernah mengadu dengan sesiapa. Kalau dipukul teruk, saya tunggu sudah baik semua lebam baru pergi ke rumah emak. Keluarga ada yang tahu dan selalu bertanya tetapi daripada mulut saya, mereka tidak pernah dengar sepatah pun saya mengadu.” (menangis)

“Tetapi saya mula tak tahan apabila mendapat tahu dia curang!”

Tentu ramai yang sakit hati, bengang dan geram dengan kata-kata ikhlas Rohaya*, 28 ini. Kenapalah wanita beranak tiga ini berpendapat begitu? Apa kena dengan dia? Dipukul dan diseksa baginya tidak mengapa. Dia tidak rasa apa-apa sebaliknya terus menyintai suaminya dengan setia.
Adakah kerana Rohaya mahu menjadi isteri mithali?
Adakah Rohaya rasa dengan redha kekejaman suami dia akan masuk syurga?

Wanitakini bertemu Rohaya di rumah ibu bapanya di Melaka. Kisah Rohaya ini kami ketahui melalui adik perempuannya yang bercerita tentang kakaknya melalui e-mel.


Sejak bila suami memukul?
Di tahun pertama perkahwinan kami lagi. Dia panas baran dan dalam enam tahun perkahwinan kami, dia pukul saya setiap hari. Kadang-kadang teruk, kadang-kadang setakat lempang atau hentak kepala pada dinding. Dia tak kira, walau waktu saya mengandung pun, kalau dia hendak terajang atau humban saya, dia buat juga…

Dia pukul teruk macam mana?
Teruk… kalau dia pukul saya lama-lama. Kadang-kadang sampai setengah jam. Penat, dia berhenti hisap rokok dulu, lepas itu sambung balik. Sampai saya pengsan.

Kenapa dia pukul?
Fasal masalah kerja… kalau ada masalah dia akan pukul saya.

Hari-hari ada masalah kerja?
Entahlah… mungkin. Tetapi lepas pukul dia akan pujuk saya. Dia kata dia sayang saya. Yang pukul tadi tu sebab dia tertekan. Dia memang baran, lambat buka pintu pun dia boleh mengamuk. Lambat menyahut atau tak dengar dia panggil, dia pernah baling meja bulat (meja tengah set sofa). Kena betul-betul atas kepala saya.

Boleh bersabar enam tahun ya?
Boleh… sebab saya tak mahu orang tahu masalah rumahtangga. Saya ingat dia sayangkan saya dan dia ada masalah kerja jadi saya tahanlah. Tahan sakit dan sanggup sakit.

Kami diberitahu, puan tiba-tiba bagai tersedar dari mimpi apabila mendapat tahu yang suami juga simpan perempuan? Kenapa sebelum ini puan tidak sedar dan bak kata adik puan macam orang terkena ‘buatan’?
Mereka ingat suami guna-gunakan saya sebab walau kena teruk tetapi tak mahu minta cerai. Saya pun tak tahu nak cakap apa sebab saya tak pernah terfikir pun hendak minta cerai sebelum ini walau dua kali keguguran dibelasah. Cuma apabila saya dapat tahu dia ‘main’ perempuan, dan adik bawa saya tengok bagaimana dia dating dan melayan perempuan tu dengan baik, saya tiba-tiba teringat nasib sendiri.
Saya boleh nampak dari raut muka suami yang dia memang cinta habis-habisan dengan perempuan itu. Nampak dia layan dan romantic sekali dengan perempuan tu.

Dahulu masa bercinta dia tak lembut atau romantic dengan Rohaya?
Saya sebenarnya pernah kena sepak terajang waktu zaman bercinta lagi… Romantik, saya pun tak ingat. Tak tahu pun…

Betul Rohaya sekarang mahu bercerai? Bagaimana kalau suami memujuk?
Saya mungkin akan kembali padanya kalau perempuan itu tak ada. Sebelum ini pun selepas memukul, suami akan pujuk dan buat-buat macam tiada apa yang berlaku. Saya terima dia kerana percaya dengan cintanya pada saya.
Tetapi apabila saya tahu dia sudah taruh hati pada perempuan lain, pujuk pun tak jalan lagi sekarang.

Mungkin suami puan dulu mengganas kerana kerelaan puan sendiri?
(Terdiam dan merenung penulis).

Kalau puan adukan sikap dia atau tunjukkan ketegasan diri yang puan bukan barang sepak terajangnya, mungkin dia menghormati puan…
Saya tak pernah ada kekuatan untuk buat keputusan sendiri. Semuanya kerana cinta saya pada dia. Selepas kahwin dia suruh saya berhenti kerja, saya ikut. Sepanjang kahwin dengannya dia tidak pernah beri saya sesen pun. Duit untuk barang dapur, adik beradik yang bagi. Nasib baik anak menyusu badan. Itupun saya bersabar dan terima. Dipukul hampir mati pun tak apa.
Dunia saya memang dengan dia. Saya memang mengharap untuk sehidup semati dengan dia.

Tetapi semuanya berubah kerana orang ketiga?
(Diam)

Apa rancangan Rohaya sekarang?
Dia tahu saya sudah minta cerai. Dia tak berani datang sini sebab keluarga saya ramai. Tetapi dia telefon, dia kata (menangis), eloklah saya berambus sebab memang dia sudah menyampah dengan saya…
Biarlah… saya akan tinggal di sini dulu. Enam tahun, saya sudah lupa bagaimana nak mulakan hidup baru. Adik suruh saya tinggal di sini, cari kerja di Melaka saja…
Tunggulah selepas selesai perceraian dan habis edah.

* bukan nama sebenar hidup ini seperti roda... kadang di atas, kadang di bawah... semuanya menguji sejauh mana pergantungan kita padaNya..

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my