Indeks Kitab
Sahih Muslim > Kitab Cerai > Bab Wajib Berkabung Dalam Tempoh Idah Kerana Kematian, Dan Diharamkan Berkabung Selain Daripadanya Kecuali Hanya Tiga Hari
    Hadis Ummu Habibah r.a isteri Nabi s.a.w: Diriwayatkan daripada Zainab binti Abu Salamah r.a katanya: Aku menemui Ummu Habibah isteri Nabi s.a.w ketika dia kematian ayahnya Abu Sufian. Ummu Habibah minta diambilkan sebuah wadah yang berisikan campuran minyak wangi, kemudian disapukan pada rambut dan pipi seorang jariah di samping dia juga menggunakannya. Kemudian dia berkata: Demi Allah! Sebenarnya aku tidak memerlukan wangi-wangian ini kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda di atas mimbar: Haram bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, berkabung atas kematian lebih dari tiga hari kecuali seorang isteri yang kematian suaminya. Dia mesti berkabung selama empat bulan sepuluh hari.info
    Hadis Zainab binti Jahsyin r.a: Diriwayatkan daripada Zainab binti Abu Salamah katanya: Aku telah masuk menemui Zainab binti Jahsyin sewaktu dia kematian saudara lelaki kandungnya. Dia meminta diambilkan untuknya wangi-wangian lalu dia menyapunya sambil berkata: Demi Allah! Sebenarnya aku tidak perlu memakai wangi-wangian ini. Tapi aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda di atas mimbar: Haram bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat berkabung di atas satu kematian lebih dari tiga hari kecuali terhadap kematian suaminya, maka dia diharuskan berkabung selama empat bulan sepuluh hari.info
    Hadis Ummu Salamah r.a katanya: Seorang perempuan datang menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya: Wahai Rasulullah! Puteriku baru saja kematian suaminya. Kedua matanya bengkak kerana terlalu banyak menangis, jadi adakah aku dibolehkan mencelaknya? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak! Sebanyak dua atau tiga kali. Lalu baginda bersabda: Dia harus berkabung selama empat bulan sepuluh hari dan kamu tidak perlu mengikut kebiasaan wanita jahiliah yang suka memanjangkan tempoh idah dan juga membuang kotoran binatang pada awal tahun.info
    Hadis Ummu Atiyyah r.a: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tidak halal bagi seorang wanita berkabung di atas suatu kematian lebih dari tiga hari kecuali terhadap kematian suaminya sendiri, maka dia diharuskan berkabung selama empat bulan sepuluh hari. Dalam tempoh itu dia tidak boleh memakai pakaian yang berwarna-warni kecuali pakaian yang sederhana. Dia juga tidak dibenarkan memakai celak dan juga mengenakan wangi-wangian kecuali sedikit sahaja yang disapu untuk menghilangkan kesan darah haid.info
webmaster@mymasjid.net.my